Ahad, 10 Oktober 2010

JIKA TIDAK MAHU DIGELAR `PRIMITIF', MCA MESTI KELUAR DARI BN

Oleh: WFAUZDIN NS

PEMUDA MCA semalam di dalam kenyataannya yang disiarkan di Malaysiakini menyeru agar Bn atau kerajaan menjauhi `kumpulan/lelaki primitif' iaitu kumpulan yang sentiasa mencetuskan isu perkauman. Siapakah yang dimaksudkan oleh Pemuda MCA sebagai `primitif' itu? Sudah pasti bukan datangnya dari PR, dan tidak mustahil datangnya dari Umno atau Perkasa.

Terlalu banyak bukti menunjukkan Umno dan Perkasa boleh dikategorikan sebagai `primitif' jika mengikut gelaran yang diberikan oleh Pemuda MCA tersebut. Malah, terdapat `lelaki primitif' yang pernah digantung keahlian dan jawatannya di dalam parti Umno, kemudiannya diberi `pengampunan' seterusnya diberi 'selendang wira Melayu'. Pemuda MCA harus sedar perkara ini dan harus belajar darinya.

Justeru itu, Pemuda MCA hendaklah memberi tekanan atau nasihat kepada MCA Pusat agar memikirkan kembali untuk terus bersama Bn. Sehingga kini, isu perkauman malahan isu agama dipermainkan demi survival politik sekutu mereka. Keputusan Umno mulanya untuk menjauhi Perkasa akhirnya tidak dilaksanakan. Presiden Umno sendiri merasakan bahawa Umno tidak boleh meninggalkan Perkasa begitu sahaja disaat Umno kini `nazak'. Isu Kerajaan Negeri P.Pinang di bawah Lim Guan Eng yang ikhlas ingin membantu warga tua yang terdiri di kalangan orang Melayu di P.Pinang dimainkan sebagai isu perkauman dan agama. Maka, sijahil pun bertambah jahil disebabkan oleh mainan politik Umno.

Tiada jalan lain lagi buat MCA jika tidak mahu dikatakan bersekongkol dengan golongan `primitif' ini. MCA termasuk sekutunya dari Gerakan dan MIC haruslah berfikir dengan serius untuk keluar dari Bn dan bersama di dalam PR yang telah terbukti dapat memberikan keadilan kepada semua kaum dan agama. Seandainya mereka masih ingin bersama Umno di dalam Bn, ini bermakna mereka turut terlibat di dalam kumpulan `primitif' ini./wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan