Jumaat, 15 Oktober 2010

TIMB PRES PKR - SIAPA DI SEBELAH DATO ZAID?

Memilih antara yang kurang buruk

Meskipun PKR dilihat sebagai "parti harapan masa depan", namun pemilihan parti ini agak mengecewakan pada peringkat awal, khususnya jawatan Timbalan Presiden. Ini kerana pertandingan ini disarat dengan serangan peribadi, dan tidak menampilkan perdebatan halatuju atau dasar. Malah, terdapat anggota partinya yang mengeluh bahawa ia bagaikan pemilihan antara dua biji epal yang busuk, bezanya hanya yang busuk dengan yang kurang busuk.

Ia sememangnya membosankan. Zaid Ibrahim asyik dengan kritikannya yang menghala ke arah pemimpin partinya. Bermula dengan kenyataan untuk memberi laluan kepada Khalid Ibrahim seandainya beliau bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden, kemudian kenyataan itu ditarik balik. Tidak cukup dengan itu, malah Zaid dengan sinis mendakwa bilangan pencalonan Khalid lebih kurang berbanding pencalonan yang diperolehi dirinya. Belum lagi babak ini melabuh tirai, Zaid pula menyatakan sokongan agar Nurul Izzah Anwar bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden.

Pada hakikatnya, Zaid mencungkil saraf anggota partinya apabila menerima satu wawancara bersama Mingguan Malaysia. Seandainya diteliti, mereka yang berada di kem Zaid sebenarnya orang yang tidak berpuas hati dengan Azmin Ali, misalnya Jeffrey Kitingan yang tidak berpuas hati kerana pelantikan Tamrin Zaini sebagai Pengerusi Perhubungan Sabah; ahli parlimen Padang Serai N. Gopalakrishnan dan sebagainya.

Dan kita tidak lupa puak "korporat", termasuk Soh Chee Wen, yang seketika dahulu rapat dengan bekas Presiden MCA Ling Liong Sik. Kebetulan bekas Pengarah Komunikasi, Jonson Chong telah menyatakan sokongannya terhadap Zaid, dan sudi membantu Zaid untuk berkempen. Zaid pernah mengeluarkan kenyataan untuk membela Soh Chee Wen, yang disifatkannya rapat dengan Anwar Ibrahim seketika dahulu. Apabila tindak-tanduk ini dikaitkan bersama, ia akan memberi persepsi bahawa wujudnya kerjasama yang terjalin antara kedua-dua puak ini.

Dalam satu wawancara bersama MerdekaReview, ketika mengulas nama Soh Chee Wen (gambar kanan), Syed Husin Ali memberi bayangan, "Baca Free Malaysia Today, kaji siapa di belakangnya... Adakah ia menganggap parti sebagai kawan, atau lawan?"

Zaid dijangka meraih sokongan daripada kelas menengah dan penduduk bandar. Mereka memberi penghormatan kepada Zaid Ibrahim yang meletak jawatan Menteri Jabatan Perdana Menteri ketika kerajaan Barisan Nasional menangkap wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada September 2008.

Namun demikian, Zaid Ibrahim yang pada mulanya mendapat sokongan mereka yang tidak suka Azmin Ali, dikatakan kehilangan sokongan itu setelah menunjukkan sikap yang dianggap terlalu angkuh. Malah, sesetengah anggota yang sedar sikap Soh Chee Wen, juga dipercayai tidak lagi menaruh harapan kepadanya./Merdeka Review

2 ulasan:

  1. Ulasan dan hujah kita biarlah berfakta. Ulasan itu jangan kerana emosi. Tuduh menuduh antara satu sama lain akan memburukkan lagi keadaan. Jika keadaan ini berterusan timbulah berpuak-puak dalam PKR dan wujudlah dendam mendendami antara satu sama lain. Sikap begini akan hancurkan PKR sendiri.
    Contohnya dalam Umno dimana sikap berpuak-puak, jatuh menjatuh diantara satu sama lain menyebabkan parti itu jadi lemah dan bila-bila masa akan rebah ke bumi akibat tidak demokratik dalam setiap pemilihannya.
    Antara Zaid dan Azmin pra syaratnya sudah melayakkan mereka bertanding. Jadi setiap pemimpin atau yang membuat ulasan harus akur serta bersikap adil dan tidak menyebelahi mana-mana pihak memandangkan mereka berdua dari parti yang sama. Janganlah kita memanaskan lagi keadaan dengan menyokong Azmin atau Zaid. Ulasan itu biarlah bersikap telus dan demokratik.
    Kita sayangkan Azmin dan kita perlukan Zaid yang berpengalaman dalam politik untuk sama-sama melakukan perubahan ke Putrajaya.

    BalasPadam
  2. Yg Dituduh Agen Umngok15 Oktober 2010 pada 8:45 PG

    Setuju dgn Martoiriat. Knp tuan blog ni sakit hati sgt dgn zaiddgn mendedahkan keburukan beliau? Jika benar zaid ada org korporat di blkgnya, apa kurangnya azmin? Kamu siasat betul2 siapa di blkg azmin. Bila aku kata begini kamu akan tuduh aku agen umngok. Habis tu kamu tu agen siapa? Tidakkah kamu sedar kamu juga sama dgn spesis umngok? Latar belakang azmin juga menjengkelkan jika kamu kenal siapa dia sebenarnya. Kemewahan zaid setidak2nya kita tahu dia mempunyai firma guaman tg terbesar. Kemewahan azmin yg melampau dtg dari mana? Jadi SU anwar boleh mewah begitu? Kami ada bnyk fakta ttg azmin tp kami tidak mahu dedahkan krn ia akan memburukkan keadaan. Jika kami balas dgn pendedahan keburukan azmin maka kami akan jadi serupa busuk spt kamu. Rasionallah sikit...

    BalasPadam