Sabtu, 23 November 2013

MASIH ADA PERWAKILAN MASIH TIDAK TAHU SIAPA KETUA PR ?

SIAPA akan jadi PM jika PR Perintah Putrajaya?  Adusss...mengapa ada perwakilan yang masih bertanya soalan tahap ini?  Namun, siapa yang mengetuai PR telah dijawab oleh Presiden PAS, Tuan Guru Hj Hadi di dalam sidang medianya pada Muktamar PAS hari ini.

"PAS ada hak (mengetuai)... Perlu kita bincang semua parti-parti dalam Pakatan Rakyat," katanya dalam sidang media tengah hari ini selepas penangguhan sidang bagi sesi pagi.  Beliau mengulas perbahasan perwakilan Johor Firdaus Masood yang membangkitkan siapa pemimpin yang mengetuai Pakatan Rakyat.
 
Jawapan Presiden tepat dan berpijak di bumi nyata.  Sebut tentang hak, memang PAS ada hak.  PAS ada hak untuk ketuai PR tetapi tentulah terpaksa mematuhi syarat-syarat tertentu di dalam PR untuk menjadi ketua.  Mustahil PAS boleh terus dabik dada untuk menyebut parti berkenaan jadi ketua.  PKR pun tidak boleh dabik dada, jauh sekali DAP.  Cara paling bijak adalah berunding sesama PR.  
 
Sebelum ini bukan rahsia, semenjak dari PAS di zaman Almarhum Us Fadzil Noor parti tersebut mengiktiraf DS Anwar sebagai ketua dan bakal PM jika Pembangkang menguasai Kerajaan.  Selepas itu, Mursyidul Am PAS pun berkali-kali sebut DS Anwar Ibrahim layak menjadi PM.  DAP sudah lama iktiraf ketokohan DS Anwar sebagai PM jika Pembangkang berkuasa.
 
Perlukah diubah?  Tidak salah untuk diubah kerana jawatan PM bukan hak mutlak Anwar.  Bahkan PKR pun bukan hak mutlak Ketua Pembangkang ini.  Tetapi tentulah ada kaedahnya dan lojiknya mana-mana parti untuk meletakkan pimpinan mereka menjadi Ketua.  Menjadi Ketua di dalam Pembangkang belum tentu akan menjadi PM jika berkuasa.  
 
Waktu sekarang ini, kita perlu bekerja kuat.  PAS mesti kuatkan usaha rampas Kedah dan kembalikan semula kekuatan di Terengganu, sambil itu baiki kelemahan yang mula dapat dilihat di Kelantan.  PKR pula mesti kerja kuat dengan mengemaskinikan jentera yang masih lemah disamping mempertingkatkan jati diri ahli-ahli PKR terutama pimpinannya kerana budaya lompat menjadi katak ini seolah-olah sudah sebati dengan PKR.   Meskipun DS Anwar sebelum PRU13 yang lalu berjanji bahawa calon-calon yang bakal diketengahkan nanti cukup mantap dan teruji, namun masih juga berlaku lompat di Sabah, umpamanya.  Ini menjejaskan kredibiliti PKR, walaupun bab lompat melompat ini tiada kena mengena dengan kelemahan dasar parti, ianya lebih kepada integriti seseorang individu.  Mungkin salah percaturan dan salah pilih calon menjadi puncanya.
 
DAP pula jangan sangka sepanjang masa kaum Cina menolak Bn.  Memang diakui sokongan kaum Cina kepada PR amat luar biasa, tetapi harus diingat mereka sokong PR tidak semestinya mereka sokong DAP sebaliknya mungkin kerana teramat benci kepada Bn.  Jika hilang bencinya, tidak mustahil PR akan hilang sokongan masyarakat kaum Cina ini.  Justeru itu, DAP tidak boleh selesa.  DAP juga jangan suka mengusik rakan-rakan yang lain dengan isu-isu sensitif.  Karpal Singh patut dimotivasikan jika DAP mahu lebih releven di dalam PR.
 
Apabila kita sudah kuat di semua sudut, tentulah lebih mudah untuk kita bercakap soal siapa layak jadi Ketua.   Jika kita dilihat semakin lemah, bagaimana kita mahu menuntut banyak perkara?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan