Isnin, 22 November 2010

SELAMAT DATANG DS ANWAR KE PAHANG ESOK (23 NOV )

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim khabarnya akan bertandang ke bumi Pahang Darul Makmur pada 23 November ini. Kunjungi ini adalah sesuatu yang amat ditunggu-tunggu oleh ahli PKR dan juga rakyat Pahang sebenarnya.

Tambahan pula disaat kemelut pemilihan 2010 yang kini melanda parti itu. Apa yang pasti kehadiran Anwar bakal memberi suntikan baru kepada pimpinan PKR negeri untuk kembali memperkukuhkan parti selepas agak tegang gara-gara kempen pemilihan ini. Justeru itu ramai yang amat ternanti-nanti kemunculan mantan TPM itu. Difahamkan, Anwar bakal bertemu dengan kepimpinan PKR negeri di Pejabat Perhubungan PKR Jalan Beserah Kuantan.

Sementara di sebelah malamnya, beliau akan bertemu rakyat dalam ceramah umumnya yang kedua di lokasi terbabit. Harus diingat, Anwar pernah hadir dan berceramah di tempat yang sama awal tahun ini. Makanya, kehadiran Anwar kali ini pasti akan memberi harapan baru buat PKR Pahang. Sudah pasti, nama Datuk Zaid Ibrahim bakal ditimbulkan semasa ceramah beliau itu nanti.

Soalnya, apakah relevan untuk nama Zaid terus dimainkan, sedangkan penyokong bekas calon Timbalan Presiden itu sebenarnya masih ramai dalam PKR Pahang itu sendiri. Ada sebahagian daripada mereka kini, mengakui bahawa tertipu dengan permainan Zaid. Beliau begitu licik memberi harapan kepada para penyokongnya, tetapi tiba-tiba bertindak diluar dugaan mereka seperti apa yang berlaku sekarang ini. Semuanya ini jelas membuktikan bahawa para penyokong Zaid tidak bersalah sebenarnya apabila memberi sokongan kepada beliau.

Namun, masalahnya yang berlaku mutakhir ini mereka bukan sahaja dihentam dan dikutuk oleh penyokong Azmin Ali. Malah ada juga yang telah diberi kata dua bahawa riwayat politik masing-masing akan berakhir kiranya berlaku rombakan kepimpinan negeri selepas ini.

Apapun, hanya Anwar Ibrahim yang lebih mengetahui dan bakal meredakan keadaan yang berlaku ini. Nantikan kunjungan beliau ke Kuantan bagi mendengar amanat terakhirnya sebelum Kongres Nasional PKR mulai 26 November ini./PahangdailyJustify Full

Tiada ulasan:

Catat Ulasan