Jumaat, 14 Januari 2011

SELANGOR - HARAMKAN UMAT ISLAM MENCARI REZEKI HARAM DI KILANG/PREMIS JUALAN ARAK

Oleh: WFAUZDIN NS

ARAK sememangnya haram di sisi Islam tanpa khilaf lagi. Bekerja secara langsung atau tidak selagi ianya bersangkut-paut dengan minuman haram ini, maka hukumnya tetap haram kepada mereka yang berugama Islam. Malang sekali, ramai juga orang-orang Islam yang bekerja atau mencari rezeki di kilang-kilang atau kedai arak.

Apabila membaca laporan di sini, amat mendukacitakan kerana kita yang memerintah di Selangor masih berbelah bahagi untuk melaksanakan undang-undang melarang umat Islam bekerja di kilang atau premis yang menjual arak. Apa ruginya Kerajaan Negeri Selangor sekiranya mewujudkan undang-undang yang ketat agar tiada lagi umat Islam yang mencari rezeki haram di situ.

Mengapa perlu ditanya siapakah yang boleh mendapatkan kerja untuk umat Islam yang diberhentikan kerja di Kilang arak? Bumi Allah ini luas, mereka boleh memilih kerjaya yang lain selain dari bergelumang dengan kencing Syaitan ini. Betapa ramai yang sanggup tidak bekerja atau sekadar menjadi `kuli' asalkan tidak terlibat dengan arak.

Oleh yang demikian, saya menyeru agar undang-undang atau peraturan melarang umat Islam bekerja di kilang/premis menjual arak dikuatkuasakan segera di selangor. Jika kita tidak mampu menghalang Kerajaan Pusat ditunjangi Umno daripada mengeluarkan lesen kilang arak, memadai dulu kita mewujudkan undang-undang melarang umat Islam bekerja di Kilang atau premis arak. Kesemua Kerajaan Negeri yang berada di bawah PR hendaklah bertindak segera agar minda dan akhlak semua umat Islam terpelihara./wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan