Sabtu, 3 Mei 2014

JIKA ANWAR BEBAS, ADA KATAK AKAN BUNUH DIRI?

IBRAHIM AL-KATAKI adalah sekor-sekornya makhluk yang paling gembira sekiranya Anwar masuk penjara.  Beliau sanggup adakan kenduri sekiranya cita-citanya itu berjaya dan beliaulah satu-satunya binatang yang suka dan seronok di atas penderitaan orang lain.

"Saya berdoa cepatlah dia ke penjara seperti mana yang dia sendiri diuar-uarkan. Saya orang pertama yang gembira dan bersyukur. Mungkin saya akan adakan majlis kesyukuran sebaik sahaja Anwar ke penjara.  "Lagi cepat Anwar masuk penjara, lagi baik. Ia baik untuk rakyat dan negara. Baik juga untuk pihak keselamatan kerana tidak pening dengan kerenah Anwar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Aku tidak pelik makhluk yang berkulit dan muka tebal seperti ini berkata sedemikian.  Jika Tok Guru Nik Aziz pun binatang ini sanggup hina dan persendakan, siapa sangat Anwar pada beliau?  Apatah lagi beliau tahu Anwar bukan tandingannya dari segi kepimpinan dan ketokohan semenjak Anwar di zaman pelajar, Anwar sebelum memasuki Umno dan sewaktu Anwar di dalam Umno, Berahim Katak ini tidak pernah dapat menyaingi Anwar.  Sehinggakan Anwar dikeluarkan dari Umno pun, Berahim Katak ini masih ketinggalan untuk bersaing dengan Anwar.  Bagaimana mahu bersaing, beliau menang sebagai MP Pasir Mas dulu pun atas belas ihsan PAS.  Bila beliau bertanding sendirian, beliau terpelosok dalam longkang di Pasir Mas.
 
Justeru itu, jangan pelik binatang bernama katak ini amat dengki kepada Anwar.  Dia dengki bagaimana PAS boleh merapati Anwar sedangkan beliau yang berada di negeri Kelantan yang sinonim dengan PAS pun, buat buat tidak tahu kepadanya.  Sudahlah PAS buat tidak tahu, Umno pula menjadikannya seperti barang mainan semata-mata.  Hati mana yang tidak sakit?  
 
Peduli apa katak ini mahu buat kenduri?  Samada katak ini mahu buat kenduri atau tak, atau katak ini akan membunuh diri jika Anwar dibebaskan nanti, rakyat tidak peduli.  Pada rakyat katak ini sudah lama jadi bangkai di Pasir Mas.   Bangkai katak memang busuk.   Katak biasa waktu hidup tidak busuk, cuma bila dah mampus baru busuk.  Tapi katak Berahim ini waktu hidup pun sudah busuk kepalang, bayangkan waktu dia mampus nanti.

Rabu, 30 April 2014

NAJIB BAWA OBAMA YANG ANTI ISLAM, MUHYIDDIN BICARA HUDUD DENGAN TOK GURU, RAKYAT TERTIPU LAGI

01 MEI ini, luangkan lah masa untuk kita berhimpun di Dataran Merdeka.  Memang tujuannya untuk menunjukkan bantahan kita terhadap perlaksanaan GST yang menindas rakyat di kala rakyat masih tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi.

Hakikat himpunan pada 01 Mei nanti adalah jauh dari tujuan menentang GST semata-mata.  Terlalu banyak isu di dalam negara ini yang membuatkan kita merasakan bahawa rejim yang memerintah sekarang ini sepatutnya berundur.  Rakyat bukan bertambah selesa selepas rejim ini berkuasa kembali dengan 47% sokongan rakyat.  Rakyat bertambah derita, satu demi satu bencana dapat kita lihat berlaku di dalam negara yang kita sayangi ini.  

Aku tidak pakar di dalam membahaskan GST.  Apa yang dapat aku rasakan rakyat kini semakin terhimpit untuk meneruskan kehidupan mereka.  Kezaliman pula tidak pernah berhenti bahkan semakin dipertingkatkan.  Kakitangan kerajaan termasuk dari anggota keselamatan sendiri tidak bebas untuk bersuara.  Ada guru yang terpaksa bertukar hanya kerana mengkritik dan menegur rejim.  Pegawai tentera pun mereka seret untuk didakwa hanya kerana melaporkan penipuan.  

Usah ceritalah dengan pimpinan dan tokoh politik Pembangkang.  Tidak cukup dengan kezaliman yang mereka lakukan terhadap tokoh hebat DS Anwar Ibrahim, mereka terus mencari mana-mana tokoh lain untuk mereka aniayai.  Tujuannya hanyalah untuk menghentikan gerakan menentang mereka.  Mereka mahu terus berkuasa.  Mereka tidak hairan dengan nasib rakyat yang menderita.  Peduli apa mereka dengan soal keselamatan negara yang semakin longgar.  Usahkan keselamatan negara, keselamatan rumah anak Menteri yang jaga Polis pun tidak terjamin.  Apakah jaminan rakyat terjamin keselamatannya?

Isu pesawat hilang cuba dilupakan.  Mereka bawa Obama ke negara ini bertujuan untuk meningkatkan imej pemimpin negara yang sering menjadi bahan tertawa dunia luar.  Apakah kehadiran Obama boleh menyelesaikan kesengsaraan rakyat?  Pemimpin utama negara kita menjemput Obama yang terkenal sebagai pemimpin dunia yang tidak pernah suka kepada kebangkitan Islam.  Lucunya, pemimpin nombor dua bertemu Tok Guru Nik Aziz kononnya untuk bercakap soal Hudud.  Meloyakan.

Kesemua ini adalah rentetan apa yang berlaku di dalam negara kita.  Sehubungan itu, kita wajib turun ke KL pada 01 Mei ini.  Kita harus bangkit untuk menunjukkan kepada rejim, seribu kali pun kamu bawa Obama ke sini, rakyat tetap mahu kamu TURUN!!

Selasa, 29 April 2014

BERTANDING SEBAGAI CALON BEBAS, HENTAM PARTI KEMUDIAN JILAT LUDAHNYA KEMBALI

MANA lebih utama, peraturan yang dicipta oleh manusia atau maruah diri?  Peraturan atau undang-undang yang dicipta oleh kita hanyalah sebagai garis panduan untuk memudahkan urusan pentadbiran dan mengawal kita dari melakukan sesuatu yang tidak dibenarkan.  Hanya peraturan dan undang-undang dari Al-Quran dan Hadith saja yang tidak mempunyai sebarang kelemahan, ianya cuma perlu kepada tafsiran oleh mereka yang diiktiraf dan pakar (Ijmak Ulamak) sahaja.

Peraturan parti tidak begitu.  Ianya terdedah kepada kelemahan dan terdedah kepada tafsiran juga, tetapi sering ditafsirkan oleh sesiapa pun mengikut cita rasa mereka.  Namun, hakikatnya peraturan seperti itu tidak boleh mengatasi maruah diri seseorang.  Ertikata lain, maruah diri lebih utama daripada peraturan ciptaan manusia.  

Di Kuantan baru-baru ini, seorang bekas calon Bebas yang hilang deposit sewaktu bertanding menentang calon PKR di dalam PRU 13 yang lalu secara tiba-tiba menuntut haknya sebagai ahli parti untuk mengundi di dalam pemilihan Cabang.  Beliau berhujah namanya tersenarai di dalam Daftar Pengundi yang sah, maka beliau seharusnya dibenarkan mengundi.  Ini lah yang disebutkan peraturan, di mana peraturan membenarkan beliau mengundi kerana namanya tersenarai walaupun difahamkan ada surat pengesahan lain membuktikan sebaliknya. 

Itu dari segi peraturan.  Semua ahli PKR maklum bahawa sesiapa sahaja yang bertanding Bebas dan sepanjang kempennya menentang parti atau PR, amnya secara automatik dipecat dari parti.  Peraturan ini boleh ditafsirkan berbagai.  Ada yang menafsirkan seseorang itu tidak boleh dianggap bertanding Bebas walaupun wang pertaruhan telah dibayar dan namanya diumumkan sebagai calon Bebas, apabila;

1.  Menarik diri serta merta dan mengumumkan kepada para pengundi agar tidak menyokongnya.
2. Tidak terus berkempen dengan apa cara sekalipun sebagai calon Bebas, malahan mesti bekerja dan berkempen memenangkan partinya.
3.  Tidak pernah mengistiharkan keluar parti atau memberi gambaran bahawa tidak lagi bersama parti.
4.  Mesti memberikan alasan munasabah dan kukuh mengapa mendaftar diri sebagai Calon Bebas.
5.  Mematuhi arahan parti untuk menarik diri dari bertanding Bebas.

Itu semua tafsiran kita.  Ada yang menafsirkan berbeza.  Isi borang calon Bebas sahaja sudah dianggap pengkhianat walaupun tidak meneruskan pertandingan.  Adakah kita boleh anggap mereka sebagai pengkhianat parti apabila mereka menarik diri dan berkempen membantu parti?  

Apabila ada tafsiran yang berbeza, tentulah ianya mesti diputuskan oleh parti sendiri.  Parti mesti buat keputusan adakah calon ini pengkhianat atau tidak setelah mendengar keterangan dari mereka.  Sudah tentunya parti akan mempersoalkan mengapa mereka mendaftar sebagai calon Bebas dan mengapa mereka menarik diri?  Sekiranya jawapan yang diberikan itu memuaskan, parti boleh memutuskan keputusan.  

Kesemua ini merupakan peraturan yang tidak mutlak dan muktamad dan sentiasa akan diperbahaskan.  Berbeza dengan calon Bebas yang ingin mengundi di dalam pemilihan parti di Kuantan baru-baru ini.  Kesemua perkara di atas langsung dilanggar oleh calon ini.  Beliau telah lama mengumumkan secara terbuka bahawa beliau tidak berparti.  Beliau memasuki Pilihanraya sebagai Calon Bebas atas kehendak sendiri dan tidak pernah mengumumkan tarik diri bahkan berterusan berkempen menentang parti sehingga ke akhir hari pengundian.  Selepas Pilihanraya, setelah hilang deposit pun beliau tidak pernah memohon maaf kepada parti dan memberikan sebab musabab mengapa beliau bertanding Bebas walaupun parti tidak mengarahkan beliau berbuat demikian.

Secara teknikalnya, namanya masih tersenarai di dalam keahlian parti.  Itu satu kelemahan di dalam pengurusan keanggotaan parti yang mana kelemahan seperti ini lah yang menjadi buah mulut bagi mereka yang tidak menyokong Setiausaha Agong, Sdr Saifuddin Nasution yang bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR.  Hakikatnya, semua calon ada kelemahan bahkan Ketua Umum dan Presiden pun tidak lari dari melakukan kesilapan.  Itu biasa.

Soalnya, mengapa bekas calon Bebas ini sanggup menjilat ludahnya kembali untuk bersama parti di dalam proses pemilihan parti sedangkan selama ini menghentam parti bahkan menentang parti di dalam pilihanraya?  Ini bukan lagi soal peraturan atau undang-undang.  Ini soal maruah bekas calon itu.  Di mana maruahnya jika tergamak mengambil kesempatan di atas kelemahan sistem yang ada?  Apakah beliau ingin meletakkan peraturan itu lebih tinggi dari maruah diri?

Bagi parti pula, anggaplah ini satu rahmat agar peristiwa seperti ini tidak berulang lagi.  Tidak semua manusia menghargai maruah diri, maka kita perlu perkemaskan sistem keanggotaan parti kita.  Jangan biarkan parti kita sebegitu mudah untuk dipersendakan oleh orang-orang seperti ini.  Mereka bukan berminat pun dengan parti kita tetapi hanya sekadar untuk merosakkan parti.

Isnin, 28 April 2014

BERSYUKUR KERANA ANWAR EJEN AMERIKA MAKA OBAMA DATANG KE SINI

OLEH kerana Anwar ejen Amerika, maka Obama dijemput dan diraikan di Malaysia.  Anwar ejen Amerika, maka Obama tidak perlu berjumpa Anwar di sini.  Bukti Anwar ejen Amerika, maka Najib dan Obama pun ber'selfie' dengan intimnya.  

Itulah hebatnya Anwar.  Kerana Anwar, Obama datang ke negara ini dan mencipta sejarah.  Mulut Obama dan Najib menyebut nama Anwar di dalam tempoh lawatan pemimpin dunia ini.  Mereka kata Anwar sudah tidak ada pengaruh lagi, tetapi bibir kedua-duanya terpacul sebut nama Anwar.  
 

Obama kata dia tidak berjumpa Anwar bukan bererti dia mengabaikan kisah Anwar.  Aku tak peduli samada Obama abai atau tidak tentang nasib Anwar kerana yang akan mengangkat dan membela nasib Anwar adalah rakyat 52% di negara ini.  Jika Obama kutuk Anwar pun, siapa peduli?  Jika Obama jumpa Anwar pun, korang ingat Najib akan letak jawatan?  
 
 
PM Korea letak jawatan hanya kerana feri karam.  Bukan PM Korea yang bawa feri itu, tetapi kerana ada maruah dan sikap bertanggungjawab maka beliau letak jawatan.  Sebab itu lah Korea jauh lebih maju dari negara ini.  Korea mengikuti langkah Jepun yang juga negara maju kerana pemimpin mereka ada maruah dan kredibiliti.  Di negara ini, usah dibilang feri karam.  Usah dikira bas terbalik.  Usah bicara berapa banyak bangunan dan stadium runtuh.  Jangan hitung soal duit negara hilang dan dibazirkan.  Pesawat sampai hilang pun, peduli apa mereka?  Mahu letak jawatan?  Silap besar lah....ini bukan Jepun.  Ini bukan Korea.  Ini negara BRIM yang boleh setel semua masalah dengan BRIM saja.
 
Malu juga kita dengan rakyat Korea dan Jepun.  Tapi apakan daya sudah suratan kita begitu.  Bila gamaknya kita boleh miliki pemimpin seperti Korea dan Jepun?  Selagi parti "Keris Telanjang tak bersarung" atau "Dacing Baghdad" itu berada di Putrajaya, usah bermimpi lah.   Usahkan mahu letak jawatan tinggi, puak-puak ni letak jawatan Ketua Cawangan pun amat payah.

Ahad, 27 April 2014

PEMILIHAN PARTI - IBARAT BOLASEPAK PERSAHABATAN, PEMAIN "OFF SIDE"

SEDIKIT lega rasanya bila keputusan tidak resmi di Cabang Indera Mahkota dan Kuantan diperolehi.  Memang kedua-dua Cabang ini sasaran aku iaitu Ketua Cabang mesti mempertahankan Kerusinya manakala majoriti ahli akan memberi undi kepada Saifuddin dan YB Fuziah Salleh untuk jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden.

Di Indera Mahkota, Saifuddin mendahului selesa dan Fuziah Salleh juga mendapat tempat.  Di Kuantan, Saifuddin gagal menambat hati pengundi sebaliknya TS Khalid menjadi pilihan, namun undi untuk YB Fuziah tidak mengecewakan.  Bagi mereka yang ber'slogan'kan ABA (Asal Bukan Azmin) tentu seronok dengan keputusan ini.

Aku masih konsisten dengan apa yang aku selalu sebut.  Pilihan aku Saifuddin Nasution harus diangkat menjadi Timbalan Presiden kerana tokoh ini tiada kontroversi samada bergaduh jauh sekali tidak mencabar bos secara terbuka atau melalui tindak-tanduknya yang mungkin mengguris hati bos samada Anwar mahu pun Wan Azizah.  

Seandainya Saifuddin gagal mendapat sokongan majoriti ahli untuk jawatan Timbalan Presiden, aku masih berpegang kepada pendapat aku bahawa Azmin boleh terus memegang jawatan Timbalan Presiden.  Memang benar, Azmin banyak lakukan kesilapan sepanjang beliau memegang jawatan tersebut.  Namun aku lebih tertarik untuk meletakkan beliau di Kerusi Timbalan Presiden berbanding Khalid jika Saifuddin gagal mendapat tempat.  Meskipun difahamkan Khalid mendahului keseluruhan undian setakat ini, namun aku tidak berubah untuk menyokong beliau hanya kerana dia 'lead' sekarang.
 
Pada aku Saifuddin masih terbaik daripada Azmin untuk memikul tanggungjawab berat itu, tetapi Azmin lebih baik dari TS Khalid untuk menjadi Timbalan Presiden.  Khalid masih aku anggap bukan orang politik, beliau tetap 'zero' dari segi politik.  Beliau pentadbir terbaik di negara ini tetapi bukan ahli politik yang bijak bistari.  
Masih ada masa, masih ada ruang untuk berkempen.  Aku sedang berusaha untuk tentukan Saifuddin berada di Kerusi Timbalan Presiden.  Apa pun keputusannya nanti, yang pasti aku taat dan akur kepada suara majoriti ahli.  Kena terima keputusan kerana ini perlawanan adik beradik.  
 
Banyak kontroversi yang berlaku di awal hari pengundian di beberapa negeri.  Aku tetap berpegang kepada prinsip "tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah".  waktu dan saat ini, aku masih yakin akan kebangkitan Saifuddin.
 
Ada rakan tanya, "apa akan berlaku jika Azmin menang?".  Aku hanya menjawab, "Yang berlaku nanti adalah aku tetap ahli parti dan bos aku selain dari Ketua Umum dan Presiden, tentulah Azmin atas nama Timbalan Presiden (jika menang)".  Maka, kita kena bantu yang menang agar kita dapat tunjukkan kepada mereka bahawa pertandingan di dalam parti itu ibarat "main bola sepak persahabatan".  Tentulah ada yang buat kesilapan atau "Off Side".  Itu biasa...Yang penting kita terus setia dan bantu bos kita.
 
Kena tahu beza.  Silap lain, penipuan dan khianat itu lain.  Oleh itu, janganlah menipu atau bersubahat dengan penipuan.  Biar kita tewas dengan maruah daripada menang tanpa maruah.