Sabtu, 15 Januari 2011

ISU AZAN - ADA CUBAAN UNTUK MEMPOLITIKKANNYA?

Oleh: WFAUZDIN NS

ISU bunyi Azan di Masjid Kg Kerinchi mencetuskan kemarahan umat Islam. Ini adalah kerana adanya manusia yang tidak beradab dan tidak sensitif dengan isu agama. Meskipun Azan bukan Wajib hukumnya, tetapi ianya merupakan Syiar yang amat dituntut oleh Islam. Menjadi kewajipan kepada semua umat Islam mempertahankan syiar ini dan menentang sesiapa sahaja yang cuba untuk meruntuhkannya.

Tindakan seorang bukan Islam yang menyentuh soal Azan ini adalah satu perbuatan yang serius dan perlu diberi perhatian sewajarnya oleh pihak yang berkuasa. Walau bagaimanapun, pihak berkuasa di dalam hal ehwal agama Islam mesti menyiasat di mana puncanya isu ini dan jangan mengambil tindakan secara melulu. Saya bersetuju dengan kenyataan MP Lembah Pantai, YB Nurul Izzah yang berkata Islam menuntut umatnya mencari kebenaran secara beradab. Islam juga menekankan soal keadilan.

Perlu disiasat samada benarkah Azan di masjid tersebut mengganggu ketenteraman? Adakah pihak berkuasa agama menetapkan sebarang garis panduan di dalam hal ini? Ini amat penting untuk menunjukkan bahawa segala amal ibadat di dalam Islam tidak pernah mengganggu ketenteraman orang bukan Islam. Jangan isu ini dijadikan modal politik sepertimana seorang pemimpin pertubuhan telah bertanya apakah tindakan dan komen dari YB Nurul Izzah. Mengapa ditanya kepada YB Nurul Izzah di dalam isu ini? Mengapa tidak ditanya kepada pihak berkuasa agama yang menetapkan segala peraturan di dalam hal ehwal agama? Namun begitu YB Nurul Izzah telah memberikan jawapan yang bijak dan betul seperti yang beliau katakan di atas tadi.

Adalah diharapkan isu ini dapat diselesaikan dengan bijak. Sekiranya terbukti pihak ini sengaja untuk memperlekehkan Azan yang disyariatkan oleh Islam, maka tindakan tegas mestilah diambil oleh pihak berkuasa tanpa mengira dari fahaman politik mana sekali pun./wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan