Selasa, 11 Januari 2011

KELEMAHAN SAYA ADALAH TERLALU TOLERAN - DS ANWAR

Lompat parti satu demi satu

Wawancara kemudian dilanjutkan kepada isu "keluar parti". Meskipun isu ini agak lama, malah mungkin boleh dianggap "basi", tetapi MerdekaReview cuba mengeluarkan sesuatu yang mungkin terpendam dalam hati Anwar Ibrahim.

Beliau pada mulanya mempertikaikan istilah "orang rapat" yang digunakan wartawan, walaupun tidak berniat untuk menafikan bahawa mereka yang meninggalkan perjuangan itu adalah antara kawannya. "Orang yang ditafsir sebagai rapat dalam parti, itu orang yang paling banyak yang dicari. Dia (UMNO) tak akan cari... Kalau dia dapat umpamanya Ketua Cabang Pokok Sena, dia tidak...valuable. Dan offer tidak semahal itu," jelasnya.

Bagaimana perasaannya, apabila seorang demi seorang meninggalkannya? "Ya, tidak menyenangkan. Tiada sesiapa yang akan gembira dengan benda ini. Tapi saya realistik. Kalau kamu memandang kepada sejarah, kamu melihatlah sejarah semua pergerakan di serata dunia... Adakah ini masalah yang sebenarnya, apabila orang keluar, parti habis?"

Beliau mengambil contoh PAS, yang pernah menyaksikan sejarah bagaimana bekas Presidennya Asri Muda meninggalkan partinya, sebelum UMNO yang menyaksikan hampir semua Presiden Parti pernah meninggalkan wadah parti itu, termasuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Hussein Onn dan sebagainya.

MerdekaReview mengambil contoh Mohd Ezam Mohd Nor (gambar kiri), yang pernah bekerja sebagai Setiausaha Politik Anwar Ibrahim sebelum beliau dipecat selaku Timbalan Perdana Menteri. Ezam antara pejuang yang paling terserlah pada zaman Reformasi, sehingga ditahan di bawah ISA dan Akta Rahsia Rasmi 1972.

"I knew him, selepas saya dibebaskan... Tapi intention dia, dia kata, 'erm... you know, we have to survive. Then, kalau kamu (Anwar) nak jadi Perdana Menteri, mesti jalan UMNO'. Itu dia punya pendirian, konsisten," kata Anwar, yang tidak terkejut apabila Ezam kembali ke pangkuan UMNO pada Mei 2008, selepas tsunami politik.

Apakah faktor di sebalik fenomena keluar parti, selain "habuan" yang dikatakan itu?

"Kamu dah struggle lama, kadang-kala susah, pressure, duit tak ada, macam-macam. So saya tak tahu apa yang sebenarnya. Tapi saya tengok, masalah hutang, kena charge mahkamah, ada hukum. Kemudian kalau kamu masuk saja, terus... semua settle! Sangat menarik dalam negara ini...," sindirnya.

Apakah beliau terasa sedih apabila kawan dan orang di sisinya meninggalkannya seorang demi seorang?

"Terasa? Yes. Tapi kadang-kadang dalam perjuangan, ia juga membantu. Pertamanya, bahawa kita pilih calon mesti yang betul-betul krediber dan wibawa. Itu pengajaran. Yang keduanya, kemungkinan ini proses pembersihan. Lebih baik sekarang. You menang besok, yang tak layak pun minta jadi menteri, bergaduh juga. Kadang-kadang kamu perlu terimanya."

"Kamu cukup tabah untuk berdepan dengannya?" aju wartawan, "Ya, kamu perlu begitu," jawabnya. Malah dengan nada ringan beliau mempersalahkan dirinya, "Boleh jadi juga kelemahan saya tentang sistem. Cara saya tu, saya lebih toleran. Kalau setengah orang, kalau ikutnya sebulan pertama dah pecatlah Zul (Zulkifli Noordin) tu, saya tangguh enam bulan..." (Bahagian kedua, bersambung)

Bahagian pertama: Prinsip Raja Berperlembagaan Anwar: Sultan perlu dapatkan nasihat MB

*Wawancara ini dijalankan oleh Chan Wei See (Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina), Lim Hong Siang (Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia) dan Ong Vic Kee (Wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina), di pejabat Anwar Ibrahim pada 6 Januari 2011.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan