Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin telah menunjukkan betapa cetek semangat beliau terhadap kepedulian kepada rakyat apabila beliau membayangkan Malaysia akan jatuh bankrap jika program 100 Hari Pakatan Rakyat dilaksanakan. Ia juga menunjukkan betapa beliau tidak yakin dengan kemakmuran hasil mahsul Negara yang dikurniakan Allah SWT.
Apa-apa  pun, saya tidak terperanjat apabila beliau berpendirian sedemikian  walau sedikit kecewa kerana orang No. 2 negara gagal meletakkan  kebajikan rakyat sebagai asas mentadbir Negara.  Ini menunjukkan UMNO-BN  sememangnya akan meneruskan corak pemerintahan sejak 52 tahun dahulu  yang tidak meletakkan kebajikan dan kepentingan rakyat sebagai keutamaan  walau terpukul teruk pada 2008 yang lalu.
Kerana kedangkalan  pemikiran pemimpin BN terhadap keperluan rakyat, Pakatan Rakyat  mempersembahkan program 100 hari untuk rakyat Malaysia bagi melaksanakan  reformasi menyeluruh dalam semua aspek pentadbiran; perundangan,  ekonomi dan pendidikan.  Sebagaimana yang dijangka, tanpa berfikir  panjang Muhyiddin melahirkan keraguan terhadap kemampuan Negara dan  mempersenda pula jasa para guru apabila menyatakan Negara akan bangkrap  jika imbuhan RM500 diberikan kepada mereka.  Dengan gelojoh pula  mencabar negeri Pakatan melaksanakannya.
Terbukti  Muhyiddin dan BN telah menjadi mangsa kepada perbuatan  mereka sendiri yang menggunakan arus perdana alat propaganda untuk  memutar belit fakta sehinggakan mereka jelas tidak tahu bahawa Kerajaan  Pakatan Rakyat Selangor telahpun melaksanakan lebih daripada 60%  daripada sembilan program yang disenaraikan di dalam Dasar Bersama  Pakatan Rakyat.  Bajet Selangor Hasil Negeri Untuk Rakyat begitu  komprehensif telah melaksanakan agenda Pakatan tersebut.
Pakatan  Rakyat Selangor telahpun menjaga kebajikan kakitangan awam khusus  profesion perguruan.  Bukan sahaja kita mengikhtiraf kewujudan dan  kepentingan peranan mereka, kita telah menaikkan elaun guru KAFA  sebanyak RM500 menjadikannya RM1,000 sebulan dalam tempoh setahun  mentadbir Selangor.  Kakitangan kerajaan pula diberikan sumbangan musim  perayaan sebanyak RM500 dan RM500 lagi untuk bonus hujung tahun.  Inilah  yang dikatakan rakyat didahulukan, bukan sekadar slogan murahan.
           
Selangor  telah memperkemas urusan pentadbiran negeri yang lebih telus dan  bertanggungjawab dengan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai  Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) yang telah  berjaya mengadakan beberapa siri sesi pendengaran awam berhubung dakwaan  penyelewengan dana awam dan salah urus tadbir.
Selangor telah  menjangkau ke hadapan apabila meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat  untuk membolehkan rakyat tahu bagaimana negeri Selangor ditadbir  termasuk tatacara perbelanjaan hasil negeri.  Selangor mahu pembayar  cukai turut serta dalam pembangunan, pada masa yang sama mewujudkan  proses timbangtara dalam penggunaan hasil negeri.  Untuk itu Selangor  menjadi negeri pertama yang melaksanakan pendengaram awam di kesemua  Pihak Berkuasa Tempatan.  Melalui Pelan Tiga Tahun Selangor seluruh  rakyat Selangor berpeluang berbincang bersama Pihak Berkuasa Tempatan  (PBT) dan jabatan kerajaan berkaitan permasalahan rakyat baik dari segi  mutu perkhidmatan yang ditawarkan, masalah keselamatan hinggalah masalah  domestik.  Penyelesaian menyeluruh juga telah dicadangkan dalam sesi  tersebut.
Visi melindungi dan menyelamatkan Khazanah Nasional. Di Selangor, kita telah memperkasa Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) yang membolehkan MBI mengambil alih kesemua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya pentadbirannya selari dengan matlamat penubuhan dan menyelamatkan aset milik kerajaan Selangor dari disalahguna samada atas tiket penswastaan mahupun oleh pemimpin dan syarikat kroni yang tamak.
Dalam  tempoh kurang tiga tahun memerintah, MBI telah Berjaya mengenal pasti  dan mengutip semula hutang lapuk dari syarikat Talam Corporation Berhad  (Talam) berjumlah RM392 juta yang ditinggalkan kerajaan BN.  Hasilnya,  sebanyak RM50 juta dari kutipan hutang ini kita kembalikan semula kepada  rakyat menerusi Skim Mikro Kredit Selangor (SKIMSEL) untuk membantu  golongan miskin luar bandar manakala RM20 juta diperuntukkan untuk  membantu rakyat miskin di Bandar menerusi skim yang sama.
Mengenai  Felda yang tersimpang jauh dari matlamat asal penubuhan; yakni memberi  peluang peneroka memiliki tanah yang telah mereka usahakan maka terdapat  banyak tanah Felda di Selangor tergadai kepada pihak ketiga.  Malang  sungguh kerana terdapat juga tangan-tangan pemimpin UMNO yang turut  terpalit.  Kerajaan Selangor sedang berusaha keras menyelamatkan  tanah-tanah milik peneroka Felda termasuk tanah-tanah peserta program  Revolusi Hijau yang telah tergadai kerana penyelewengan yang dilakukan  kroni-kroni BN.  Kita telah berjaya menyelamatkan ribuan ekar tanah dan  menyelesaikan ribuan unit rumah terbengkalai menerusi program  pembangunan semula projek terbengkalai antaranya di Bukit Botak, Ukay  Perdana dan Alam Perdana.
Penstrukturan semula syarikat GLC telah membolehkan Selangor melaksanakan program pemberian air percuma sejak Jun 2008. Pemberian air percuma ini bukti kita mengurus harta rakyat dengan cekap dan bijaksana. Dengan kebijaksanaan inilah maka hari ini kita telah mengenal pasti asset milik rakyat bernilai lebih RM10.9 bilion yang digunakankan syarikat kroni yang tamak. Pengurusan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan lebih efisien dan berfaedah kepada rakyat sekiranya kerajaan negeri berjaya mengambil alih semula pengurusan air, malangnya mendapat kekangan dahsyat dari Kerajaan Persekutuan.
Pakatan  Rakyat Selangor juga telah mereformasikan suruhanjaya bebas supaya adil  dan tidak dikawal oleh parti-parti atau pemimpin politik tertentu.   Kita menawarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka  pejabat cawangan di Pejabat Menteri Besar dan Kumpulan Semesta Sdn Bhd  (KSSB).  Malah, SPRM dan KSSB telah menubuhkan jawatankuasa bersama bagi  menghalang jenayah rasuah.
Program yang dinyatakan ini tidak  termasuk program kebajikan yang kita laksanakan seperti Skim Mesra Usia  Emas, Hadiah Anak Masuk Universiti, Tabung Pendidikan Anak Pekerja  Ladang, Tabung Warisan Anak Selangor, Ujian Kesihatan Untuk Wanita,  Tuisyen Rakyat, dana kesihatan, bantuan untuk sekolah agama rakyat,  sekolah Cina serta Tamil dan banyak lagi.
Kesemua program yang  kita laksanakan ini tidak pula menyebabkan Selangor jatuh bankrap.   Malah, Selangor mencatatkan lebihan pendapatan sepanjang 2010 dan  berjaya membentangkan belanjawan berimbang untuk 2011.
Ini jauh lebih baik berbanding sesetengah negeri di bawah BN yang membentangkan belanjawan defisit. Malah Malaysia sendiri membentangkan bajet defisit sejak 10 tahun yang lalu. Manifesto yang dibuat Pakatan Rakyat tidak akan menjadikan Malaysia sebuah negeri bankrap jika diurus dengan baik, jujur, telus dan bertanggungjawab seperti diamalkan di Selangor.
Program  kebajikan ini kita gunakan 100% hasil negeri tanpa mengharapkan satu  sen pun bantuan dari Kerajaan Pusat.  Menerusi pentadbiran yang amanah,  jujur dan iklas, kewangan Selangor masih kukuh dan lebih baik berbanding  negeri-negeri bawah BN.
Walaupun tanpa slogan perpaduan yang  diciplak, Kerajaan Selangor telah melaksanakan program tersebut yang  telah memanfaatkan semua bangsa.   Malah, orang UMNO juga menerima  manfaat daripada program berkenaan.
Muhyiddin boleh mengulangi komitmennya terhadap "Melayu dulu" serta mengulangi retorik mahu membantu rakyat di bawah lembayung slogan 1Malaysia tetapi Pakatan Rakyat akan terus melakukan apa yang diperjuangkan sejak mula lagi iaitu melakukan reformasi dengan telus dan kebertanggungjawaban.
*Kenyataan media oleh Faekah Husin (gambar ) selaku Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor.
Sumber: MerdekaReview
Tiada ulasan:
Catat Ulasan