Sabtu, 25 Oktober 2014

PROGRAM ANWAR DI MARAN MALAM INI, SIAPA SANGGUP SUSAH BERSAMA?


MARAN, Pahang adalah destinasi Anwar Ibrahim seterusnya malam ini (Sabtu - 25/10/14).  Orang ramai dijangka memenuhi perkarangan Pejabat KEADILAN Cabang Maran yang berhadapan dengan Stesyen Bas Maran untuk mengikuti apakah amanat yang bakal disampaikan oleh Ketua Pembangkang ini sebelum beliau menyerahkan kepada takdir samada beliau bakal menjadi penghuni di penjara Sg Buluh lagi.

Di tengah-tengah budaya fitnah yang semakin berleluasa di negara ini yang bukan saja menimpa Anwar, namun terlebih dahulu Mat Sabu pernah menjadi mangsanya.  Mat Sabu bukan saja difitnah berkhalwat di sebuah hotel, namun terdapat audio perbualannya bersama seorang wanita telah dijaja untuk menjatuhkan nama baik Presiden PAS itu.  Video Setiausaha Agung PAS, Hj Mustafa Ali yang bukan lagi hitam putih bahkan begitu terang suara yang dirakam kononnya itu suara Mustafa Ali, juga turut dijaja untuk menjejaskan nama baik pemimpin kanan PAS itu.  Terbaru, entah mengapa Ustaz Azhar Idrus pula menjadi sasaran.  Video fitnah terhadap beliau juga kini hangat diperkatakan.

Ertinya apa?  Ertinya rejim bangsat itu tidak pernah merasa takut dengan dosa.  Rejim ini tidak pernah menyesal apa yang telah mereka lakukan.  Anwar tidak lagi menghairankan paling kerap difitnah.  Fitnah terhadap Anwar tiada siapa pun di negara ini khususnya mungkin di dunia ini amnya boleh terjadi.  Anwar ejen Amerika, Yahudi, Israel, kaki main betina, jantan dan berbagai lagi.  Mereka tidak mampu untuk berdepan dengan tokoh reformasi ini secara berdepan dan berhujah jauh sekali untuk berdebat.  Jadi, tidak pelik Anwar menjadi mangsa yang paling hebat dikenakan.  

Pada 28hb Okt ini nanti nasib Anwar akan diputuskan di Mahkamah Putrajaya.  Program di Maran ini adalah sebagai momentum untuk mencetuskan kesedaran rakyat untuk terus melawan kezaliman. Bukan untuk Anwar saja, tetapi fitnah ini juga berlaku kepada pemimpin PAS dan DAP.  Bezanya Anwar dibawa ke mahkamah berulangkali kerana Anwar adalah musuh nombor Wahid kepada rejim. Aku malas mahu fikir mengapa dikatakan sahabat kita tidak lagi seperti dulu apabila Anwar ingin dipenjarakan.  Terasa juga dihati, apakah ini hasil tarbiyyah dan peninggalan Almarhum Ustaz Fadzil?  Hati mana tidak terasa apabila diberitahu tiada sesiapa pimpinan PAS dari Pahang yang mahu sepentas dengan Anwar malam ini.  Aku memujuk hatiku...bersabarlah.

Aku sendiri berusaha menghubungi dua tokoh PAS Pahang yang dulu agak rapat denganku untuk bertanyakan adakah mereka sudi untuk sepentas dengan Anwar?  Mesej aku tinggal mesej dan langsung tidak berjawab.  Setidak-tidaknya jawablah mesej aku dan beritahu tidak dapat hadir atas komitmen lain.  Aku sedar parti mereka kuat.  Aku tahu mereka sebenarnya dapat mesej aku kerana sebelum ini aku sering mesej mereka berkaitan program parti.  Tapi kali ini tidak.  Sedih juga rasanya sampai tahap itu yang dilakukan kepada kami.

Namun ianya tidak melemahkan semangat.  Kami sudah tidak kisah lagi berapa ramai yang boleh hadir kerana kami tahu seawal reformasi dulu pun berapa kerat sangat yang sanggup berjuang.  Namun semakin lama rakyat sedar sehingalah gelombang reformasi begitu menggerunkan rejim di suatu ketika.  Di Maran malam ini seterusnya di Putrajaya nanti, usahlah berduka jika kita kehilangan kawan yang sanggup susah bersama.  Kita harus akui, mereka sudah kuat sekarang.  Kita perlu berdiri sendiri mulai dari sekarang.  Nasib kita baik, kita ada rakan yang partinya bukan parti Islam bahkan pemimpin mereka kebanyakannya Non Muslim yang sanggup bersusah bersama.  

Mungkin bersama kita memperjuangkan nasib Anwar sebagai model kezaliman yang berlaku adalah tidak "syarie' pada mereka.  Sebab itu aku rasa mereka ada dalil dan nas untuk tidak mahu libatkan diri.  Terpulanglah, kita tidak mahu dianggap 'membuli' mereka.  Namun aku yakin tidak semua yang boleh terima tindakan memboikot program Anwar malam ini.  Ada yang berfikir seteruk atau selemah mana pun Anwar, tokoh ini banyak membantu mencorakkan situasi politik di negara ini.  

Jumaat, 24 Oktober 2014

Kalaulah Almarhum Ustaz Fadzil Noor masih ada, kamu tidak akan bersendirian, Anwar

ESOK, Sabtu (25 Okt 2014) Ketua Pembangkang yang dikenali sebagai tokoh reformasi iaitu DS Anwar Ibrahim akan tiba di bumi Pahang.  Selepas di Kedah, Penang, Perak, Terengganu, maka kini giliran Pahang pula dan lokasi yang dipilih oleh beliau adalah kawasan kuat Umno di Pahang iaitu di Maran.



Bertempat di Perkarangan Pejabat KEADILAN Cabang Maran, berhadapan Stesyen Bas bandar Maran bakal menyaksikan pidato berupa amanat penting dari Ketua Pembangkang ini sebelum beliau menyerahkan diri kepada kuasa dan takdir yang Maha Kuasa samada beliau bakal 'terkorban' lagi di penjara demi rakyat Malaysia.  Beberapa tahun dahulu, beliau telah membayar harga yang begitu mahal untuk pencinta keadilan di negara ini di mana beliau sanggup menjadi penghuni kandang besi selama 5 tahun walaupun akhirnya di dapati beliau tidak bersalah.  

Almarhum Ustaz Fadzil Noor
DS Anwar bukan saja sanggup mengorbankan dirinya untuk melihat rakyat di negara ini terbela, tetapi beliau juga mencagarkan maruah seluruh keluarganya apabila beliau difitnah dan menjadi seorang banduan.  Tidak mudah untuk sesiapa pun mempercayai Anwar dan keluarganya mempunyai kekuatan yang luar biasa.  Kelembutan isterinya Kak Wan tidak langsung menunjukkan bahawa beliau sebenarnya mempunyai kekuatan mental yang tinggi untuk menerima ujian terhadap suami tercintanya itu.  Apakah keluarga kita mampu memiliki kekuatan seumpama itu?  


Demi rakyat dan negara, Anwar terus menjadi pertaruhan kita.  Jika bukan beliau, cuba sebut siapa yang memiliki kebolehan sepertinya?  Kita sedar Anwar sepatutnya tidak perlu lagi kita cagarkan sebaik sahaja beliau keluar dari penjara beberapa tahun dulu.  Anwar patut berehat bersama keluarga dan anak cucunya.  Sudah cukup untuk tokoh reformasi ini melalui ujian dan fitnah yang melampau dari rejim bangsat itu.  Namun, kita tiada pilihan lain.  Anwar masih kita perlukan.  Maka, terjadilah apa yang telah kita duga awal lagi iaitu Anwar pasti akan menjadi mangsa rejim lagi.  Fitnah terus menjadi senjata ampuh kepada bangsat di Putrajaya.

Pada 28 hb Oktober ini nanti, kita mengangkat tangan ke hadrat Illahi agar memberikan kita peluang lagi untuk bersama pemimpin yang kita sayangi ini.  Berusia 60-an, Anwar bukan selayaknya dikurung tanpa melakukan kesalahan.  Malang sekali, ada teman-teman yang dahulunya menikmati sedikit sebanyak hasil pengorbanan Anwar kini awal-awal lagi menadah tangan berdoa agar Anwar merengkok di dalam penjara bahkan ada yang mengharapkan nyawa Anwar berakhir dipenjara.  Kerana apa?  Hanya satu, iaitu Anwar tidak mengikut kehendak dan kemahuannya.  Ada yang telah merasa kuat dan gagah, maka Anwar bolehlah dilenyapkan sekarang.  

Namun bagi yang masih berakal dan tahu bersyukur, kita masih mahu Anwar memimpin kita.  Kita sedar apa yang kita perolehi semenjak pembebasan Anwar dari penjara dahulu adalah kerana semangat yang dibawa oleh Anwar.  Selepas kita perolehi undi popular 53% di dalam PRU 13 yang lalu di mana telah memalukan rejim sekarang, apakah kita sudah ego dan sombong?  Ada yang menjadi YB bahkan menjadi MB dengan kemenangan cemerlang kita di dalam PRU selepas Anwar bebas dari penjara.  Kita sudah lupa semua ini?

Pada 28 Oktober nanti adalah detik untuk kita mahu melihat siapa rakan kita yang sanggup ketawa dan menangis bersama.  Setakat ini aku percaya, rakan kita tidak akan menjadi rakan khianat. Andainya nanti aku melihat sebaliknya aku tidak akan lagi mempercayai puak seumpama ini.  Aku tidak merayu sesiapa pun untuk bersama di mahkamah Putrajaya pada 28 Oktober ini.  Aku cuma mahu lihat siapa yang sanggup mengucapkan terima kasih kepada Anwar dan perjuangannya. Seburuk-buruk Anwar, buruk dan kejam lagi rejim yang ada.   Aku juga mahu lihat sejauh mana perjuangan Islam yang diperjuangkan itu menghadapi detik-detik seperti ini.  Adakah kerana dendam kesumat maka keadilan tidak dapat mereka tegakkan dan secara tidak langsung mereka memberi ruang kepada kezaliman untuk terus berleluasa.

Kalaulah Almarhum Ustaz Fadzil Noor masih ada, kamu tidak akan bersendirian, Anwar....
Al-Fatihah buat Almarhum.

Rabu, 22 Oktober 2014

JIKA BENCI KEPADA ANWAR LEBIH KUAT DARIPADA BENCI KEPADA UMNO, ELOK JANGAN DATANG BERHIMPUN

PAHANG kini menanti kehadiran tokoh reformasi, DS Anwar Ibrahim beberapa hari lagi.  Maran adalah tempat bertuah yang akan menerima kunjungan Ketua Pembangkang merangkap Ketua Umum KEADILAN ini sebelum nasib baik ditentukan oleh Mahkamah Kehakiman Putrajaya pada 28 hb Okt ini nanti.  Pada 25hb Oktober, Anwar akan menyampaikan amanatnya kepada rakyat Pahang bertempat di perkarangan Pejabat KEADILAN Cabang Maran (berdepan stesyen bas Maran) bermula lepas Isyak.


Ramai yang menyatakan mungkin kehadiran tidak seperti sebelumnya kerana kita tahu situasi sekarang sebenarnya bukan baik untuk Anwar melihat limpahan yang datang.  Krisis sesama kita di dalam PR belum pulih terutamanya di antara KEADILAN dengan PAS berpunca dari isu MB di Selangor baru-baru ini.  Difahamkan juga, tiada reaksi positif dari PAS Pahang di atas kunjungan Anwar kali ini.  Kita biarkan saja apa pun pandangan orang ramai termasuk dari PAS tentang Anwar. Mungkin bagi mereka Anwar seorang yang boleh menentang Umno/Bn, dan bukan tokoh reformasi ini saja boleh memperkuatkan PR.  Betul, aku setuju.

Bagi aku, tiada paksaan kepada sesiapa pun untuk datang.  Orang ramai dijemput dan terpulanglah kepada mereka untuk membalas dendam kepada Anwar jika mereka anggap Anwar itu seburuk-buruk insan.  KEADILAN telah mempelawa PAS untuk turut sama di pentas ceramah selain dari wakil DAP.  Apa yang aku faham, DAP telah bersedia untuk bersama.  PAS sehingga kini belum pasti, cuma ada khabar-khabar angin menyebut PAS sambut dingin program ini.  Jika betul, itu hak PAS. 

Aku berpendapat tidak semua penyokong PAS menutup mata untuk mengakui sumbangan Anwar kepada prestasi PR selama ini.  Aku yakin ramai para penyokong PAS akan turut hadir kerana mereka sedar seburuk mana pun Anwar, beliau ada jasanya kepada rakyat.  Di zaman Nabi, orang Yahudi dan jahat kepada Nabi pun ketika sakit, Nabi bertanya khabar juga.  Anwar mungkin tidak seteruk Yahudi itu, tetapi jika masih merasakan perlu berdendam kepada Anwar, itu hak masing-masing.  

Kita mahu kehadiran di Maran seterusnya di Mahkamah nanti walaupun sepuluh orang, jumlah ini hadir kerana nawaitu yang ikhlas.  Puluhan ribu yang hadir tidak bermakna Anwar pasti bebas.  Sepuluh orang yang hadir juga tidak bermakna Anwar akan terpenjara.  Ini semua kuasa Allah.  Kita mesti bersedia menghadapi segala kemungkinan.  Mereka yang rasa sudah kuat dan tidak perlu lagi berjuang bersama Anwar dan rakan-rakan lain, itu hak mereka.  Jangan ada buli.  

Kepada para penyokong PR yang sedar Anwar di sebalik kelemahan atau keburukannya, tidak dapat dinafikan beliau punyai jasa kepada rakyat di negara ini, maka wajarlah kita turun beramai-ramai.  Ini giliran Anwar dan keluarganya.  Apakah ada jaminan kezaliman dan fitnah tidak menimpa kita atau keluarga kita?  

Aku menyeru agar kita merenung sejenak apakah kita berpuas hati jika Anwar masuk penjara?  Jika kita rasa patut Anwar merengkok di dalam penjara, elok kita jangan buang masa untuk hadir.  Tetapi jika kita merasakan di sebalik kebencian kita kepada Anwar atas sebab-sebab tertentu namun kita lebih benci kepada kezaliman Umno/Bn, maka kita harus selamatkan Anwar.  


Ahad, 19 Oktober 2014

PAS KENA PUJUK TAMRIN KEMBALI - MAZLAN ALIMAN

AJK PAS Pusat, yang juga Presiden ANAK Sdr Mazlan Aliman adalah insan yang bertanggungjawab membawa anakanda Almarhum Tun Ghafar Baba iaitu Tamrin Ghafar untuk menyertai PAS.  Sdr Mazlan adalah pencadang kepada borang permohonan Tamrin untuk sertai Parti Islam tersebut.

Apabila Tamrin baru-baru ini istihar untuk keluar dari PAS dan berterus terang bahawa di antara sebab utamanya beliau keluar dari PAS adalah kerana tindakan PAS yang menggantung keahlian dua Adun PAS iaitu YB Saari Sungip dan YB Hasnul berikutan kedua-dua Adun dari Selangor berkenaan menyokong pencalonan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah sebagai MB Selangor.  Bekas Pengerusi MARA itu menjadi keliru dan pening dengan sikap PAS yang tidak tahu arah mana parti berkenaan harus berikan kerjasama.  

Sdr Mazlan Aliman juga turut akui sememangnya Tamrin amat kecewa dengan pendirian PAS di dalam isu MB Selangor.  Sikap PAS itu lah sehingga kini menjadikan PAS berpecah sesama ahli-ahlinya bahkan ramai di kalangan pimpinan PAS sendiri bengong dengan pendirian Presiden mereka. Mazlan Aliman berkata, "  Saya difahamkan, keputusan Mesyuarat AJK PAS Pusat pada 12 Oktober lalu mengenai isu 2 Adun PAS iaitu Hulu Klang dan Morib adalah kemuncak yang mendorong Tamrin meninggalkan PAS,"

Beliau yang sangat sedih dengan keputusan Tamrin itu berharap PAS dapat memujuk kembali Tamrin agar mengkaji semula tindakannya.  "Saya berharap Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dapat mengambil inisiatif memujuk beliau memikirkan semula keputusannya keluar PAS, meskipun kita menghormati hak beliau. "Situasi ini bukan sesuatu yang baik bagi PAS," tulis Mazlan dalam Facebooknya.  Tamrin mengambil keputusan untuk meninggalkan PAS, parti yang disertainya 2 tahun lalu, melalui satu surat yang dihantar kepada setiausaha agung PAS pada 15 Oktober lepas.

Mesyuarat AJK PAS Pusat pada 12 Oktober lalu mengambil keputusan menggantung keahlian dua Adunnya, iaitu Saari Sungib (Hulu Klang) dan Hasnul Baharudin (Morib).  Saari dan Hasnul digantung keahliannya ekoran tindakan mereka menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi calon menteri besar Selangor yang disifatkan oleh PAS mendahului keputusan pimpinannya. Sebelum digantung, Presiden PAS ketika membuat ucapan penggulongan Muktamar PAS ke-60 di Batu Pahat, Johor menyifatkan kedua-dua Adun itu barua dan ada broker di dalam parti Islam itu. 

Sebenarnya bukan Tamrin seorang yang pening dengan sikap PAS.  Siapa boleh jangka sebagai sebuah Parti Islam sanggup bertindak sedemikian rupa kepada dua Adun mereka sendiri hanya kerana menyokong Presiden PKR iaitu salah seorang pemimpin besar di dalam gabungan PR?  Lojik di mana PAS boleh mengambil tindakan ke atas dua Adun berkenaan sedangkan kedua-dua mereka ingin membantu PR untuk menunjukkan bahawa PR punyai majoriti yang cukup bagi meneruskan pentadbiran di Selangor.  Jadah apanya yang disokong oleh 4 Exco dari PAS berkenaan kepada TSKI yang tidak berparti?  Alasan kononnya untuk mengawal dari kerajaan PR Selangor jatuh ke tangan Umno atau Dun dibubar samasekali tidak masuk akal sedangkan majoriti yang menyokong Azizah telah jauh mencukupi iaitu seramai 30 Adun?  Mana mungkin Umno boleh memerintah, mana mungkin Dun boleh dibubarkan di dalam keadaan PR punyai majoriti besar?

Jadi, tentulah Tamrin tertanya-tanya mengapa PAS terus menyokong TSKI dan membelakangkan Azizah yang telah mempunyai majoriti?  Apa nawaitu PAS waktu itu?  Itu yang dipersoalkan ramai pihak.  Presiden PAS boleh ke hulu ke hilir memberikan berbagai alasan mengapa PAS mempertahankan TSKI tetapi tidak semua orang boleh terpedaya dengan alasan yang tidak munasabah itu.

PAS sepatutnya melaksanakan kebijaksanaan politik di dalam menangani isu ini asalkan tidak bercanggah dengan hukum Islam.  Apakah menyokong PR ketika itu bersalahan dengan hukum atau menyokong TSKI yang telah menjadi Adun Bebas itu diwajibkan untuk PAS menyokongnya?  Di mana maslahah politik itu diletakkan oleh PAS?  Atas sebab itu, Tamrin bertindak keluar dari PAS kerana beliau merasa pelik dengan tingkah laku PAS.

Akibat ketidakbijaksaan itu, kini PAS telah mula merasai kesannya.  PAS sudah kurang membelasah Umno tetapi banyak melatah tentang PasMa yang tiba-tiba wujud ketika isu MB Selangor.  Pimpinan PAS masih tidak segan silu membelasah rakan-rakan dari PR terutamanya PKR.  PAS mungkin merasa PKR meranapkan impian PAS untuk terus mengekalkan TSKI sebagai MB Selangor. Mengapa begitu bersungguh PAS mahu pertahan TSKI?  Kononnya, TSKI patut disokong kerana MB Selangor itu tidak disabitkan dengan SPRM atau mahkamah.  Mahu bertanya, adakah sabit dengan SPRM mahu pun mahkamah terhadap dua Adun berkenaan?  Jawabnya tiada.  Jika tiada, mengapa perlu mereka dihukum?  Kerana disiplin?  Jika itu jawapannya, PKR juga memecat TSKI atas dasar disiplin juga selain dari isu hutang Bank Islam, projek kepada kroni Umno dan banyak lagi perkara yang mana TSKI sendiri gagal tampil untuk menjawabnya kepada parti.

Tamrin bukan hebat sangat sebab itu PAS tidak kisah kehilangan beliau.  Tetapi aku yakin PAS sebenarnya rugi besar dan akan mengambil risiko yang tinggi apabila parti tersebut silap di dalam tindakannya.  Besar kesan ke atas PR, lebih besar lagi kesannya kepada PAS sendiri.