Harakahdaily |
PETALING JAYA, 26 Nov: Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail mendakwa media arus perdana sengaja memburukkan parti itu dengan menggunakan gambar-gambar dan keterangan yang mengelirukan rakyat dalam proses pemilihan parti. Saifuddin dalam sidang media di Kongres Nasional PKR hari ini merujuk satu gambar yang memaparkan seorang pengawas Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) sedang menuding jari kepada seorang ahli yang sedang mengundi. "Sedangkan, pengawas itu sedang membantu seorang pengundi yang buta huruf. Senarai calon panjang, bukan seperti pilihan raya umum yang ada dua atau tiga calon sahaja. Untuk MPP sahaja, kita ada 20 calon," katanya yang juga ahli Parlimen Machang. Menurut Saifuddin, insiden di Cabang Merbok itu digembar-gembur akhbar The Star, seolah-olah gambar berkenaan menjadi bukti sahih hingga mendorong pembaca menyangka 'penyelewengan' sedemikian benar-benar berlaku. Dalam laporan sebuah portal pula, beliau berkata, media itu menyiarkan gambar kiriman ahli parti dengan merujuk individu yang sedang mengundi adalah seorang pengawas JPP sedangkan ia tidak benar. Beliau turut hairan apabila aduan beserta gambar yang diemel kepada portal berita itu tidak disalurkan kepada JPP. "Bagaimana kita hendak siasat jika aduan dihantar kepada Regina (wartawan Malaysiakini) tetapi tidak sampai ke meja JPP?" katanya berseloroh. Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, hanya 12 aduan peringkat cabang dari 289 keseluruhan aduan yang masih dalam siasatan manakala sembilan lagi di peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sedang diteliti/Harakahdaily |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan