Sabtu, 23 Januari 2010

IKUT EZAM ATAU ANWAR ? BEKAS PENGERUSI GERAK MUNGKIN IKUT ANWAR

Pengerusi Gerak sertai PKR esok


Oleh G. Manimaran

PETALING JAYA, Jika pengerusi pertama Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (Gerak) menyertai Umno dua tahun lalu, penggantinya Mohd Nazree Mohd Yunus pula akan melangkah ke Parti Keadilan Rakyat (PKR), esok.Nazree, 26, yang sebelum ini turut disebut-sebut akan mengikut langkah Ezam menyertai Umno, dikatakan sudah memutuskan untuk menganggotai PKR.

Perkara itu yang sepatutnya diumumkan pagi ini hanya akan dimaklumkan kepada umum tengah hari esok.

difahamkan Nazree sudah mencapai keputusan muktamad untuk menyertai PKR dan telah selesai mengadakan perbincangan akhir dengan kepimpinan parti itu beberapa hari yang lalu.

Pun begitu Nazree (gambar) yang dihubungi lewat semalam enggan mendedahkan nama parti yang bakal beliau sertai.

Ketika ditanya bahawa PKR disebut-sebut sebagai parti pilihannya, Nazree berkata, “biar ia tinggal teka-teki (sehingga esok)... saya akan mengumumkan pada Ahad.”

“Apa yang boleh saya katakan adalah, saya telah dijemput untuk menghadiri satu sidang media di Kuala Lumpur pada Ahad ini,” katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui perbincangan mengenai perkara tersebut sudah selesai.

Dalam pada itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mohd Akin ketika ditanya mengenai perkara tersebut juga enggan memberi sebarang komen.

“Saya belum ada maklumat, bagaimanapun jika beliau hendak menyertai PKR, kami mengalu-alukan... kami mengalu-alukan sesiapa sahaja khususnya mereka yang boleh mendukung perjuangan PKR,” katanya.

Ezam, bekas ketua AMK menubuhkan Gerak dan kemudian menyertai Umno.

Bekas orang kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim itu melepaskan jawatan pengerusi Gerak untuk menyertai Umno pada Jun 2008.

Ezam juga memaklumkan The Malaysian Insider minggu lalu bahawa beliau tidak pernah mengajak Nazree agar menyertai parti politik.

Nazree, 26, sebelum ini mengesahkan kepada The Malaysian Insider bahawa beliau telah memaklumkan secara rasmi kepada barisan kepimpinan Gerak mengenai pendiriannya untuk menyertai parti politik secara sepenuh masa.

Beliau sebelum ini pernah dikaitkan dengan PAS dan Umno.

Bekas pemimpin Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya dan Solidariti Mahasiswa Malaysia menggariskan bahawa parti yang bakal disertainya harus mengamalkan prinsip keadilan, keterbukaan dalam memberi pandangan dan memperlihatkan sifat-sifat futuristik.

Di bawah kepimpinan Nazree, Gerak antara lain telah membuat aduan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr. Mohd Khir Toyo dan juga penggantinya Tan Sri Khalid Ibrahim.

Bagaimanapun Khalid menafikan dakwaan Nazree dan telah memfailkan saman terhadapnya yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah ke atas beliau.

Dalam samannya Khalid mendakwa dirinya difitnah ekoran kenyataan akhbar dibuat Nazree pada 21 Jan 2009, bertajuk “Amalan Rasuah dan Salahguna Kuasa Menteri Besar Selangor” dan “Laporan Salah Guna Kuasa Menteri Besar Selangor” pada 3 Feb 2009 berhubung pengagihan lembu korban dan juga juga penyalahgunaan wang kerajaan untuk membiayai kereta peribadi.M/Insider

UMNO TIDAK TAHU URUS EKONOMI - ANWAR

Tidak usik duit rakyat Selangor: Anwar

PUCHONG - ”Saya berjanji takkan ambil sesen pun duit rakyat Selangor selepas dilantik menjadi Penasihat Ekonomi negeri ini,” kata Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di hadapan 2,000 penduduk di sini pada ceramah Perdana Isu Semasa, malam kelmarin.

Anwar berkata, meskipun ditawarkan elaun oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk jawatan itu namun beliau menolaknya demi untuk meningkatkan kepentingan rakyat.

“Dalam negeri ini, saya tidak akan mengambil wang rakyat. Tetapi di luar sana (luar negara ) selepas memberi ceramah dan sebagainya, saya akan ambil dan bawa masuk ke sini.

“Mereka (negara luar) berminat dengan apa yang diperkatakan dan dibincangkan terutama dari segi ekonomi,” katanya.

Turut hadir Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, ahli Exco Kerajaan Negeri, Yaakob Sapari dan bekas Naib Presiden MCA, Datuk Chua Jui Meng.

Dalam ucapannya Anwar mendakwa beliau cukup kesal apabila Kerajaan Pusat didakwa tidak pandai mengurus ekonomi dalam negara ini.

“Pada tahun 1990-an di Asia negara ini adalah nombor satu dalam mencapai pertumbuhan dan pelaburan ekonomi tetapi kini banyak negara sudah kalahkan.

“Ia nyata menunjukkan pemimpin UMNO yang rasuah tidak tahu mengurus ekonomi negara,” katanya./Sinar

PAS Jemput Pemimpin Bukan Islam Hadiri Muktamar

22 Januari, 2010

KOTA BAHARU, 22 Jan (Bernama) -- Kelantan dijangka menjadi tuan rumah Muktamar Agung PAS ke-56 Jun ini dan buat pertama kali akan menjemput pemimpin bukan Islam menyertainya.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata pendekatan baru itu bertujuan agar pemimpin bukan Islam mengetahui dengan jelas matlamat perjuangan PAS yang berasaskan ajaran Islam.

"Kita akan menjemput pemimpin bukan Islam seperti Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Ng Yen Yen dan beberapa pemimpin lagi supaya mereka turut mengulas dan memahami dengan jelas mengenai agama Islam seperti yang diperjuangkan oleh PAS," katanya dalam kuliah Jumaat di sini hari ini.

Menteri Besar Kelantan itu berkata beliau juga akan menyediakan buku terjemahan daripada kitab tulisan ulama terkenal dunia Dr Yusoff Qardawi untuk penghayatan pemimpin bukan Islam.

-- BERNAMA

Jumaat, 22 Januari 2010

LAGI GESAAN JAIS DAN MAIS DITUKAR

Wanita PKR saran 'ulama' Jais & Mais ditukar
Jimadie Shah Othman
Jan 22, 10


Wanita PKR menyokong gesaan ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad supaya pentadbiran Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ditukar dengan ulama yang "bebas daripada fahaman politik".

Ketuanya, Zuraida Kamaruddin berkata, gesaan Khalid itu senada dengan pandangannya yang pernah disuarakan pada 1 November lalu di Parlimen, termasuk meminta kedudukan Pengarah Jais Datuk Mohd Khusrin Munawi dinilai semula.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini hari ini, ahli parlimen Ampang itu membayangkan dua badan agama itu 'menganiayanya' berikutan cadangannya dua bulan lalu itu.

Beliau mendakwa, Jais menyenaraihitamkan namanya, termasuk mengeluarkannya sebagai ahli panel daripada sebuah forum keagamaan malam esok di Klang.

"Saya difahamkan oleh penganjur bahawa nama saya dikeluarkan oleh Jais tanpa alasan, dan mereka enggan menyatakannya dalam bentuk hitam-putih (bertulis)," katanya.

"Bagaimanapun, saya akan tetap hadir dan lihat apa yang terjadi. Saya percaya Jais kembali kepada saya ekoran penglibatan saya dalam kes bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin."

Zuraida antara pemimpin politik yang menghadiri kuliah mufti kontroversi itu ketika beliau ditangkap atas dakwaan mengajar tanpa tauliah hujung tahun lalu.


Rancang mengadap Sultan Selangor

Zuraida selepas itu konsisten mengecam tindakan tersebut.

Zu

raida juga berkata, seperti Khalid, beliau juga merancang mengadap Sultan Selangor dalam masa terdekat bagi mencadangkan pertukaran pentadbiran Jais dan Mais.

Semalam, Khalid mengulangi desakan supaya pentadbiran Jais dan Mais ditukar dengan mereka yang berpengetahuan agama, yang bebas dari kefahaman politik selain politik Islam.

Katanya ramai ulama yang berpengalaman seperti Daeng Sanusi Daeng Mariok, Datuk Ismail Kamus dan Datuk Haron Din, boleh diberi peluang untuk menerajui pentadbiran baru.

Khalid yang juga bekas timbalan pesuruhjaya PAS Selangor mengadap Sultan Selangor pagi ini. Isu itu dijangka dibangkitkan dalam pertemuan empat mata dengan baginda./Malaysiakini

Khalid Samad dipanggil menghadap Sultan

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, pagi ini.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani ketika dihubungi mengesahkan Pesuruhjaya Pas Shah Alam itu dipanggil menghadap Sultan Selangor pada jam 11.30 pagi.

Ketika ditanya adakah kontroversi antara Khalid dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkaitan penggunaan kalimah Allah oleh agama lain menjadi punca beliau dipanggil menghadap Sultan Selangor, Mohamad Munir enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, Khalid ketika dihubungi juga tidak mahu memberikan sebarang komen mengenai perkara tersebut.

“Saya tidak mahu mengulas lanjut perkara ini dan jika hendak mengetahui dengan lebih lagi, tanya sendiri dengan pihak istana,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Abdul Khalid dilaporkan menyokong keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

Malah, beliau turut mempertikaikan keputusan Mais berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

Ekoran itu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memberi amaran keras kepada beliau agar berhenti daripada mempertikai keputusan Mais kerana keputusan itu adalah titah Sultan Selangor dan rakyat negeri itu perlu menghormati serta mematuhi keputusan berkenaan.

Jais juga menolak dakwaan wakil rakyat itu bahawa pihaknya dan Mais sengaja ‘mempolitikkan’ isu berkenaan.

Sehubungan itu, Pengarah Jais, Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata, Khalid perlu mengkaji semula kenyataan tersebut kerana ia mempunyai kaitan dengan sensitiviti umat Islam khususnya di Selangor.

Namun Khalid enggan mematuhi lara- ngan berkenaan malah menyarankan Jais dan Mais menyertai atau menubuhkan parti politik.

Khalid mendakwa kedua-dua pihak berkenaan gagal mengawal tindak-tanduk orang ramai yang menyertai demonstrasi isu penggunaan kalimah Allah di Masjid Shah Alam.

Katanya, beliau akan terus melahirkan pandangannya selagi tidak memperolehi respons yang berasas daripada agensi itu khususnya berhubung isu kalimah Allah.

Kontroversi antara Khalid dan Mais tidak dapat disembunyikan lagi apabila Khalid turut meminta kepimpinan institusi agama itu dirombak, selaras dengan pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) agar isu-isu semasa menyentuh umat Islam di negeri itu dapat ditangani dengan harmoni./Sinar

Rabu, 20 Januari 2010

HARGA GULA KEKAL, KITA JANGAN JADI BODOH

Oleh: WFAUZDIN NS

TAJUK popular akhbar hari ini adalah untuk melambangkan keprihatinan kerajaan dengan semangat rakyat diutamakan iaitu dengan pengumuman `harga gula kekal'. Maka, berbuihlah mulut puak-puak ber`mazhab' Umno/Bn bercakap sesama mereka betapa baik hatinya kerajaan kita kerana tidak menaikkan harga gula.

Saya tidak tahu sampai bila ada di antara kita boleh mejadi cerdik. Mengapa terlalu mudah diperdaya sedemikian rupa? Lupakah kita bahawa kita telah di`hadiah'kan dengan pengumuman kenaikan harga gula menjelang tahun baru 2010? Oleh itu, pelik apanya jika tidak sampai beberapa hari, kerajaan umumkan harga gula kekal? Memanglah, masakan harga gula akan naik setiap hari. Saya tidak pasti cerdik atau bodohnya Menteri yang mengumumkan harga gula kekal itu. Apa yang pasti, kita yang melompat riang dengan pengumuman itu menjadi tolol.

Lebih melucukan pula, Menteri itu kata rahmat kenaikan gula itu boleh menjaga kesihatan rakyat. Kerajaan naikkan harga gula untuk pastikan rakyat kurangkan penggunaan gula. wah, baiknya kerajaan Umno/Bn ini. Bagaimana pula dengan makanan atau sayuran yang boleh menjaga kesihatan? Kerajaan turunkan ke? Jika yang bahaya pun naik harga, yang baik untuk kesihatan pun naik harga, jadi sebenarnya apa? Sebenarnya memang hendak naik harga kerana nama BN itu sendiri ada yang menafsirkan sebagai `Barang Naik' (BN). Jadilah cerdik sedikit wahai rakyat Malaysia./Kembali ke laman asal di sini.

KENYATAAN BANKRAP IDEA BERNIAT JAHAT

Harakahdaily
ALOR SETAR, 19 Jan: Pejabat Menteri Besar Kedah menyifatkan kenyataan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menyebut tiada sebarang pembangunan di negeri ini bersifat provokasi, berniat jahat serta mengelirukan rakyat.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah, Mohd Helmi Mohd Khalid berkata, ucapan menteri itu yang dibacakan oleh timbalannya, Datuk Hassan Malek yang menyebut bahawa tiada sebarang pembangunan serta dasar Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua hanyalah retorik dan Kerajaan Kedah hanya mampu menyambung apa yang telah diasaskan oleh BN sebelum ini adalah amat melucukan, geli hati dan lawak.

Dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini, Mohd Helmi berkata, selayaknya teks ucapan itu hanya dibaca oleh seorang pemimpin Umno peringkat cawangan dan bukannya dibaca atas sifat mewakili seorang menteri dalam satu majlis yang sebegitu besar ertinya bagi pembangunan ekonomi Melayu.

Berikut ialah kenyataan penuh Mohd Helmi.

Terlebih dahulu saya mengucapkan syabas dan terima kasih kepada pihak media yang sudi menyiarkan kenyataan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tersebut.

Kenyataan itu cukup untuk membuktikan bahawa penulis teks ucapan, serta pembacanya yang mewakili Shafie iaitu Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hassan Malek langsung tidak mengetahui perkembangan yang berlaku di Negeri Kedah Darul Aman.

Teks ucapan itu juga lebih kepada bersifat provokasi, berniat jahat serta mengelirukan pandangan rakyat kepada Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman serta tidak merujuk mana-mana asas serta tidak berfakta.

Selayaknya teks ucapan itu hanya dibaca oleh seorang pemimpin Umno peringkat cawangan dan bukannya di baca atas sifat mewakili seorang menteri dalam satu majlis yang sebegitu besar ertinya bagi pembangunan ekonomi Melayu – saya berkata demikian berpandukan isi ucapan yang langsung tidak berkualiti dan tidak berpijak di bumi yang nyata.

Ucapan itu juga sekaligus menafikan titah KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah sempena Hari Keputeraan baginda pada 17 Januari lalu antara lain menitahkan bahawa: “Corak pentadbiran Kerajaan Negeri yang baik di bawah kempimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak dengan meningkatkan kualiti hidup rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah tanpa mengira kaum amat dipuji”.

Dalam ucapan yang dibaca oleh Hassan itu menyebut bahawa tiada sebarang pembangunan serta dasar Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua hanyalah retorik dan Kerajaan Kedah hanya mampu menyambung apa yang telah diasaskan oleh BN sebelum ini.

Ia amat melucukan, geli hati dan lawak.

Saya langsung tidak berhajat untuk membariskan satu persatu perancangan yang dalam pelaksanaan oleh Kerajaan Kedah.

Buat pertama kali dalam sejarah Negeri Kedah, pada tahun 2009, sebanyak 11 GLC berjaya memberi sumbangan sejumlah RM30 juta kepada kerajaan negeri.

Laporan Audit Negara tahun lalu bagi Negeri Kedah dengan jelas menyebut bahawa peningkatan hasil sebanyak 205% dalam kutipan hasil balak, kadar kemiskinan pula dicatatkan menurun dan pertumbuhan KDNK hanya kurang 0.02% kenaikannya jika dibandingkan dengan KDNK Negara (KDNK Kedah 4.6%)

Pembinaan kampus tetap Kolej Universiti Insaniah di Kuala Ketil dengan harga sekitar RM380 juta dengan memperkenalkan pengajian di bidang profesional termasuk bidang perubatan atau pembinaan kilang yang bakal menjadi hub kepada hasil tanaman seperti nanas, mempelam serta rambutan yang menjadi lambakan tanpa hasil sejak zaman sebelum merdeka di kalangan rakyat, rasanya cukup memadai bagi menjawab tohmahan dan ucapan dendam kesumat oleh menteri berkenaan.

Itu belum mengambil kira pembinaan rumah kos rendah di Baling dan Kubang Pasu yang bakal dibina, yang kesemuanya dibina berpandukan kemampuan rakyat, bagi menggantikan pembinaan projek perumahan berpandukan kemampuan para pemaju seperti yang diamalkan oleh rakan-rakan Shafie ketika menerajui pentadbiran BN di Kedah.

Menteri Besar senantiasa menyahut saranan Kerajaan Pusat serta memberi kerjasama yang amat baik bagi kepentingan rakyat, tetapi apabila Shafie mula mengungkit-ungkit bahawa hanya BN yang membantu rakyat, saya musykil bahawa Naib Presiden Umno ini seolah-olah mahu meruntuhkan jambatan perpaduan serta kersama erat yang terbina antara Presidennya sendiri, YAB. Dato’ Seri Najib Tun Razak bersama Dato’ Seri Ustaz Azizan bagi kepentingan dan masa depan rakyat seluruhnya.

Bagi saya, ‘serangan’ ini adalah idea terkini pihak Umno dan BN Kedah untuk memburukkan imej baik pimpinan Ustaz Azizan yang semakin disenangi rakyat, selepas usaha Umno dan BN selama ini memfitnah melalui laman blog dan sebagainya tidak berhasil.

Saya tekankan bahawa ucapan tersebut telah menafikan titah ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah serta Laporan Audit Negara 2008 selain berniat jahat memburukkan imej baik Kerajaan Kedah di bawah pimpinan Ustaz Azizan Abdul Razak.

Marilah sama-sama kita renungi antara ucapan awal Ustaz Azizan ketika diberi amanah menerajui Kerajaan Negeri Kedah dua tahun yang lalu: “Kedah kita punya, saya anak Kedah dan tuan-tuan, puan-puan juga anak Kedah, kita sama-sama sayangkan negeri Kedah, adalah menjadi tanggungjawab saya dan semua dari kita untuk sama-sama membangunkan Kedah yang kita cintai ini, kita bina semula Kedah, Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua.” /Harakahdaily

Selasa, 19 Januari 2010

TEGUR ARTIS CIUM PIPI, SIAPA YANG CIUM ARTIS BOLLYWOOD DULU TU?

Hamba Allah

Seorang artis dikenali sebagai Black ditegur TV3 kerana aksinya mencium pipi artis perempuan lain, kononnya dianggap ibu sendiri.

Isu ini kelihatan kecil dan remeh. Mungkin ada yang berkata itu hal peribadi. Ia tidak pula menjejaskan keselamatan negara atau kedatangan pelabur asing.

Tetapi sebenarnya jika dibiarkan ia menjadi suatu fenomena biasa dan kemudiannya menjadi budaya yang asalnya asing dalam masyarakat Melayu Islam, maka ia boleh merebak lebih dari itu.

Lepas cium pipi menjadi kebiasaan, cium bibir pula. Lepas itu berpelukan. Aksi yang lebih jauh dari itu secara terang-terang akan menjadi biasa.

Dalam filem Barat, aksi ranjang, telanjang tidak pelik. Filem Melayu masih dipotong. Tidak mustahil jika mungkar yang kecil tidak ditegah, ia akan menjadi mungkar lebih besar.

Benarlah Allah yang berfirman ‘Dan janganlah kamu menghampiri zina.’ Allah tidak menyebut ‘jangan berzina’. Bahasa al-Quran sangat tinggi. Mendalam ertinya.

Orang fasiq memang menganggap dosa kecil itu perkara remeh sahaja. Mereka memang jahil hukum, tak reti agama. Lihat sahaja jawapan Black tentang ciumannya itu kepada perempuan bukan mahram yang dianggap ibu sendiri itu.

Cara menjawab macam tak pernah masuk KAFA langsung. (Bagi yang jahil, KAFA tu bukannya Kedah Football Association tapi kelas fardhu ain, tau!)

Islam mengajar kita supaya bencikan kufur, fasiq dan dosa. Cium pipi itu ialah perkara fasiq dan dosa. Bukan soal jaga tepi kain orang, tetapi mencegah mungkar mesti dilakukan.

Apa yang dibuat oleh Black pun bukan baru. Rosmah Mansur, wanita pertama Malaysia sendiri pernah melagakan pipinya kepada pipi artis Bollywood. Contoh inilah yang diambil, sedangkan pemimpin dan isteri pemimpin mesti menjadi teladan yang baik kepada anggota masyarakat lain.

Apabila mereka buat, disiarkan di media, tiada yang tegur, atau tak berani tegur. Anak muda akan kata: ‘Lihat! Isteri PM pun buat. Tak ada ulama yang tegur. Jamil Khir tak tegur. Masyitah tak tegur. Hamid Othman tak tegur.’

Saya pernah menegur tentang isu tarian 1Malaysia. Teguran demi teguran bermaksud membetulkan. Islam mengajarkan demikian.

Soal anda mahu ikut atau tidak, terpulanglah tetapi tugas menyampaikan sudah dilakukan. Saya berlepas diri dari mungkar yang dibuat oleh pemimpin dan anggota masyarakat yang fasiq.

Menteri jaga tv dan media kawallah aksi-aksi, lagak, penampilan dalam apa jua program agensi di bawah anda./Harakahdaily

TOK GURU NIK AZIZ ATASI DS ANWAR UNTUK TERAJU PAKATAN RAKYAT

Oleh: WFAUZDIN NS

Saya telah mengadakan Poll di blog ini dengan tajuk " Pada Pendapat Anda, Siapakah Yang Boleh Diharapkan Untuk Memperkuatkan Pakatan Rakyat?". Apabila Poll ini ditutup, seramai 719 pengunjung telah membuat pilihan dan keputusannya adalah seperti berikut:

Tok Guru Nik Aziz - 318 (44 %)

DS Anwar - 308 (42 %)

Tok Guru Hj Hadi - 41 (5 %)

Lain-Lain Tokoh - 33 (4 %)

Lim Kit Siang - 19 (2 %)

Jelas, pengunjung blog ini masih yakin dengan kredibiliti Tok Guru Nik Aziz walau pun beliau telah diserang habis-habisan oleh Umno. Nampaknya semakin kuat serangan, semakin kukuh kedudukan Tok Guru. DS Anwar pula memberikan saingan hebat kepada Tok Guru, manakala Tok Guru Hj Hadi agak jauh ketinggalan.

DUN PERAK BUBAR ?

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 18 Jan: Beberapa perkembangan terbaru di negeri Perak memberi keyakinan akan berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) itu dalam sedikit masa lagi.

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak dalam satu kenyataan memberitahu beberapa petanda menuju ke arah itu sedang berlaku.

Ianya termasuk pertemuan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Arab Saudi baru-baru ini sehingga Zambry didakwa sanggup meninggalkan Persidangan Ke-169 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) yang di pengerusikan oleh Raja Muda Perak.

"Datuk Seri Zambry yang sanggup tidak hadir ke Persidangan Ke-169 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) yang di pengerusikan oleh Raja Muda Perak baru-baru ini di lihat ada perkara lebih penting yang akan di bincangkan dengan Datuk Seri Najib di Arab Saudi," kata Mohd Nur Amin selaku pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Perak.

Selain itu menguatkan lagi keyakinan mereka akan berlakunya pilihanraya adalah maklumat yang mengatakan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah mengadap Seri Paduka Sultan Perak dalam satu majlis awal November lalu.

Sehubungan itu, pemuda PAS Perak mengarahkan semua jentera Pemuda PAS khasnya dan Pakatan Rakyat amnya supaya bersedia dengan pembubaran DUN itu.

Awal Februari ini, kerajaan Perak diteraju Zambry akan mencapai usia setahun pentadbirannya./Harakahdaily

Isnin, 18 Januari 2010

Bazar Tok Guru: Husam saran siasat exco dahulu


Jimadie Shah Othman
Jan 18, 10


Exco kanan kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa menyokong saranan supaya kebocoran maklumat mesyuarat exco negeri, berhubung pembelian tingkat bawah Bazar Tok Guru disiasat bagi mengelakkan ada mana-mana pihak "menjadi mangsa permainan".

Dan beliau menyarankan supaya Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat memulakan siasatan dengan memanggil anggota exco terlebih dahulu.

Ini ekoran maklumat tersebut didedahkan oleh Penulis blog Kicdafella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz - yang diketahui umum rapat dengan Husam.

Syed Azidi dilapor mendakwa, projek tersebut, yang merupakan usahasama Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dengan syarikat Sensa Timur Sdn Bhd, dikatakan rugi kira-kira RM50 juta.

Dan kelmarin, exco kerajaan tempatan, Datuk Takiyuddin Hassan meminta Nik Aziz menyiasat kebocoran maklumat itu, kerana keputusan mesyuarat exco tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Mengulas mengenainya, Husam berkata, siasatan tersebut dapat mengelak sebarang sangkaan atau perbuatan menuding jari, berhubung perkara itu.

"Jika 'kebocoran' ini perlu disiasat, saya sangat menyokong," tulis Husam dalam blog - Cetusan Hati - kelmarin.

"Jalan yang paling mudah, rasa saya, ialah Tok Guru (Nik Aziz) memanggil majlis dan dengan menggunakan apa-apa kaedah yang diajar oleh Islam, mencari orangnya.

"Ia boleh bermula dengan ahli exco sendiri supaya ia (tuduh-menuduh) tidak berpanjangan dan berterusan dalam prasangka (sesama sendiri)," tulisnya lagi./Malaysiakini

ISU BAZAR - JAWAPAN HUSAM MUSA

Cerita Bazar


Oleh Husam Musa

Tuhan mencipta manusia dengan bakat yang berbeza. Apabila artis cuba mentafsir angka, fakta ekonomi sudah menjadi lukisan abstak.Mengeluarkan pendahuluan untuk membeli aset sebanyak 23 juta, bukan bermakna kerugian. Tidak sama sekali.

Perjanjian antara PMBK dengan Sensa Timur telah tertandatangani. Sensa Timur akan membina sebuah Bazar tiga tingkat dengan perbelanjaan syarikat. Tingkat satu dan dua yang dianggarkan bernilai RM 40 juta akan diserahkan kepada PMBK. Pulangan untuk Sensa ialah tanah seluas 6 ekar beserta tingkat bawah Bazar tersebut. Sebahagian tanah pula akan digunakan sebagai jalan untuk laluan baru dan juga kegunaan awam yang lain.

Nilai Bazar tingkat bawah itu ialah RM 23 juta.

Sekarang, peniaga yang hendak ditempatkan di Bazar ini mahukan tingkat bawah juga dijadikan sebagai lot untuk mereka. Bazar ini sepenuhnya untuk para peniaga kecil. Itu yang mereka mahu. Kerajaan pula, memang bercadang melindungi terus para peniaga kecil ini dengan kedudukan perniagaan yang strategik. Itu hasrat Tok Guru.

Kalau Kota Bharu dikatakan barangan dengan harga murah, mungkin sebahagian ialah kerana kos premis yang juga murah. Kalau premis sudah berharga mahal, barangan yang dijual juga perlu naki harga.

Keperihatinan Tok Guru dalam isu ini amat jelas.

Menjelang pilihanraya yang lalu, isu ini berbangkit sekali lagi kerana Pasar Lama MPKB yang telah berusia lanjut dan disahkan uzur, perlu dirobohkan. Ke mana peniaga di situ akan ditempatkan?

Mereka bersetuju Bazar Tok Guru adalah 'sarang' perniagaan mereka yang baru.

Mungkin ada sedikit 'over look' di pihak PMBK ketika menandatangani perjanjian itu. Mungkin PMBK beranggapan mana-mana tingkat adalah o k bagi peniaga.

Selepas peniaga membangkitkan semula isu ini dan memohon jasa baik Tok Guru untuk tetap menjadikan premis utama perniagaan mereka di tingkat bawah, selain lain-lain tingkat, Tok Guru telah bersetuju membentuk sebuah Jawatankuasa yang dipengerusikan sendiri oleh YB Datuk Timbalan Menteri Besar. Jawatankuasa ini dipersetujui oleh Mesyuarat Exco Kelantan.

Jelas, kelebihan Tok Guru. Jarang pemimpin akan bersikap lunak atas nama hasrat dan permintaan rakyat dan terbuka untuk apa sahaja perubahan asalkan ia boleh memberikan kepuasan kepada pelanggan iaitu rakyat jelata. Kenapa sikap dan pendirian Tok Guru ini tidak dibesar-besarkan dan disanjung?

Jawatankuasa ini telah beberapa kali bermesyuarat, termasuk dengan wakil peniaga. Keputusan terakhir Jawatankuasa telah dimaklumkan untuk persetujuan Exco Rabu lepas.

Kerajaan akan membeli dari Sensa Timur, mewakili para peniaga, bahagian mereka dari Bazar ini iaitu tingkat bawah, dengan harga nilaian RM 23 juta.

Tujuannya ialah supaya tingkat bawah tersebut boleh dijadikan lot peniaga kecil dan boleh dijual atau disewajual kepada para peniaga.

Jika setiap lot dijual dengan harga RM 60,000, dengan jangkaan lotnya sebanyak 383 lot, Kerajaan boleh mendapatkan semula RM 23 juta tersebut. RM 23 juta itu sebenarnya hanyalah bayaran pendahuluan oleh Kerajaan. Lagipun, ia tidak perlu dikeluarkan serta merta dan mungkin hanya perlu dibayar selepas pembinaan disiapkan. Ini bermakna, dalam tempoh pembinaan, Kerajaan sudah boleh memulakan jualan lot-lot berkenaan.

Bagaimana jumlah RM 23 juta yang merupakan harga bagi tingkat bawah Bazar itu yang akan diperolehi semula oleh Kerajaan boleh dikatakan kerugian?

Jika ia dikatakan kerugian, itu bukan rumusan ekonomi tetapi sebuah karya seni. Apa motif karya seni dihasilkan sedemikian, terpulang.

Antara peniaga yang akan dipindahkan ke bazar baru ini selain peniaga Arked Lama MPKB ialah peniaga Arked Uda.

Kalau Arked Lama MPKB dikatakan uzur, peniaga Arked Uda pula perlu berpindah kerana Uda akan mendirikan gedung perniagan baru mereka di tapak yang ada sekarang.

Uda ditubuhkan untuk menjaga kepentingan strategik orang Melayu di pusat-pusat bandar.

Dalam perjalanannya yang jauh, fungsi UDA semasa penubuhannya dulu mungkin telah beransur berubah.

Bangunan yang besar dengan ruangan niaga yang mahal, dicampur orientasi keuntungan, sedikit demi sedikit meletakkan tanggung jawab sosial semakin terpinggir.

Dalam kes ini, Kerajkaan Negeri pula terpaksa mengambil alih peranan UDA dengan peniaganya sendiri di Arked mereka terpaksa mencari tempat bernaung di bazar yang akan didirikan khas oleh Kerajaan Negeri.

Ini sebenarnya sudut yang harus dilukiskan dengan penuh perasaan oleh artis-artis. Lebih-lebih lagi, bagi sesiapa yang masih ingat kisah peniaga kecil ini yang terpaksa berpindah randah, bermula darti Medan Hijau berdekatan Bangunan UMNO Negeri Kelantan sekarang, satu masa dulu.

Atas sebuah perjalanan yang datang bersekali dengan pertukaran Kerajaan pada masa itu dan sebuah obligasi sosial yang akan dijayakan oleh Tok Guru, RM 23 juta bukan pertaruhan tanpa perhitungan.

Ia gambaran komitmen Kerajaan Negeri terhadap nasib rakyatnya , termasuk para peniaga dan atas tujuan memenuhi obligasi sosial sahaja, ia selamanya bukan sebuah kerugian.

Bagaimana maklumat ini bocor?

Ia satu sudut bagaimana isu ini boleh dilihat, kalau maklumat ini dirasakan rahsia atau perlu dirahsiakan.

Pertama, ia dibincang oleh Jawatankuasa. Jawatankuasa ini ada ahlinya. Pemaju juga mungkin dijemput untuk berbincang dan persetujuan mereka tentulah perlu. Kerana itu, mereka mungkin orang paling awal tahu tentang maklumat ini. Waklil PMBK juga mungkin hadhir dan wakil ini mungkin pula perlu berbincang dengan rakan sejawatan mereka di PMBK. Mereka tahu tentang maklumat ini, Ia kemudian dibincang dalam Exco.

Jika 'kebocoran' ini perlu disiasat, saya sangat menyokong. Ia boleh mengelakkan ada mana-mana pihak menjadi mangsa permainan- baik bernama sangkaan atau tudingan. Jalan yang paling mudah, rasa saya, ialah Tok Guru memanggil majlis dan dengan menggunakan apa-apa kaedah yang diajar oleh Islam, mencari orangnya. Ia boleh bermula dengan Ahli Exco sendiri supaya ia tidak berpanjangan dan berterusan dalam prasangka.

Juma'at lalu, Mahkamah Rayuan di Putra Jaya telah menolak rayuan seorang peniaga yang telah menyaman Akademi Keluarga Bahagia atas isu pembekalan baka-baka kambing. Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kota Bharu telah juga menolak permohonan mereka.

Isu ini telah dikaitkan dengan saya sedemikian lama oleh seorang penulis blog. Sesekali tulisan penulis blog ini semacam menunjukkan ada maklumat dalaman. Pada masa yang sama, penulis ini berkawan rapat dengan pemimpin dan orang tertentu. Malah permit penerbitannya digunakan untuk menerbit satu tabloid pro PAS.

Rasanya sudah lebih emat tahun blog ini mencincang saya berbagai gaya.

Saya mengambil sikap tidak bertindak balas baik pada penulis blog tersebut mahu pun rakan-rakannya yang sesetengahnya juga adalah rakan saya.

Sebabnya, isu yang dibangkitkan tidak faktual. Ia lazimnya dicampurkan dengan fantasi dirinya sendiri. Ia sampai lebih tahu apa ada dalam hati kecil kita dari kita sendiri. Ia sampai memasang niat saya seakan dia adalah saya dan saya adalah dia.

Tapi itu bukan kerja baru.

Islam telah mengajar semua itu.

Selagi kita benar, kebenaran akan terserlah, lambat atau bangat.

Keputusan kedua mahkamah itu adalah contohnya.

Serangan seperti i ni amat bertunjangkan kebencian, bukan kejujuran.

Dalam kes baka-baka kambing tadsi, kisah bermula apabila saya meminta bekalan yang hendak dihantar kepada Kerajaan mestilah dijalankan melalui proses tawaran harga. Tawaran syarikat lain untuk spesifikasi sama ialah semuanya di bawah RM 900.

Ia menjadi punca kemarahan tetapi Insya Allah, saya rela mati mempertahankan prinsip dari tunduk kepada ugutan.

Ia memang tidak mudah. Sentiasa ada pemain-pemain yang lincah bermain di luar garis peraturan. Sumbatan belakang tabir mungkin boleh terjadi.

Namun, semua itu lumrah yang tidak ada penghujungnya sementara dunia belum kiamat.

Zulaikha yang cuba memperdaya Nabi Yusuf tiba-tiba terlepas dengan bijak berkata-kata dan Nabi Yusuf pula menjadi mangsa tuduhan. Abang-abang Nabi Yusuf yang cuba membunuh baginda pulang menemui bapa mereka dalam keadaan menangis teresak-esak, membawa pulang baju berlumuran darah. Semuanya sebuah pementasan drama kehidupan.

Sentiasa ada yang perlu berkorban untuk jenayah dan keburukan yang dilakukan orang lain.

http://cetusan-hati.blogspot.com/

INILAH HEBATNYA KELANTAN DI BAWAH TOK GURU

Bila raja menjadi imam, rakyat gembira tumpang berteduh

DUA peristiwa yang berlaku di Kelantan, cukup bermakna dan penuh erti yang harus difahami oleh semua pihak. Peristiwa itu, sambutan ribuan rakyat Kelantan keberangkatan pulang Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra.

Kehadiran lebih 5,000 rakyat, pegawai kerajaan negeri dan pemimpin politik menyebabkan lapangan terbangan Sultan Ismail Pengkalan Chepa penuh sesak melambangkan sokongan dan kasih rakyat kepada Tengku Faris sebagai Pemangku Raja tidak berbelah bagi dan begitu besar sekali.

Dari laporan dan wakil tidak rasmi penjenguk blog ini memberi tahu, semua pegawai tinggi kerajaan dan pemimpin politik hadir.

Ia juga termasuk dari Umno kecuali, Mustapa Mohamed, Awang Adek Hussein dan Norzaidi Omar. Menteri Besar, Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Menteri Besar, Ahmad Yaacob dan Exco semua hadir.

Paling merujakan menurut penjenguk berkenaan sebaik sahaja Pemangku Raja hendak turun dari pesawat khas yang membawa baginda, ada kalangan rakyat termasuk juga pemimpin politik ‘berungga’ – berlari-lari, untuk mendapatkan ruang bagi menyambut kepulangan Tengku Faris.

Masing-masing berebut untuk berada di barisan hadapan agar mereka ditengok dan dicamkan oleh Pemangku Raja bagi menyatakan kehazahiran mereka.

Dalam kejadian ini ada pemimpin yang merempuh dan tidak mempedulikan protokol semata-mata kerana ingin berada hampir dengan Tengku Faris untuk sama-sama mengaminkan doa keselamatan atas keberangkatan pulang. Keadaan ini menyebabkan MB dan TMB yang sepatutnya diberikan ruang 'terkanjar' ke belakang. Wartawan dan sesetengah hadiri menyedar akan kejadian ini!

Baguslah kalau semua rakyat dan pemimpin politik sayangkan Pemangku Raja dan taatkan sultan. Semangat yang sebegiutlah yang dimahui oleh sekalian rakyat. Kalau tidak ada niat hendak menduakan raja inysaAllah Kelantan akan selamat dan sejahtera, Kelantan akan makmur sampai ke bila-bila.

Pemangku Raja juga tentu gembira. Cuma apa yang kita harapkan jangan semangat dan karektor iu berlaku secara bermusim. Maksudnya sesudah Tengku Faris dilantik menjadi Pemangku Raja baru ketaatan dan penghormatan ingin dizahirkan.

Sebelum Tengku Faris dilantik menjadi Pemangku Raja semacam baginda diketepikan dan dirasakan tidak penting. Kenapa saya berandaian itu begitu kerana ada pihak yang mengadakan kenduri kahwin anak tidak mengundang Pemangku Raja tetapi mengudang putera raja yang lain yang disangka bakal dilantik menjadi Pemangku Raja.

Sikap membezakan kerabat di raja ini rasanya tidak berapa elok dan kurang manis.

Dan hari ini apabila Tengku Faris sudah dilantik menjadi Pemangku Raja sokongan orang-orang sejenis itu sudah mula berganjak pula. Sikap begitu adalah sikap hipokrit yang sama sekali tidak disukai oleh Pemangkau Raja dan juga Islam dan jika diamalkan ia boleh membinasakan badan.

Peristiwa kedua yang berlaku semalam ialah solat hajat bertempat di stadium Sultan Mohamad ke-1V, Kota Bharu. Paling bermaknanya apabila solat hajat itu diimamkan sendiri oleh Tengku Faris. Perisitwa ini adalah satu sejarah dan satu kemanisan buat rakyat Kelantan seluruhnya. Rakyat Kelantan belum pernah sebelum ini dapat menjadi makmum kepada seorang raja.

Tentu rakyat yang kuat pegangan kepada agama, yang mementingkan kepada perpaduan akan mengalirkan air mata melihat peristiwa ini. Keikhlasan dan ketawadukan Tengku Faris sebagai hamba Allah tentu terpancar cerah dengan apa yang berlaku itu.

Tengku Faris juga turut membacakan doa meminta Allah memberi kesihatan dan kesejahtraan kepada ayahanda baginda yang kini sedang dirawat di Singapura. Beliau juga turut mendoakan semoga Kelantan senantiasa dalam pemeliharaan Allah. Apa yang dilakukan Tengku Faris itu adalah fardu ke atas seorang hamba Allah dan sebagai seorang anak yang soleh.

Perisitiwa itu istimewa dan satu sejarah. Kerana selalunya dalam majlis seumpama itu dan majlis keagamaan, raja atau sultan hanya jadi makmum atau tukang mengaminkan doa yang dibaca oleh Tok Kadhi atau Mufti sahaja.

Apa yang dilakukan Tengku Faris semalam adalah pembaharuan yang menyentuh perasaan rakyat Kelantan. Jadi tidak hairanlah kalau rakyat begitu kasih dan sayang kepada baginda kerana baginda menempati peranan dan fungsi sebagai seorang hamba Allah dan raja kepada sebuah negeri.

Khabarnya Nik Aziz sendiri teruja dan terharu dengan apa yang berlaku. Menurut pertuturan seorang pemimpin kanan Kelantan, Tok Guru Nik Aziz merasa sungguh gembira kerana Tengku Faris telah melalukan tanggungjawab dan amanah yang sepatutnya baginda pikul.

Nik Aziz kata pemimpin itu menyifatkan apa yang berlaku itu sebagai satu lagi detik bersejarah dan perkembangan baru sempena tahun Hijrah di Kelantan. “Kalau sebelum ini Ketua Polis membaca khutbah, kini Pemangku Raja pula jadi tok imam,” kata pemimpin itu memetik kata-kata Nik Aziz yang gembira dengan apa yang berlaku.

Tok Guru juga menurut pemimpin itu, menghuraikan apa yang dilakukan Tengku Faris itu adalah menempati kehendak Islam sebenarnya. Menurut Tok Guru katanya, memang sewajarnya kalau rakyat mempunyai pemintaan baik-baik yang hendak diajukan kepada Allah, eloknya raja sendiri yang mendoakan kerana kedudukkan raja itu sendiri dengan Allah dari segi hirerkinya sangat hampir dengan Allah.

“Jadi apa yang dilakukan Tengku Faris sebenar menempat kehendak Islam dan ia sangat menggembirakan rakyat, tok guru sungguh gembira,” sambung pemimpin itu mencritakan perasaan Nik Aziz.

Di majlis malam tadi lebih 2,000 terdiri dari rakyat, pegawai kerajaan dan pemimpin politik ikut sama mendirikan solat hajat yang diimamkan oleh Tengku Faris kemudian mengaminkan dia yang dibaca sendiri oleh baginda./msomelayu.blogspot.com