Rabu, 15 Disember 2010

AIR MATA TAK LAKU DARI UMI HAFILDA

Demi bangsa, agama dan negara

Untuk beberapa dekad kita dikerah untuk memperjuangkan retorik yang "gah" dengan titik peluh sendiri. Makcik-makcik yang menderma barang kemas untuk perjuangan "kemerdekaan" pada tahun 1950-an semestinya tidak terbayang bahawa "kemerdekaan" selepas 53 tahun bermakna anak cucunya perlu disembur meriam air dan gas pemedih apabila menuntut hak air di jalan raya. Anggota komunis yang bertempur dalam hutan semestinya tidak rela seandainya kemerdekaan yang diperjuangkan dengan titisan darahnya itu digunakan untuk menahan Mat Sah menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri selama tujuh tahun tanpa perbicaraan.

Dan kini Melayu digembleng pula untuk mempertahankan "Ketuanan Melayu" - dengan titisan air mata Ummi Halfida di Utusan Malaysia. Saya tidak tertarik untuk membandingkan sama ada air matanya lebih bersinar daripada cincinnya. Saya juga tidak berminat apakah lebih bermakna untuk membincangkan hubungan yang berlegar antara Anwar, Azmin dan Shamsidar Taharin, berbanding dengan kekayaan yang berlegar antara Vincent Tan, Ananda Krishnan, Mirzan Mahathir dan Nazir Razak.

Persoalannya, apakah titisan air mata Ummi Hafilda mampu menjamin keselamatan seorang budak 14 tahun apabila pulang dari warung mamak selepas menonton bola pada lewat malam? Apakah air matanya mampu meredakan kesakitan mereka yang disembur air meriam dan gas pemedih mata, ketika menuntut hak air di jalan raya?

Betul, Ummi Halfida menitiskan air matanya untuk retorik yang gah berbunyi "Ketuanan Melayu". Namun, di sebalik retorik yang "gah" ini - siapa pula yang menitiskan air mata? Demi "ketenteraman awam", isteri dan anak tahanan ISA perlu menitiskan air matanya kerana perpisahan. Di sebalik "keselamatan negara", seorang kartunis bernama Zunar dipindahkan lima balai polis dalam masa sembilan jam - siasatan terhadap bahan ketawa berakhir dengan bahan ketawa sendiri...

Saya enggan bersikap sinis untuk mempersendakan Ketuanan Melayu. Namun, untuk saya, Melayu hanya jadi Tuan, apabila setiap tuduhan terhadapnya dibicarakan secara terbuka di mahkamah; Melayu hanya jadi Tuan, apabila tidak perlu takut untuk berkumpul dan bersuara di jalan raya - tanpa disembuh meriam air dan gas pemedih; Melayu hanya jadi Tuan, apabila bebas ketawa tanpa perlu memohon lesen; Melayu hanya jadi Tuan, apabila ibu bapa tidak perlu gelisah jikalau anaknya pulang dari warung mamak selepas menonton bola; Melayu hanya jadi Tuan, apabila sandwich anaknya dilengkapi sardin, timun, tomato dan salad...

Saya tidak terlupa apabila jiran Aminulrasyid menyifatkan bunyi tembakan pada malam itu bagaikan bunyi mercun. Dan bunyi itu menghantui saya sehingga hari, setiap kali letupan bunyi bunga api kedengaran. Saya semakin teragak-agak, apakah itu bunga api untuk meraih Ketuanan Melayu, ataupun seorang lagi Aminulrasyid yang sedang dikejar dalam ketakutan?

* MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.

1 ulasan:

  1. Strong words
    Surely to rile up some UMNO dick lickers anytime soon
    I would like to add:
    Melayu hanya jadi tuan apabila pelajar IPTA/IPTS dapat memperolehi bantuan kewangan, bukan pinjaman serta tidak perlu berhutang kepada kerajaan setelah tamat pelajaran

    BalasPadam