Ahad, 17 Oktober 2010

TIMB PRES PKR - YB AZMIN SEDIA BERDEBAT

Perdebatan umum antara calon:
Azmin Ali bersikap terbuka

Lim Hong Siang | Oct 16, 2010

Azmin Ali bersikap terbuka terhadap perdebatan umum antara calon Timbalan Presiden PKR, seandainya diadakan semasa pemilihan parti untuk mempromosi dasar parti dan calon yang menawarkan diri.

"Saya mengambil sikap yang terbuka, kerana ini satu tradisi yang baik. Dan ianya akan diputuskan oleh parti untuk masa yang akan datang," kata calon Timbalan Presiden PKR ini.

Wartawan menyusul dengan soalan sama ada beliau sudi menyahut, seandainya ada cadangan untuk mengadakan perdebatan umum, Azmin (gambar kanan) berkata, "Ya, ini satu tradisi yang baik. Tetapi perdebatan itu mesti tumpu kepada persoalan pokok perjuangan, dan tidak mahu digunakan sebagai pentas untuk menyerang dasar-dasar parti atau mana-mana pimpinan kerana pastinya... "

Beliau menyambung, "Oleh kerana media dalam negara ini dikuasai dan dipengaruhi oleh parti-parti politik dalam UMNO dan Barisan Nasional, mereka pastinya akan melakukan manipulasi untuk menyerang kita (PKR). Jadi kita juga lebih berhati-hati dalam konteks ini, dan ianya akan dibincang di peringkat pusat."

Perdebatan umum dibangkitkan wartawan, sambil menyatakan pengamatan bahawa cara kempen calon Timbalan Presiden setakat ini lebih tertumpu kepada sindiran terhadap peribadi sesama calon, tetapi tidak menyentuh dasar atau polisi parti.

"Saya dan pimpinan tidak bersetuju apa juga tindakan untuk berkempen secara kotor. Biro politik telah menegaskan (bahawa) kita akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana calon yang terlibat dalam kempen yang tidak sihat ini," tegasnya.

"Walau bagaimanapun, kalau saudara (wartawan) lihat, sepanjang proses dan program pertemuan saya dengan pimpinan, anggota parti, kita menawarkan visi dan program-program yang akan dibawa oleh pimpinan, dan tidak terlibat dalam mencerca ataupun menyerang peribadi mana-mana calon."

"Dalam perhimpunan pada petang ini pun, pimpinan yang berucap semuanya menonjolkan imej kepimpinan dan wawasan bagi memperkukuhkan parti," katanya dalam satu sidang media selepas pidato penerimaan pencalonan dan pelancaran manifesto "Reformasi menuju Putrajaya", di Dewan Auditorium, Dewan Sivik MBPJ petang ini.

Turut hadir dalam sidang media bersama Azmin Ali adalah calon Naib Presiden Tian Chua, Xavier Jayakumar, Mansor Othman, dan calon Ketua Wanita Zuraidah Kamaruddin.

Manifesto yang premature?

Tema manifesto "Reformasi menuju Putrajaya" mencungkil pertanyaan daripada wartawan, sama ada sebagai manifesto yang terlalu "premature" (terlalu awal)?

"Mengapa tidak? Kami menyasarkan matlamat (menuju Putrajaya) ini sejak 12 tahun yang lalu. Dengan mood dan sentimen rakyat di akar umbi yang ada sekarang, saya yakin mereka sudah bersedia untuk berubah. Dan Parti Keadilan seharusnya bersedia dari sekarang, untuk menawarkan dasar kami, untuk meyakinkan rakyat bahawa ini masa yang terbaik untuk perubahan dan bekerja bersama kami untuk menuju ke arah Putrajaya. Jadi ini masa yang tepat. Dan kita tidak mempunyai masa yang banyak, mereka (BN) mungkin memanggil PRU kilat..."

Bagaimanapun, Azmin Ali enggan enggan mengulas manisfesto Zaid Ibrahim, yang berjanji untuk mencari jalan agar "mengisi tabung Cabang" seandainya terpilih sebagai Timbalan Presiden.

"Bagaimana boleh saya mengulas manifesto orang lain? Anda seharusnya bertanya dia," sebelum beliau menyambung, "Maksud saya, sebelum beliau merangka manifesto beliau, saya pasti beliau ada sebabnya untuk penawaran sebegitu dalam manifestonya. Saya tak mahu mengulas manisfesto beliau, saya menganggap tidak sesuai untuk saya berbuat demikian. Anda harus tanyalah beliau."

Wartawan membalas dengan mendakwa Zaid Ibrahim turut mengulas manifesto Azmin, beliau berkata, "Baik, itu pilihan beliau. Tetapi saya tidak suka komen (manifesto) orang lain, sebab saya menawarkan manifesto. Saya mengolahnya dalam ucapan saya. Kemudian, terserahlah kepada anggota parti untuk membuat keputusan."

Yakin kerana pengalaman 12 tahun

Azmin akan bertarung dalam pertandingan tiga penjuru, bersama Mustaffa Kamil Ayub dan Zaid Ibrahim untuk jawatan Timbalan Presiden. Ketika ditanya sejauh mana keyakinannya untuk menang dalam pemilihan ini, beliau berkata, "Saya menghormati proses demokrasi di dalam parti. Dan sudah tentulah pada tahun ini ia lebih mencabar kerana setiap anggota itu mempunyai satu undi untuk menentukan kepimpinan parti dalam pemilihan kali ini."

"Walau bagaimanapun, keyakinan saya bersandar pada pengalaman saya bersama anggota-anggota parti selama 12 tahun, dalam keadaan parti berada pada tahap yang paling lemah, dan kini alhamdulillah sudah muncul sebagai sebuah parti yang mempunyai satu peranan penting dalam politik Malaysia," katanya.

"Maka dalam konteks ini, saya yakin anggota-anggota parti akan mendukung pimpinan yang telah diuji dan teruji, pimpinan yang setia dalam perjuangan dan mempunyai wawasan untuk memperkasa parti bagi menghadapi pilihan raya umum yang akan datang."

Majlis pidato dan pelancaran manifesto Azmin Ali dihadiri kira-kira 1,500 orang penyokong, termasuk pimpinan dari Sabah, Angkatan Muda, Wanita dan sebagainya.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan