Rabu, 22 September 2010

APABILA TIAN CHUA MEMBELA AZMIN ALI

Khalid vs Azmin

"Saya tidak boleh secara ringkasnya, melabelkan Khalid sebagai golongan progresif, dan Azmin sebagai golongan konservatif. Untuk saya, perbezaannya sebegini, langkah pembaharuan dalam sistem kakitangan awam dan korporat terlalu perlahan. Dasar parti gagal diterapkan sepenuhnya. Ini kerana kami terlalu beri muka kepada kakitangan kerajaan ini, dan kami terlalu ikut prosedur. Tapi prosedur ini ditetapkan UMNO. Tan Sri (Khalid) tidak mahu menyentuhnya pada kebanyakan masa," kata Tian Chua.

Tian Chua menjelaskan, Khalid Ibrahim (gambar kanan) enggan mengubah model yang lama kerana khuatir menyinggung pegawai kerajaan ini. Inilah punca kekecewaan anggota parti. Bagaimanapun, Tian Chua menganggap niat Khalid mungkin baik, iaitu orang yang melaksanakan dasar bukan datang dari parti.

"Masalahnya apabila kami berdepan dengan tekanan, anda menyerahkan jawatan ini kepada ahli profesional dan pegawai kerajaan. Ia menyebabkan satu situasi tersekat (jam), dan menjadi rintangan kepada diri kita." Tian Chua bersambung, maka orang dalam parti tertanya-tanya, "mengapa orang ini bekas penyokong BN, dan kini hanya dengan menukar topinya (sokong BN), dia masih memegang jawatan dalam kerajaan kami?"

"Caranya mengolah isu ini, atau penyampaiannya memberi gambaran seakan-akan dialah yang mahukan jawatan tersebut, tetapi pada hakikatnya bukan semestinya begitu," jelas Tian Chua.

Tian Chua seterusnya memberi contoh masalah yang dihadapi Khalid Ibrahim, yang akhirnya menjurus kepada penyerahan jawatan Pengerusi Perhubungan Negeri Selangor kepada Azmin Ali.

"Dalam mesyuarat, seorang Ketua Cabang mengetengahkan masalahnya. Hutang bil air dan elektrik pejabat cabang telah tertunggak untuk tiga bulan, dan akan dipotong jika tidak dijelaskan. Khalid tidak mungkin memberi satu projek kepadanya, dan berkata 'nah, kamu pergi selesaikan masalah ini'. Maka ketua cabang pun mencadangkan jamuan kutipan derma, dan meminta agar Tan Sri (Khalid) hadir."

"Sudah tentu Tan Sri (Khalid) bosan dengan perkara remeh temeh ini, kerana beliau sebagai Menteri Besar nak uruskan hal pentadbiran negeri. Jadi, beliau akan mengambil sikap 'jangan kamu bangkitkan isu ini kepada saya, kamu cakap dengan orang lain'... Masalahnya, Tan Sri ialah Pengerusi Perhubungan Negeri Selangor. Pemimpin akar umbi akan tertanya-tanya, siapa lagi yang harus selesaikan masalah bil bekalan air dan elektrik, kalau bukan beliau?"

Tian Chua (gambar kanan) menambah, "Ini masalah yang benar wujud, dan bukan soal Ketua Cabang tamakkan wang, merungut kerana tidak mendapat projek. Parti pada peringkat pusat kini memberi arahan, menggariskan matlamat pendaftaran pemilih pada 6000 orang setiap cabang. Tetapi ketua cabang berkata, bil air dan elektrik belum dijelaskan, saya gagal mencapai matlamat yang digariskan."

Dalam situasi sedemikian, Tian Chua tidak menolak bahawa timbulnya rungutan daripada segelintir anggota parti, yang mahukan Khalid Ibrahim dijatuhkan, tetapi agak keterlaluan untuk dikatakan bahawa wujud satu komplot yang terancang agar Khalid digulingkan.

Tian Chua, yang mengakui dirinya bukan menyetujui Azmin Ali (gambar kiri) dalam semua isu, bagaimanapun sanggup membela Azmin Ali dalam isu ini. Pada tanggapan Tian Chua, adalah kurang adil untuk Azmin Ali apabila ditonjolkan dengan imej negatif dalam media.

Tian Chua, pemimpin yang sama taraf dari segi senioritinya dengan Azmin Ali, berkata "veteran" seperti mereka akan menerima arahan bos, Anwar untuk menyelesaikan masalah yang timbul, misalnya di Sabah. "Tetapi untuk sesetengah orang, kami akan dianggap sebagai 'wakil dari pusat untuk campur tangan' dalam isu tempatan, atau negeri," katanya./Merdeka Review

Tiada ulasan:

Catat Ulasan