SHAH ALAM 11 NOV : Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, belum menerima bukti nyata dari calon Timbalan Presiden, Mustaffa Kamil Ayub dan 24 cabang yang mahukan pemilihan ditangguhkan kerana mendakwa wujud pelbagai kepincangan.
Pentadbir Pemilihan PKR, Raden Shamsulkamar Raden Shamsudin berkata, pihaknya bersedia melakukan siasatan sekiranya dakwaan itu disertai fakta tepat dan didokong dengan bukti kukuh.
" Maknanya (jelas), janganlah sebarang aduan dibuat secara melulu (sweeping). Sebagai contoh dakwaan pengawas tidak berlaku adil haruslah beserta dengan data yang spesifik. Di mana,apa yang berlaku, cabang mana dan bila. (Kalau tidak) kita pun tidak dapat ambil tindakan," kata Raden kepada Tv Selangor.
Beliau berkata 24 cabang yang mahukan pemilihan dibatalkan tidak mengemukakan sebarang bukti untuk menyokong desakan mereka bagi membolehkan ibu pejabat PKR melakukan siasatan.
" Ini masalahnya... bila mereka kata selesaikan dahulu (kepincangan pemilihan), (soalnya) selesaikan apa?," kata Raden.
Raden percaya tindakan 24 cabang yang meminta pemilihan PKR ditangguhkan sementara menyiasat masalah yang timbul, mungkin terkesan dengan tindakan Datuk Zaid Ibrahim menarik diri dari saingan untuk Timbalan Presiden.
" Saya rasa 24 cabang ini lebih cenderung atau simpati kepada Datuk Zaid dan ia agak mudah untuk difahami," tambah Raden.
Raden berkata 24 cabang itu seharusnya menjejaki langkah Datuk Zaid apabila meminta parti memperbaiki sistem pemilihan sebelum beliau menerima pencalonan sebagai Timbalan Presiden.
"Contohnya Datuk Zaid hantar surat, cadangkan tujuh perkara sebelum pemilihan. Beliau berkata kalau tujuh perkara ini dibuat, barulah beliau akan memutuskan sama ada menerima pencalonan atau tidak. Enam daripada tujuh cadangan itu parti laksanakan. Kita berikan kredit pada dia lah. Dia cadang tujuh kita terima
enam," kata Raden.
" Datuk Zaid lebih spesifik dan Mustaffa Kamil Ayub, tidak. Begitu juga dengan 24 cabang itu," kata Raden lagi.
Raden juga berkata pihaknya akan bersikap proaktif terhadap enam resolusi yang diluluskan bersabit pemilihan parti oleh Rapat Anak Muda semalam yang dianjurkan oleh calon ketua angkatan muda keadilan, Badrul Hisham Shaharin.
Difahamkan, resolusi yang mengandungi cadangan untuk penambahbaikan parti diserahkan kepada presiden dan majlis pimpinan pusat pada hari ini.
Raden berkata cadangan-cadangan yang spesifik dalam resolusi itu akan diberi pertimbangan yang wajar kerana sebarang cadangan untuk penambahbaikan, pastinya akan dialu-alukan oleh parti.
.
" Tapi tentang 6 resolusi itu saya masih belum melihatnya. Saya tidak tahu butiran yang cuba diketengahkan oleh kumpulan Chegubard (Badrul Hisham)," kata beliau./TVNews
Jumaat, 12 November 2010
TIADA BUKTI ITU MASALAHNYA - JPP
Dakwaan Mustaffa Tidak Ada Bukti - JPP
11/11/2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan