Sabtu, 23 Oktober 2010

S/AKHIR KEDUA - KELANTAN MESTI BALAS JASA KEDAH

Oleh: WFAUZDIN NS

MALAM ini adalah penentuan siapakah pasukan yang akan mara ke perlawanan akhir Bola Sepak Piala Malaysia. Di Kota Bharu, Kelantan akan menyambut tetamunya dari negeri jelapang padi iaitu Kedah Darul Aman setelah Kelantan dilayani dengan baik di Alor Star Rabu lalu. Manakala, Negeri Sembilan akan bertemu dengan Johor FC sebagai misi balas dendam kekalahan negeri Perpatih itu 0 - 1 di tangan kelab berkenaan Rabu lalu di Paroi.

Saya lebih tertarik dengan pertemuan Kelantan - Kedah malam ini di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, Kota Bharu. Satu pertemuan menarik dan pastinya sengit di antara kedua-dua pasukan di bawah negeri pemerintahan PAS tersebut. Keputusan seri tanpa jaringan di Alor Star Rabu lalu sedikit memberi peluang kepada Kelantan, namun Kedah hanya perlu menang 1 - 0 atau setidak-tidaknya keputusan 1 - 1 untuk Kedah melangkah ke Final.

Di Alor Star, Kelantan telah membuktikan bahawa penyokong-penyokong setia mereka tidak `segedebe' yang didakwa. Tahniah kepada Kedah kerana melayani tetamu dari negeri Che Siti Wan Kembang itu begitu baik sekali sehingga ke wisil penamat, perlawanan berjalan dengan amat baik sekali. Inilah `budi' yang mesti dibalas oleh penyokong-penyokong Kelantan. Adalah diharapkan penyokong-penyokong fanatik Kelantan akan melayani kunjungan Kedah di atas semangat kesukanan yang tinggi.

Hiasilah seluruh stadium dengan bendera negeri masing-masing. Tentunya lebih meriah dan menarik lagi jika kedua-dua penyokong Kelantan dan Kedah membawa mengibarkan bendera bulan sebagai tanda `kita bersaudara dan kita seperjuangan'. Bendera bulan yang dapat memenuhi stadium di Kota Bharu nanti sedikit sebanyak sebagai pembekal semangat kepada rakyat Kelantan yang akan berjuang pula di PRK Dun Galas. Tidak salah juga jika para penyokong yang hadir untuk mengibarkan bendera berlambangkan keris tanpa sarung itu untuk menunjukkan sukan ini mempunyai latar belakang politik yang berbeza tetapi boleh bersama di dalam satu stadium. Apa yang penting, tiada provokasi seperti kebiasaannya di dalam hari penamaan calon pilihanraya.

Seperti di Alor Star Rabu lalu, stadium dipenuhi dengan bendera negeri dan juga bendera bulan. Mungkin inilah salah satu faktor `melembut'kan sedikit hati penyokong-penyokong Kelantan yang datang. Kali ini, penuhilah stadium di Kota Bharu dengan `cahaya rembulan'. Secara peribadi, saya yakin Kelantan akan melangkah ke Final. Siapakah lawannya nanti? Saya percaya Negeri Sembilan bersedia menanti Kelantan di Final nanti. Selamat Berjuang./wfauzdin.blogspot.com

1 ulasan:

  1. perlu ke kibarkan lambang parti politik dlm perlawanan?? kalau nak kibarkan bendera politik...rasanya kat baju dan bas KAFA tu penuh dgn bendera UMNO sebab Presiden KAFA tu Tan Sri Anuar Musa...kerajaan PAS Kelantan xde sponsor pun pasukan Kelantan...Kedah tu lain la...kurang2 penaja dier PKNK (anak syarikat kerajaan negeri)

    BalasPadam