Isnin, 27 Disember 2010

TAWARAN BUAT CHEGU BARD, JANGAN PANDANG SECARA NEGATIF

Oleh: WFAUZDIN NS

BEBERAPA jam sahaja lagi bekas calon Ketua AMK, Chegu Bard akan mengadakan sidang medianya untuk memaklumkan tindakbalas atau respon beliau terhadap tawaran lantikan Timbalan Setiausaha Agung oleh PKR. Sebelum ini saya ada menulis betapa Chegu Bard wajar menerima perlantikan tersebut bagi merealisasikan prinsip perjuangannya.

Sudah sampai waktu dan ketikanya Chegu Bard berada di dalam `jentera' yang memainkan peranan penting untuk memulihkan parti dari apa yang sering didakwa sebagai tidak begitu demokrasi dan berlaku banyak kepincangan. Mungkin perlantikan itu juga memberikan isyarat jelas daripada pimpinan parti terutamanya oleh Setiausaha Agung YB Saifuddin Nasution agar dapat kiranya Chegu Bard membantu parti dari segi pengurusan dan pemilihan agar parti dilihat lebih demokrasi, telus dan adil.

Adakah perlantikan ini bersyarat agar Chegu Bard melupakan segala apa yang telah berlaku sepanjang pemilihan yang lalu? Seandainya benar sedemikian, maka Chegu Bard tidak wajar menerima perlantikan tersebut. Tetapi, sekiranya parti berkehendakkan idea atau peranan Chegu Bard secara lebih efisyen untuk menyelesaikan segala masalah yang mungkin membelenggu parti sekarang, wajarkah Chegu Bard menolaknya?

Terlalu awal untuk Chegu Bard melihat tawaran ini secara negatif. Memahami dilema yang dihadapi oleh Chegu Bard kerana beliau bimbang akan dicop oleh penyokongnya sebagai mudah meninggalkan prinsip hanya kerana jawatan itu. Saya sebagai penyokong setia beliau, tidak memandang negatif tawaran terhadap Chegu Bard itu malah saya merasakan inilah satu peluang keemasan buat Chegu Bard melihat secara lebih dekat lagi bagaimana Ibu Pejabat Parti menguruskan mesyuarat atau pemilihan di dalam parti seperti yang telah berlangsung baru-baru ini. Saya yakin dan penuh kepercayaan bahawa Chegu Bard akan berani dan mampu memikul amanah yang diberikan oleh parti ini.

Saya amat khuatir, seandainya Chegu Bard menolak tawaran tersebut maka akan terdapat suara sumbang yang akan menganggap bahawa Chegu Bard hanya pandai mengkritik atau membuat kondem terhadap parti, tetapi tidak berani bersama parti bagi mengatasi apa jua kepincangan di dalam parti. Saya percaya, jika Chegu Bard menerima tawaran ini beliau tidak mudah untuk menjual prinsipnya.

Walau bagaimanapun, semua keputusan kini berada di tangan Chegu Bard. Kita semakin rimas dengan apa yang sering diperkatakan tentang pemilihan yang lalu. Sepatutnya kita sudah fokus kepada PRU Ke 13 atau paling hampir adalah PRK Dun Tenang tidak lama lagi. Saya mendoakan agar Chegu Bard dapat membuat pilihan yang tepat di dalam keputusannya nanti berdasarkan prinsip beliau bahawa parti perlu di utamakan. Ada ketikanya kita tidak mampu mengubah dari luar, kita diminta masuk ke dalam untuk bersama mengubahnya./wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan