Sabtu, 11 Februari 2012

9 HUJAH HASAN DIJAWAB - KESIMPULANNYA HASAN ALI PENIPU

 Hassan dan Alasan

InsyaAllah ini merupakan kali terakhir saya menulis berhubung dengan Hassan Ali dan episod keluarnya beliau dari PAS. Kalau masih tidak kenal perangainya selepas membaca ulasan ini dan apa yang saya tulis sebelum ini, saya sudah tidak boleh kata apa.

Saya teramat setuju dengan kenyataan Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa beliau sepatutnya meletak jawatan sebagai ADUN Seri Gombak memandangkan beliau menang kerusi tersebut di atas tiket PAS. Kemenangan ini datang bersama penat lelah dan pengorbanan ahli PAS dan penyokong yang sekarang ini dipandangnya dengan penuh hina dan jelik.

Oleh itu, 9 alasan yang diberinya hanya mendedahkan kebuntuan dirinya sendiri. Lebih banyak yang dicakap, lagi banyak yang terdedah. Saya tidak akan menulis kembali alasan-alasannya, tetapi akan terus memberi respon satu per satu.

ALASAN HASSAN YANG PERTAMA
 
Ahli mesyuarat PAS Pusat adalah pimpinan parti dari sudut eksekutifnya (perlaksanaan). Mereka dipilih oleh perwakilan di muktamar. Dengan menyatakan mesyuarat PAS Pusat dikuasai ‘golongan parasit’ bermakna:

a) Perwakilan muktamar tidak pandai membuat pilihan dan adalah pro parasit. Ini merupakan satu kenyataan yang menghina pihak perwakilan dan keputusan yang telah mereka buat. Oleh kerana dianggap dirinya lebih bijak, maka keputusan mesyuarat tidak dihormati Hassan Ali.

b) DS Presiden dan ulama’ lain yang juga merupakan ahli mesyuarat tidak mampu menangani hujjah-hujjah yang dikemukakan oleh ‘golongan parasit’. Mereka terpaksa akur kepada kehendak golongan ini. Ini satu penghinaan kepada DS Presiden dan ulama’ lain yang merupakan ahli mesyuarat.

c) Beliau mengakui bahawa dirinya sendiri tidak mampu berhujjah untuk meyakinkan mesyuarat akan kebenaran pendiriannya.

Sekiranya itulah pandangan beliau terhadap perwakilan dan pimpinan PAS, maka amat wajar beliau tidak bersama PAS. Lebih baik beliau tubuh organisasi sendiri dan menjadi Presidennya. Sekiranya khuatir ianya akan dianggotai orang-orang yang tidak mampu beliau berhujjah, maka lantiklah diri juga sebagai Timbalan, Naib dan Setiausahanya.

ALASAN HASSAN YANG KEDUA
 
Surat dan sebagainya adalah hanyalah formaliti. Hassan Ali tidak hadir mesyuarat bulanan untuk beberapa bulan selepas tidak dilantik sebagai Pesuruh Jaya PAS Selangor. Namun beliau dihubungi oleh pimpinan Pusat dan Negeri. Sebahagian beliau layan, sebahagian beliau buat tidak endah seperti Dato Dr. Mahfuz, Ahli Majlis Syura Ulama’ dan PJ Johor yang saya difahamkan telah datang ke rumahnya bersama isterinya tetapi tidak dibuka pintu. Beliau turut dinasihati TGNA dan pimpinan yang lain. Hakikatnya amaran keras yang pernah diberi dalam kes sebelum ini sudah memadai sebagai alasan memecat kerana beliau melanggarnya secara terang-terangan.

ALASAN HASSAN YANG KETIGA
 
Selepas pertemuan dengan TGNA di mana TGNA telah menyebut semua isu telah pun selesai, mengapa Hassan Ali tuduh pula Harakahdaily menipu dan memutar-belit kenyataan TGNA? Sikap menyerang PAS, termasuk media PAS, adalah sesuatu yang tidak wajar dilakukan. Kredibiliti media PAS perlu diusahakan dan dipertahankan, bukan disanggah begitu sahaja! Tindakan sedemikian hanya menguntungkan pihak musuh. Itu bukti masalahnya belum selesai dan permintaan maafnya tidak bermakna. Hanya manis di mulut.

ALASAN HASSAN YANG KEEMPAT
 
PAS tidak tersasar. Dasar PAS Islam. Islam mampu melindungi hak Melayu dan kaum lain dan juga institusi Raja. Tidak perlu diletak Melayu dan Raja setaraf dengan Islam sehingga dasar PAS menjadi 3. Islam sempurna dan tidak perlu ditokok tambah.

Soal istilah ‘Negara Berkebajikan’ tidak merupakan masalah kerana konsep ini tetap tertakluk kepada definasi yang berpaksikan perlembagaan PAS iaitu Islam. Ianya hanya istilah untuk menjelaskan bahawa Negara yang ingin dibentuk oleh PAS berdasarkan Islam bersifat berkebajikan, bukan kejam dan zalim seperti yang didakwa UMNO.

Soal kepimpinan ulama, ini juga tidak diubah oleh PAS. PAS menginstitusikan kedudukan ulama’ dalam parti dengan tertubuhnya ‘Majlis Syura Ulama’ yang kesemua ahlinya adalah ulama’. Bagi seorang yang mendakwa ingin mengikut kepimpinan ulama, Hassan Ali sepatutnya membuktikan apa yang didakwanya. Ini sebaliknya! Majlis Syura Ulama tidak kata apa-apa, Hassan Ali pula yang pandai-pandai mengeluarkan fatwa bahawa PAS telah terkeluar dari landasan asalnya. Ini bukan hendak ikut ulama’ tetapi ingin ulama’ ikut cakapnya! Atau adakah ulama’ juga dianggapnya sebagai parasit?

Soal ukhuwwah Islamiyah dan akhlak Islam yang kononnya tidak lagi menjadi amalan dalam PAS; saya tidak nampak pimpinan PAS menghina pimpinan lain dengan gelaran seperti parasit atau sebagainya kecuali Hassan Ali sendiri! Sepatutnya Hassan Ali menunjukkan contoh ukhuwwah dan akhlak Islam yang kononnya diingin-inginkan.

ALASAN HASSAN YANG KELIMA
 
Bagi saya alasan ini merupakan pengakuan yang saya tunggu selama ini. Hassan Ali mengaku bahawa dia sememangnya tidak mahu pada PR dan kerap kali mencadangkan kedudukan PAS dalam PR dikaji semula. Sedangkan keputusan untuk bersama dengan PR dan mengukuhkan PR adalah keputusan muktamar, bukan mana-mana golongan dalam PAS. Maka beliau sendiri apabila diamanahkan dengan apa-apa jawatan dalam PAS sepatutnya memahami jawatan itu perlu dimanfaatkan untuk mencapai matlamat dan strategi yang dipersetujui PAS, bukan agenda dirinya sendiri! Sekiranya beliau tidak setuju, sepatutnya beliau melepaskan jawatan-jawatan ini dan benarkan orang lain berusaha untuk mencapai kehendak parti.

Tetapi berlaku sebaliknya; jawatan hendak tetapi guna ikut kepala sendiri. Ini yang dikatakan tidak amanah. Ini yang dikatakan khianat. Parti suruh kukuhkan PR, tetapi beliau berkali-kali berusaha untuk membawa PAS keluar PR! “Kaji semula kedudukan dalam PR” cara cakap penuh diplomatik. Maknanya keluarlah tu. Tetapi apabila sudah keluar hendak buat apa? Gabung dengan UMNO lah pula!

Empat tahun terbuang kerana Hassan Ali mengejar agenda sendiri.

ALASAN HASSAN YANG KEENAM
 
Alasan ini juga merupakan satu pengakuan yang saya tunggu-tunggu. Hassan Ali mengaku beliau tidak mampu menjalankan tugasnya. Dia mengakui bahawa dia “menghadapi kesukaran dan suasana serba salah” bukan kerana kekurangan pada orang lain tetapi kekurangan dirinya sendiri. Hassan Ali tidak tahu bagaimana untuk melaksanakan kerjanya dalam suasana berbilang kaum dan berbilang bangsa serta fahaman. Dia hanya mampu buat kerja apabila semua sudah setuju dengan dirinya dan ikut sahaja cakapnya.

Yang saya hairan, mengapa dia keluarkan pengakuan ini setelah dipecat? Kalau dia memahami jawatan dia adalah suatu amanah dan dia memang menghadapi kesukaran dan serba salah, sepatutnya dari awal lagi dia beritahu pimpinan; “Saya tidak mampu. Tunggu semua sudah setuju untuk ikut saya baru beri balik jawatan dan tanggung-jawab ini kepada saya. Saya tidak mampu untuk berhujjah dengan mereka yang tidak setuju dengan apa yang saya cuba lakukan”. Serah sahaja kepada mereka yang sanggup dan mampu berhujjah”.

Sebenarnya, inilah di antara cabaran yang mesti dihadapi oleh gerakan Islam. Samada dengan orang Islam mahupun yang bukan Islam, iaitu kemampuan untuk berhujjah untuk membuktikan kebenaran Islam dan ketepatan pendekatannya. Bukan hanya dengan ‘bull-doze’ sahaja.

ALASAN HASSAN YANG KETUJUH
 
Soal pimpinan, yang Hassan Ali gemar menggelar sebagai ‘parasit dalam PAS’, lebih suka mendengar pandangan dari DAP dan PKR adalah kerana mereka memahami bahawa kita berada dalam kerajaan campuran. Maka pandangan semua pihak mesti didengari. Kalau ada yang tidak setuju, maka perlu dibincang dan dibahaskan.

Yang malangnya Hassan Ali hanya ingin dengar pandangannya sendiri dan sanggup memutar-belit fakta dalam usaha memenangkan pandangan sendiri.

ALASAN HASSAN YANG KELAPAN
 
Hassan Ali merasakan dia tidak dapat buat kerja nahi mungkar dalam pentadbiran Selangor. Apa itu ‘mungkar’ ini ada yang dipersetujui bersama, ada yang tidak dipersetujui bersama. Bagi yang dipersetujui bersama, seperti rasuah dan penyelewengan, kronisma dan pecah amanah, boleh dicegahi bersama atas nama PR. Bagi yang tidak dipersetujui bersama pula boleh mencegahnya dengan kaedah ‘bil lisan’ atau dengan lidah atas nama PAS.

Dalam beberapa perkara, seperti penjualan beer dalam kawasan majoriti Islam, PAS boleh berhujjah dengan bijak dan lancar supaya mendapat persetujuan rakan-rakan di dalam PR supaya ianya dilarang walaupun ianya tidak dilihat sebagai sesuatu kemungkaran dari sudut perspektif orang bukan Islam. Ini telahpun bejaya dilaksanakan dan mendapat persetujuan semua pihak.

Pada masa yang sama, PAS boleh juga melancarkan kempen anti-arak yang melibatkan semua, Islam dan bukan Islam. Konsep hak asasi manusia, kebebasan individu, hak untuk memilih adalah perkara yang terdapat dalam ajaran Islam. Itulah sebabnya Islam tidak dipaksa ke atas masyarakat. Kita sebagai ummat Islam mesti menghayati perintah Allah yang bermaksud “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah, serta contoh dan nasihat yang baik dan berhujjah dengan mereka melalui cara yang terbaik”. Amat malanglah jika Hassan Ali menganggap bahawa Islam tidak mengiktiraf bahawa manusia itu mempunyai hak asasi dan tidak boleh diperlakukan sesuka hati atau bahawa Islam itu perlu dipaksa ke atas masyarakat tanpa mengakui adanya hak memilih dan kebebasan individu.

ALASAN HASSAN YANG KESEMBILAN
 
Hassan mengadu dia sering diserang oleh pimpinan ‘parasit PAS’ apabila dia melakukan sesuatu melalui jabatan yang di bawah penguasaannya seperti MAIS, JAIS dan LZS. Perkara ini mungkin perlu beliau tanya dirinya sendiri mengapa ianya berlaku. Mungkin dia sendiri tidak berbincang dengan pimpinan PAS Pusat dan Negeri mengenai keutamaan atau awlawiyyat yang perlu diusahakan terlebih dahulu. Maklumlah, untuk berbincang dengan manusia yang beliau lihat sebagai ‘parasit’ apa gunanya.

Setahu saya beliau tidak pernah berbincang persoalan ini di dalam mesyuarat PAS Negeri yang diadakan sebelum ini. Saya berasa pelik mengapa semua ini diluahkan hanya selepas dia dipecat. Kedua, adakah benar MAIS, JAIS dan LZS di bawah ‘penguasaannya’? Itu perlu tanya, MAIS, JAIS, LZS dan Hassan Ali sendiri.

KESIMPULAN
 
Bagi saya semua alasan yang diberi hanya alasan semata-mata.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

13 ulasan:

  1. Biarkan pandir dengan alasan2nya, orang yang gagal akan mencipta banyak alasan..

    BalasPadam
    Balasan
    1. hang rasa la...hang dgn hasan ali sapa yg gagal..hang rasa2 laaaa....

      Padam
  2. biaq pi kat dia laa dia bukan ada kegheja dah la ni masa banyak terbuang bagitu je,jadi lebih baik jadi pelesit,rasuk sana,rasuk sini,dapat jugak kawan,.sanggup jadi munafik tak pa asal hati puaih.

    BalasPadam
    Balasan
    1. hangpa semua goyang ke dgn hasan ali...jgn sampai hangpa goyang inul sudah la yea...

      org cacat mental kekal jea yg dok caya dgn Parti Adat & Sukan ni....taubat la hangpa semua...PAS tu cuma parti politik yg penubuhannya diluluskan oleh kerajaan inggeris yg mewakilkan Sir Nadarajan dgn hasrat Melayu dan Islam terbahagi dua..

      Pasai PKR jgn sebut la....seduit x guna...hangpa x geli ka anggkat peliwat sebagai pemimpin...uweekkkkk

      Padam
  3. Hassan Ali ni kalau mahu dilihat sebagai pejuang islam sejati haruslah mempunyai kredibliti setaraf As-Syahid Hassan Al Banna, tokoh pejuang islam tersohor, jangan jadi macam Hassan jugak tapi Hassan Kepala Bana!...yang kerjanya macam pelesit menabur fitnah kesana kemari!..kahkahkah

    BalasPadam
  4. Hang gi ikut Yang Berbahagia Dato' Hasan buat road tour. Berapa ramai yang hadir. Separuh kerabat hang pun dah mula tukar bendera buang warna hijau.Warna hijau tidak menjanjikan syurga. Syurga adalah milik allah taala yang dikhaskan kepada muslimin dan muslimat yang sentiasa berpegang kepada Al Quran dan sunnah. Hidup kerana Allah taala. Beribadat kerana allah taala. Bekerja kerana allah taala. serba serbi kerna allah taala. Kalau taksub dengan warna hijau belum tentu dapat masuk syurga.. lebih-lebih lagi sekiranya asyik nak maki sana, maki sini serupa DAP & PKR. Fatwa mengkafirkan sesama islam bukan lesen masuk syurga.. fikir dan muhasabah diri. Ingat semuanya didunia ini adalah kerana lillahitaala.

    BalasPadam
    Balasan
    1. sdr mohd sariki!....persepsi sdr tentang PAS saya agak tidak tepat...PAS memang tidak menjanjikan syurga...warna hijau pun bukan lambang menuju ke syurga.. Saya sendiri pun bukan ahli PAS, tetapi saya merasa satu kewajipan menyokong dasar perjuangan islam yang dibawa oleh PAS. Menjadi ahli parti tidak penting tetapi selagi dasar perjuangan PAS berlandaskan islam secara syumul wajib disokong. Andai kata PAS terang2 telah meninggalkan dasar perjuangannya dan mengambil prinsip sama macam DAP...saya tidak akan menyokong lagi PAS dan saya akan terus masuk DAP..
      Ertinya menjadi ahli itu perkara nombor dua. Paling penting menyokong perjuangan yang dibawa oleh PAS. Macam kes Hasan Ali..beliau tidak ada karisma untuk dilihat sebagai pejuang/pemimpin untuk melaksanakan dasar2 islam...Hasan Ali beruntung kerana diberi platfom yang betul untuk berjuang bersama2 dengan jemaah islam yang lain..tetapi kepentingan peribadi melebihi daripada iktikad perjuangan..hassan ali memilih jalan yang salah...beliau kena belajar banyak tentang politik dengan Lee Lam Thye, bekas pemimpin DAP...apapun kalau sdr masih mengikut rentak yang dimainkan oleh Hasan Ali maka sdr samalah juga macam sibangsat ini telah memilih jalan akhir kehidupan beliau iaitu dengan meninggalkan Jemaah Islam untuk bersama sama golongan-golongan munafik yang menjadikan fitnah sebagai cara hidup.....

      Padam
    2. Mengapa terlalu bodohnya engkau ni?

      Padam
  5. Skot...boring ahh cite pasal DHA je...cite le pasal org lain...naik jemu den nengok muka dia je...

    BalasPadam
  6. Semenjak dia selalu masuk dalam ceramah diTV1 dulu....saya lihat dia memang menjual ceramah untuk cari makan....apabila pakatan mula kuat...dia berjinak-jinak dengan pas...tapi semua tu untuk cari makan....

    BalasPadam
  7. akhirnya Hassan ali keseorangan diatas pentas politik

    BalasPadam
  8. Yang hadir di ceramah dia tu adalah orang BN .

    BalasPadam
  9. Org meno pong baca gak tulisan ni..letak le add ni kt favourite..rajin2 jengok agar tebuka hati..hehe

    BalasPadam