Rabu, 22 September 2010

ANWAR MEMANG HEBAT TAPI AZMIN PUNYAI KEKUATAN SENDIRI - DR SYED HUSIN

Siapa pengganti pilihan Syed Husin?

Timbalan presiden PKR Syed Husin Ali berkata tempoh perkhidmatan yang lama di dalam parti sahaja tidak mencukupi untuk merebut jawatan yang bakal dikosongkannya itu.

Calon yang bertanding bagi jawatan itu sebaliknya perlulah teruji dalam persaingan dan juga berpegang teguh kepada dasar-dasar parti, katanya.

NONEBeliau turut berharap agar tidak ada pemimpin yang akan keluar daripada parti selepas pemilihan kali ini.

"Saya harap tak adalah. Tapi ada juga misalnya yang mungkin keluar, atau mungkin tidak. Entah-entah dia hendak keluar sebab dia kalah, mana kita tahu.

"Tapi kalau ada calon keluar kerana kalah, itu menunjukkan lebih baik dia keluarlah. Ertinya dia tidak berpegang teguh kepada dasar parti," katanya ketika ditanya dalam satu temubual dengan Malaysiakini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas komentar yang disuarakan penyokong calon-calon yang telah menawarkan diri untuk bertanding jawatan itu setakat ini.

Antaranya, komentar daripada pengarah komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad semalam berhubung ikrar calon timbalan presiden Datuk Zaid Ibrahim untuk untuk memelihara kuasa presiden parti.

Nik Nazmi berkata, ikrar tersebut hanya satu gimik memandangkan Zaid masih berada dalam parti Umno dan belum menyertai PKR ketika jawatan ketua umum dibentuk untuk Anwar dalam kongres parti itu pada 2007.

Mengulas pandangan tersebut, Syed Husin berkata tuduhan-tuduhan seperti itu timbul disebabkan pemilihan yang berlangsung.

"Itu adalah hak orang untuk mengatakan. Kadang-kadang orang yang tak ada pada waktu itu mungkin dalam parti musuh jadi terutama sekali apabila ada persaingan akan timbul tuduh menuduh dan pandangan berbeza.
Azizah dibayangi

"Benda itu tak perlu, sama juga tak perlu misalnya orang mengatakan 'oh dia tak nafikan pun bila media mengatakan dia jadi ini, jadi itu,' macam-macam lagi.

"Padahal benda itu tidak betul... Jadi ini berlaku dalam pertandingan, ini timbul banyak semasa pemilihan," katanya lagi.

NONESyed Husin bagaimanapun mengakui bahawa presiden parti itu sendiri Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail kelihatan seolah-olah dibayangi oleh ketua umum Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Memang dari segi politik Anwar lebih terkenal daripada yang lain termasuk presiden. Kadang-kadang media juga memberikan secara positif atau negatif, liputan yang luas. Jadi kelihatan seolah-olah dia lebih menyerlah (berbanding Wan Azizah). Dan ada kalanya dia memang lebih menyerlah.

"Misalnya dalam ceramah umum. Beliau seorang penceramah yang efektif, yang menarik dengan mudah saja dia boleh menyerlah berbanding sesiapa yang lain. Sebab itu dia merupakan tarikan kepada orang ramai dalam ceramah.

"(Tapi) mesyuarat parti sentiasa dipimpin oleh presiden parti. Kalau tak ada presiden parti, oleh timbalan," katanya lagi.

Ketika ditanya, beliau berkata persepsi bahawa PKR hanyalah perjuangan untuk Anwar adalah direka oleh media dan musuh tertentu kepada parti.

NONE"Memang dulu bila Anwar ditahan, perjuangannya merupakan satu perjuangan penting yang (utama) waktu itu bagi membebaskan Anwar daripada tahanan.

"Tapi pada waktu itu, walaupun dia ditahan, parti tidak mati, tapi berkembang. Sekarang ini kita lihat bahawa Anwar (sebagai ketua umum). Tapi (ketika) membicarakan dalam kongres, atau dalam mesyuarat atau latihan parti, ia bukan lagi soal Anwar," katanya lagi.

'Jeneral Anwar'

Mengulas mengenai Azmin Ali yang dikatakan sebagai 'jeneral Anwar' dalam PKR, Syed Husin berkata Azmin tidak selalunya menyebelahi Anwar.

"Jika anda tengok dia dalam mesyuarat dengan parti, anda akan lihat bahawa dia ada kekuatan sendiri. Dan tidak benar, sejauh mana yang saya lihat, bahawa dia sentiasa (menyokong) Anwar atau dia sememangnya pengganti terpilih untuk Anwar," katanya lagi.

Ketika ditanya lanjut mengenai kriteria yang perlu bagi penggantinya di jawatan tersebut, Syed Husin berkata parti itu juga memerlukan seseorang yang berdisiplin dalam menjalankan fungsi organisasi.

"Jika dia dilantik ahli dalam satu jawatankuasa biro, dia perlu hadir mesyuarat dan bukannya membuat aduan tanpa menghadiri mesyuarat. Pertama sekali, dia perlu buat aduan melalui parti.

"Ini saya tujukan kepada semua anggota jawatankuasa, bukan seorang saja," katanya.

Tambahnya, persaingan di antara kumpulan dan anggota parti juga merupakan satu perkembangan sihat, tetapi ia menjadi sebaliknya apabila mereka meraih sokongan melalui media.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan tindakan media arus perdana dan juga di laman web yang "tidak mesra dengan parti" dan memburuk-burukkan PKR serta pemimpinnya.

"Kita selalu nasihatkan anggota kita, media perlu menjadi langkah terakhir (untuk suarakan pandangan). Semua media akan cuba mendapatkan berita (sensasi), tapi kita akan sentiasa maklumkan kepada kepada ahli kita supaya selesaikan (masalah mereka) di dalam parti terlebih dahulu," katanya lagi.

Syed Husin juga berharap, pemilihan parti kali ini tidak akan menyebabkan berlakunya perpecahan di kalangan anggota parti.

Katanya, pemilihan bukanlah sesuatu yang asing dalam parti itu dan anggotanya akan kembali bersatu selepas setiap kali pemilihan.

"Saya sangsi sekiranya akan berlaku perpecahan dalam parti. Hanya sebab seorang (pemimpin) bertanding melawan seorang lagi tidak akan wujudkan perpecahan," katanya lagi./Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan