Jumaat, 29 Oktober 2010

TUDUHAN ZUL KULIM - `WELL DONE' AZMIN, KAMI SETUJU GELARAN `ANJING MENYALAK'

KUALA LUMPUR, 29 Okt — Pemimpin Keadilan dan DAP menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu bahawa mereka mengadakan pakatan rahsia dengan mengetepikan PAS bagi menjamin dominasi kepimpinan Cina jika Pakatan Rakyat (PR) menguasai Putrajaya.

Sebaliknya kepimpinan kedua-dua parti itu membidas Zulkifli Noordin, yang keluar keadilan awal tahun ini, sebagai pembohong yang memutarbelitkan cerita untuk 'berkhidmat' kepada pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN).

“Tiada pakatan atau perjanjian rahsia sama sekali. Ini cerita mengarut Zulkifli yang hanya berminat untuk memecahbelahkan anggota Pakatan Rakyat.

“Dia ahli politik yang sudah bankrup, yang digunakan oleh BN untuk membangkitkan dakwaan-dakwaan seperti ini ke atas kami,” kata Azmin Ali

“Kami bukan macam B-end,” kata Azmin yang menyifatkan Zulkifli sebagai “anjing yang menyalak.” Azmin juga berkata, serangan bertubi-tubi B-end terhadap mereka membuktikan bahawa perikatan diterajui Datuk Seri Najib Razak terganggu dengan perpaduan kukuh di kalangan pemimpin DAP, Keadilan dan PAS.

“Kami berada dalam kedudukan mantap sekarang. Kami akan terus kuat, bersatu dan akan membuktikan untuk muncul barisan yang menggerunkan dalam pilihan raya umum akan datang.

“Kekuatan Pakatan Rakyat ialah menerusi (pendekatan) perbincangan sepanjang masa dan datang dengan (keputusan) konsensus,” kata Azmin lagi.

Semalam, Zulkifli mendakwa DAP dan Keadilan membuat perjanjian sulit di luar pengetahuan PAS untuk memberi kuasa kepada DAP memerintah di tiga negeri sekiranya pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13.

Zulkifli mendakwa hubungan rapat antara DAP dan Keadilan adalah didorong oleh perjanjian kuasa tersebut. “Saya rasa perkara ini kawan-kawan saya dalam PAS juga tak tahu. Sebenarnya ada perjanjian sulit antara mereka iaitu jika Keadilan menang di peringkat Persekutuan, kuasa autonomi akan diberikan kepada Pulau Pinang.

“Calon Melayu akan diletakkan di Perak dan Negeri Sembilan, kalau menang, Menteri Besar akan dilantik dari kalangan DAP... saya mohon perkara ini dipandang berat,” katanya ketika membahaskan Bajet 2011 di Dewan Rakyat.

Beliau yang merupakan anggota ke-100 mengambil bahagian dalam perbahasan rang undang-undang tersebut juga menyarankan lebih banyak bahan bacaan berhubung peristiwa 13 Mei diterbitkan untuk membolehkan rakyat mengetahui fakta sebenar di sebalik peristiwa hitam berkenaan.

Penasihat DAP Lim Kit Siang yang senada dengan pandangan Azmin pula mempertikaikan waktu wakil rakyat itu membuat “pendedahan” itu.

“Tiada perkara sedemikian, ia tidak benar. Ke mana dia hendak pergi dengan ini (kenyataan),” kata Ahli Parlimen Ipoh Timur ini.

“Apa yang dia katakan itu cerita dongeng. Parlimen tidak harus dijadikan tempat untuk membuat cerita-cerita dongeng,” kata beliau

Bagaimanapun pemimpin veteran ini enggan mengulas lanjut atas alasan tidak mahu memberi tumpuan kepada bekas pemimpin PR itu.

Pengarah Pilihan Raya Keadilan Fuziah Salleh juga mengetepikan dakwaan Zulkifli sambil berkata, beliau melihatnya sebagai perkara “normal” memandangkan PR berhadapan dengan dua pilihan raya kecil sekarang.

“Ini perkara biasa bagi Zulkifli Noordin, ini helah untuk dia berkhidmat bagi pemimpin-pemimpin politik (dari BN).

“Biasalah, hari pengundian semakin dekat, kami memang telah menjangkakan yang dia akan muncul dengan perkara-perkara macam ini,” kata Fuziah lagi.
“Zul, berhentilah daripada bercakap cerita dongeng... bertanggungjawab dengan tindakan-tindakan kamu,” kata Fuziah yang menyelia jentera pilihan raya Keadilan di Batu Sapi sekarang.

Malah Fuziah menegaskan, Keadilan sama sekali tidak akan membuat pakatan berasingan bersama DAP dengan mengetepikan PAS.

“Kami menafikan dakwaan ini. Ia tidak benar. Jika anda melihat, kesemua PAS, DAP, Keadilan, kami bersatu,” kata beliau sambil menambah, “mengapa kami perlu buat macam ini?”

“Ia bukan ciri politik dalam Pakatan Rakyat. Dia pembohong,” kata Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan./Loveperak.blogspot

Tiada ulasan:

Catat Ulasan