Rabu, 19 Februari 2014

KONTROVERSI - FORUM "KAJANG MOVE" DI KUANTAN MALAM INI


MALAM ini (19/2/1014) Rabu, Jam 09.00 malam, bertempat di Pusat Tarbiyah Tg Lumpur, Kuantan akan diadakan Forum "Kontroversi" berkaitan PRK Dun Kajang.

"KAJANG MOVE - Strategi Ke Putrajaya?".  Itulah maudhuk forum malam ini yang bakal menampilkan Ahli Parlimen Temerloh yang juga AJK Dewan Ulamak PAS Pusat, YB Us Nasruddin Tantawi dengan Ketua Penerangan KEADILAN Pahang, Sdr Razali Alias.  Turut serta adalah Prof Dr Muhammad dari UIA dan Moderatornya adalah Dr Wan Azizi juga dari UIA.

Ini bukan sesi perdebatan di mana pendebat akan berhujah untuk menangkis hujah lawan dan membawa hujahnya.  Ini adalah satu forum, iaitu setiap ahli Panel akan memberikan pandangan mengikut nas atau dalil beserta fakta-fakta yang diperolehi berkaitan tajuk ini.  Di dalam forum, mereka mesti menghormati pandangan ahli-ahli panel yang lain dan jika perlu dijawab boleh dijawab tetapi akhirnya mesti hormati pendapat ahli panel yang lain.

YB Us Nasruddin Tantawi memang 'kontroversi' semenjak dua menjak ini terutamanya berkaitan isu PRK Dun Kajang.  Kita ketahui beliau pernah suarakan pendapatnya yang agak pedas juga sebelum pimpinan PAS Pusat buat ketetapan di dalam isu Kajang.  Itu adalah haknya untuk beri pendapat.  Apa bezanya dengan Sdr Razali Alias?  Beliau mungkin dilihat tidak begitu "kontroversi" kerana beliau bukan "YB" yang mana kata-katanya 'ada nilai', tetapi tidak kurang juga pedasnya komen dari Ketua Penerangan KEADILAN Pahang ini melalui FB beliau.  

Sehubungan itu, mereka berdua diketemukan bukan untuk berbalah atau menegakkan benang yang basah.  Mereka diketemukan hanya untuk membuktikan kepada kita semua bahawa di dalam PR kita bersedia untuk berbincang, bertukar pandangan dan berforum di atas apa jua isu yang mungkin ramai yang terkeliru.  Ini beza PR dengan Umno/Bn.  Kita berada di pentas untuk sama-sama menambah baik nama atau imej parti kita.  Soal siapa kalah siapa menang tidak timbul kerana keputusan PR telah dibuat iaitu PRK Dun Kajang, PR bersedia dengan komitmen padu untuk memberikan kemenangan kepada PR yang diwakili oleh DS Anwar Ibrahim.

Cuma, forum pada malam nanti hanya berkisar soal, adakah PRK Dun Kajang itu (Move Kajang) itu benar-benar satu strategi untuk ke Putrajaya?  Itu masalah 'Khilafiah".  Kita boleh bersetuju dan tidak bersetuju.  Perlucutan jawatan Panglima Perang Khalid Al Walid, tidak semua dipersetujui oleh para sahabat kerana semua tahu kehebatan Khalid Al Walid.  Tetapi adakah para sahabat tahu apa sebabnya dan apakah strateginya?

Mudah-mudahan forum berjalan dengan baik, teratur dan penuh setiakawan, InsyaAllah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan