Selasa, 11 Jun 2013

RAGAM MUSIM PRU - DALAM PARTI KEADILAN YANG KADANGKALA BUAT KITA PENING

SEWAKTU parti bersiap sedia menghadapi PRU 13 yang lalu, berbagai cerita panas kita dengar terutamanya apabila senarai nama calon diumumkan.  Sudah tentu ada yang tidak puas hati dengan calon yang dipilih oleh parti, dan tidak kurang juga yang menyokong calon pilihan parti.

Di dalam KEADILAN, kebiasaannya (tidak pasti sebagai dasar parti), calon-calon bagi kawasan Parlimen ditentukan oleh KEADILAN Pusat iaitu di bawah JPRP (Jawatankuasa Pilihanraya Pusat) dengan nasihat atau pandangan KEADILAN Negeri.  Manakala, bagi kawasan DUN pula, calon-calon ditentukan oleh KEADILAN Negeri juga dengan nasihat dan pandangan KEADILAN Pusat.  Itu asas bagi menentukan senarai calon yang aku fahami.  Mungkin betul, mungkin juga banyak yang silap.

Mengapa isu calon menjadi panas?  Ada beberapa sebab yang popular.  Pertamanya, calon yang dipilih datangnya dari 'luar' dan dikatakan mengenepikan tokoh tempatan yang telah membuat kerja begitu lama.  Mengapa calon datang dari luar?  Ada juga sebab musababnya.  Mungkin parti melihat calon luar ini lebih berketrampilan untuk dijadikan calon berbanding tokoh tempatan tersebut.  Persoalannya, adakah calon luar ini datang awal ke kawasan berkenaan untuk melaksanakan kerja yang sepatutnya?  Jika jawapannya tidak, maka memang tidak wajar calon luar bertanding di situ.  Ada juga sebab calon luar dipilih kerana tokoh tempatan atau Ketua Cabang atau mana-mana Ahli Jawatankuasa Cabang pun tidak bekerja di kawasan masing-masing.  Mereka mahu menjadi calon hanya atas sebab mereka pegang jawatan tetapi tidak menunjukkan komitmen menggerakkan parti.  

Benarkah ada budaya 'kronisme' di dalam KEADILAN?  Sukar mahu menjawab persoalan ini walaupun bayangannya tetap ada.  Manakan tidak, ada calon yang ditampilkan langsung tidak dimaklumkan kepada KEADILAN Negeri atau dimaklumkan disaat-saat akhir.  Paling menyedihkan calon tersebut diletakkan sebagai calon DUN yang mana sewajarnya patut ditentukan oleh KEADILAN Negeri.  Setiap kawasan DUN senarai calon kebiasaannya dibawa oleh KEADILAN Negeri ke Pusat sekurang-kurangnya dua nama.  Mengapa ada calon yang dibawa langsung tidak tersenarai di dalam pencalonan Negeri?  

Ada kes di mana nama calon yang dipilih bertindih hinggakan disaat-saat akhir pun ada dua calon yang 'direstui' oleh parti.  Apabila ini berlaku, maka wujud masalah teknikal di mana watikah keluar kepada calon yang sebenarnya tidak direstui oleh pimpinan Negeri.  Pelik bin ajaib lagi, Presiden restu calon yang direstui oleh Negeri tetapi watikah gagal diperolehi.  Ini menjadi pertanyaan yang sukar untuk dijawab.

Itu di antara beberapa kisah.  Tapi yang lebih hebat lagi, ada yang tidak dicalonkan ambil keputusan untuk keluar parti atau sengaja membiarkan diri mereka dipecat dengan cara menjadi calon Bebas.  Itulah politik sebenarnya.  Tidak kisahlah mereka mahu keluar parti, tetapi ada yang sudah keluar dari parti tetapi masih perasan mereka ahli parti dan kerap memberikan komen kononnya untuk betulkan parti di dalam masa yang sama tuding jari ke arah orang lain.  

Bagi aku mudah.  Aku tidak setuju atau tidak suka cara seseorang pemimpin itu, aku tidak akan keluar parti tetapi aku akan tentukan pemimpin itu tidak berada di tempatnya sekarang.  Itu pun jika majoriti ahli parti yang sependapat dengan aku, jika tidak, terima sajalah keputusan pemilihan parti sebab kita ahli parti.  Tidak dapat dinafikan di dalam pemilihan parti juga berlaku kelemahan, maka sebagai ahli kita tidak boleh duduk diam.  Kita perlu lakukan perubahan sedaya upaya kita agar parti kita bukan saja telus, tetapi mesti dilihat telus.


1 ulasan:

  1. Gua cukup setuju apa yang lu lontarkan kerana banyak kejadian yang lu lontarkan ada asasnya. Bagi pandangan gua, mereka ini masih memiliki perangai lama mereka semasa berada dalam Umno. Bagi mereka yang mengejar pangkat, ugutan bertanding atas tiket bebas lebih kepada ugutan agar mereka dicalonkan dengan menggunakan penyokong parti sebagai alasan memperkuatkan yang mereka mendapat sokongan akar umbi. Dalam isu ini gua tak salahkan presiden apabial mengeluarkan watikah kerana beliau banyak perkara untuk diuruskan.
    Tak kan beliau terpaksa turun padang untuk mengetahui keperibadian seseorang calon kerana iniadalah kerja yang patut dilakukan oleh cabang dan dihantar keperingkat negeri untuk menapis Yang menjadi masalahnya ialah ada pihak negeri langsung tidak dimaklumkan kerana mereka lebih suka terus ke pusat untuk menjadi calon. Mungkin mereka fikir jika melalui negeri, nama mereka akan ditolak dan inilah kesannya jika karat Umno masih lagi ada pada diri mereka.

    BalasPadam