Isnin, 3 Januari 2011

SUK SGOR - TOLAK KHUSRIN DIKATAKAN MENGHINA SULTAN, TERIMA KHUSRIN PULA MENGHINA RAKYAT

Oleh: WFAUZDIN NS

MEMETIK laporan Sinar semalam, Ketua Penerangan UMNO Selangor, Abdul Shukor Idrus yang membidas tindakan Kerajaan Negeri Selangor yang menolak pelantikan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor berkuat kuasa 1 Januari depan. Menurutnya, Kerajaan Negeri terutamanya Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim tidak menerima pelantikan itu bermakna menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ingin kita bertanya kepada pemimpin Umno ini, jika menolak perlantikan Khusrin itu dianggap menghina Sultan Selangor, bagaimana pula jika Kerajaan Negeri Selangor menerima Khusrin yang MB Selangor sendiri tidak tahu menahu tentang perlantikannya itu? Bukankah langkah itu dianggap menghina Kerajaan Negeri sekaligus menghina rakyat Selangor yang memilih Kerajaan Negeri itu?

Justeru itu, Umno tidak perlu untuk `menjual' sesiapa di dalam isu ini. Ketaatan rakyat Selangor terhadap Sultan Selangor tidak boleh dipertikaikan lagi. Ini adalah masalah pentadbiran dan ianya perlu dilakukan secara pentadbiran yang penuh etika dan profesional. Jawatan SUK bukan jawatan budak pejabat atau tukang sapu. Maka, Kerajaan Negeri mesti lah serius untuk memilih sebarang calon untuk jawatan tersebut.

Sekiranya Kerajaan Negeri gagal memilih calon SUK yang terbaik, profesional dan jujur, sudah pasti akan menjejaskan mutu pentadbiran Kerajaan Negeri. Sekiranya ini berlaku, Kerajaan Negeri akan dipandang buruk di dalam mentadbir negeri. Ketika itu, bolehkah Kerajaan Negeri menyalahkan Istana tentang kelemahan pentadbiran di bawah SUK yang tidak profesional dan tidak layak ini? Sudah tentu tidak boleh, kerana Istana tidak boleh dipertanggungjawabkan ke atas sebarang kelemahan pentadbiran negeri.

Oleh yang demikian, demi menjaga nama baik Istana dan mendaulatkan rakyat maka perlantikan SUK ini seharusnya dirujuk kepada Kerajaan Negeri terlebih dahulu untuk dipersetujui. Bagaimana Khusrin mahu menjalankan tugas dengan keadaan `bermasam muka' dengan MB Selangor dan seluruh Exconya? Tidakkah ini akan menganiayai beliau juga?

Diharapkan Umno tidak mempolitikkan semua perkara di Selangor. Meskipun mereka gagal di dalam banyak perkara yang mereka timbulkan di Selangor, namun usahanya kali ini menampakkan betapa Umno kehabisan modal. Seandainya pilihan mereka iaitu Khusrin akhirnya berjaya berada di Pejabat Kerajaan Negeri Selangor, belum tentu Umno akan mampu merampas Selangor. Kita, rakyat yang kenal Umno ini pasti akan bermati-matian untuk mempertahankan Selangor, InsyaAllah./wfauzdin.blogspot.com

1 ulasan:

  1. bermula jam 1700 tadi,catatan wfaudin pun menjadi berita 2nd hand.
    wfaudin,diharap update lapuran terkini

    BalasPadam