Sabtu, 8 Januari 2011

TRAGEDI RUSILA - PERTEMBUNGAN KEDUA PIHAK YANG TIDAK BERADAB?

Oleh: WFAUZDIN NS

MELALUI maklumat dari blog rakan dan blog Aduka Taruna sendiri, termasuk dari blog Batu-Api@firestone sepatutnya berlaku perdebatan ilmiah di antara Aduka Taruna dengan Batu-Api@firestone di Masjid Rusila, Marang, Terengganu semalam selepas Solat Jumaat semalam. Berita terkini melaporkan, debat tidak berlaku sebaliknya Aduka Taruna telah `dibelasah' oleh sekumpulan pemuda di perkarangan Masjid Rusila selepas Solat Jumaat tersebut.

Saya cuma membaca satu sumber di sini, dan mungkin ada lagi sumber yang saya tidak sempat membacanya. Membaca hanya dari satu sumber tidak boleh membantu meyakinkan kita semua. Saya hanya ingin mengulas sedikit betapa tragedi ini (dibelasah) tidak mungkin boleh berlaku sekiranya Aduka Taruna mempunyai adab ketika berurusan samada resmi atau tidak dengan pemimpin. Kejadian seperti ini juga boleh dielakkan sekiranya sekumpulan pemuda yang didakwa membelasah Aduka Taruna itu juga mempunyai adab dan akhlak.

Sekiranya tujuan Aduka Taruna ke Masjid Rusila mempunyai dua tujuan iaitu untuk menemubual spontan Tuan Guru Hj Hadi (istilah `langgar Hadi' oleh Aduka) dan juga beliau ingin mengadakan debat dengan Batu-Api@firestone, maka Aduka perlu fokus kepada dua matlamat itu sahaja.

Dikatakan, sejurus selesai Solat Jumaat Aduka telah mengekori Tuan Guru Hj Hadi yang ingin pulang ke rumahnya yang berhampiran untuk menanyakan beberapa soalan terhadap Tuan Guru Presiden. Tindakan `terjahan' umpama wartawan Melodi TV3 suku seperti ini mungkin tidak disenangi oleh Tuan Guru Presiden, lantas beliau dikatakan enggan melayani pertanyaan Aduka. Sejarah lalu juga sudah cukup memberi ingatan kepada Aduka agar tidak membuat perkara yang sama kerana menjadi hak sesiapa sahaja untuk menjawab atau tidak soalan di dalam keadaan atau situasi apa sekali pun.

Sewajarnya, mengikut adab menghormati pemimpin sekiranya Tuan Guru Presiden enggan menjawab soalan yang ingin beliau kemukakan secara `terjah' sedemikian, Aduka sepatutnya berhenti di situ sahaja dan tidak terus mendesak. Ertinya, beliau gagal di dalam satu objektif beliau ke sana. Beliau sepatutnya terus kepada objektif kedua, iaitu mengadakan debat seperti yang dirancangkan. Malangnya, kedua-dua objektif Aduka gagal oleh kerana beliau tidak boleh menerima kegagalan di dalam objektif pertamanya. Aduka masih gagal mendisiplinkan dirinya ketika berurusan dengan pemimpin. Itu kelemahan Aduka, pada pendapat saya.

Kemungkinan perbuatan atau tingkah laku yang mendesak sedemikian rupa oleh Aduka terhadap Tuan Guru Presiden, menimbulkan emosi kepada beberapa orang yang berada di situ. Maka, berlakulah apa yang didakwa bahawa Aduka telah dibelasah dan mengalami cedera ringan.

Walau apa pun kesalahan Aduka, saya berpendapat beliau tidak harus dibelasah hanya kerana mendesak Tuan Guru Presiden. Apatah lagi, kejadian itu dikatakan berlaku di sekitar Rumah Allah. Saya merasa hairan, sekiranya kumpulan yang membelasah Aduka ini pernah ditarbiyyah mana mungkin mereka boleh bersikap sekejam itu? Mungkinkah kumpulan ini bukan dari kumpulan yang menerima Tarbiyyah dari PAS? Amat malang jika benar mereka telah membelasah Aduka sedangkan mereka adalah anak murid atau pengikut Tuan Guru Hj Hadi.

Benarkah kejadian itu disedari atau dilihat sendiri oleh Tuan Guru Hj Hadi? Benarkah Presiden PAS itu tidak berbuat apa-apa apabila melihat kejadian itu? Itu semua saya tidak berani ulas kerana kita setakat ini hanya membaca berita dari sebelah pihak. Saya menanti agar sebelah pihak lagi untuk menceritakan hal sebenar kejadian yang dianggap memalukan ini.

Apa yang boleh saya perkatakan, Aduka tidak menggunakan kebijaksanaannya seolah-olah tidak menghormati pemimpin. Walaupun Tuan Guru Hj Hadi mungkin tidak dianggap pemimpin oleh Aduka, tetapi beliau adalah pemimpin di mata ramai khususnya umat Islam terutamanya di dalam PAS. Pendekatan yang diguna pakai oleh Aduka tidak bijak samasekali walaupun berniat baik, apatah lagi berniat jahat.

Kumpulan yang dikatakan membelasah Aduka juga tidak bijak dan tidak beradab melayani Aduka sedemikian rupa. Sepatutnya mereka mesti menunjukkan contoh dan teladan yang baik sekiranya mereka mengaku bahawa mereka adalah pengikut Tuan Guru Hj Hadi atau pengikut PAS. Membelasah Aduka tidak bererti memperkuatkan perjuangan Islam yang dicita-citakan oleh PAS. Mereka hanya menampilkan imej yang tidak baik kepada Masjid Rusila yang menjadi saksi perbuatan kedua-dua pihak yang tidak beradab ini./wfauzdin.blogspot.com

2 ulasan:

  1. kalu bc entri2 aduka tntng hj hadi elok sngt la dia kene tibai

    BalasPadam
  2. jgn lah bang, tak baik tuu...bukan itu cara islam.....itu cara syaitan.

    BalasPadam