Sabtu, 31 Januari 2015

SUDAH TIBA MASANYA ANWAR BERSUARA DAN TEGAS

BILA mahu berani buat keputusan?  Soalan ini aku tujukan kepada semua pimpinan di dalam PR.  Keputusan yang mesti diambil hanya ada dua pilihan, dan kami para pendokong PR sedang menanti keberanian kamu sebagai pemimpin.

Usah lagi buat kerja tidak cerdik main acah-acah atau main gertak-gertak lagi.  Mulanya kita mungkin seronok lihat permainan politik mereka tetapi semakin lama semakin menjemukan.  Bibir berkata mahu perkuatkan PR dan sanggup bersetuju untuk tidak bersetuju sesama PR, tetapi di dalam masa yang sama mulut yang sama juga setiap hari meludah ke muka masing-masing.  Susah sangatkah mahu buat keputusan yang berani?  

Persoalannya adakah PAS, PKR dan DAP masih mahu bersama?  Adakah PR tidak mahu DAP saja?  Atau PR tidak ingin lagi kepada PAS atau PR kurang selesa bersama PKR?  Mungkin juga DAP dan PKR tidak mahu lagi PAS berada di dalam PR, atau pun sebaliknya PAS yang sebenarnya mahu lari dari PR?  Mungkin mustahil mahu sebut PAS dan DAP menolak PKR jika dilihat di dalam situasi sekarang.  

Tidak perlu berkias-kias atau sengaja buat tektik agar parti kita ditendang keluar.  Keberanian buat keputusan itu perlu.  Jika mahu bersama, pimpinan mesti bersedia untuk bertemu dan berbincang.  Jika berbincang pun tidak mahu, tetapi terus menerus menyerang sesama kita, ertinya kita tidak ikhlas dengan kerjasama ini.  Tahukah kamu sikap kamu sebagai pemimpin telah mengheret para penyokong masing-masing membuang masa dengan 'perang saudara' ini.  Sebaliknya kamu terus memakan elaun kamu sebagai Wakil Rakyat.  Di mana sikap dan tanggungjawab kamu?

Sudah terlalu lama Umno berehat sambil menonton peperangan kita.  DAP kecam PAS kerana Hudud sedangkan bukan baru PAS memperkatakan tentang Hudud ini.  PAS dasarnya Islam dan tentulah Hudud adalah sebahagian dari dasarnya.  Ini bukan benda baru.  Begitu juga PAS, bukan baru-baru ini kita tahu DAP menentang hukum Hudud.  Di zaman Almarhum Ustaz Fadzil dulu pun DAP menentang Hudud bahkan sebelum itu juga.  Namun, Almarhum Us Fadzil tidak pula mencari alasan untuk menjauhi DAP kerana isu Hudud.  Di situ terpapar kebijaksanaan Almarhum menangani isu ini.  Peranan Anwar juga ada untuk mententeramkan keadaan.  DAP pernah keluar dari bekerjasama dengan PAS kerana isu ini.  Tetapi apabila Anwar keluar dari penjara, Anwar berjaya cantumkan semula DAP dan PAS untuk bersama Pembangkang.

Banyak tuntutan Islam yang sewajibnya kita perjuangkan yang DAP sokong penuh.  Basmi rasuah, sistem mahkamah yang adil, basmi kemiskinan, mantapkan ekonomi, pendidikan dan pertahanan, dan banyak lagi kewajipan yang Islam sendiri tuntut telah mendapat sokongan padu DAP bahkan tidak keterlaluan jika kita katakan ada beberapa aspek DAP yang merealisasikannya di P.Pinang.  Cuma satu yang DAP tegas menolaknya iaitu Hukum Hudud.  Apakah kerana satu ini, kita sanggup hilang yang lain?  Di situlah patutnya ada kebijaksanaan. 

Aku mahu tegur Anwar selaku Ketua Pembangkang.  Anwar jangan terlalu menjaga hati kawan-kawan.  Anwar mesti tegas sebagai pemimpin.  Anwar mesti sanggup terima kritikan dan Anwar juga perlu kritik mana-mana pemimpin sekutu yang "malas' ini.  Anwar tidak lagi boleh dedahkan dirinya menjadi bahan hentaman apatah lagi oleh rakan-rakannya sendiri.  Kita tahu Anwar tidak mahu keruhkan lagi keadaan tetapi sikap yang seperti positif itu akan membuatkan para pendokong PR yang bencikan Umno tidak melihat Anwar tegas.  PR mesti ada disiplin juga.  Terlalu banyak kenyataan pimpinan PR yang seolah-olah berputus arang macam sengaja mahu disepak keluar. 

Kita kena akui, Umno/Bn hanya boleh ditumbangkan sekiranya kita lebihb kuat seperti tahun-tahun sebelum ini.  PKR tidak kuat tanpa DAP dan PAS.  Begitu juga sebaliknya.  Usah perlu mendabik dada.  PKR tidak boleh dabik dada hanya kerana dapat perintah Selangor dua penggal.  DAP pun tidak perlu merasa kuat pertahankan P.Pinang dua penggal.  PAS pula tidak perlu merasa mempunyai jentera yang kuat maka kemenangan pasti akan dicapai.  Semuanya perlu muhasabah diri. 


Selasa, 27 Januari 2015

APAKAH NASIB ANWAR AKAN MENGGEMBIRAKAN MUSUH-MUSUHNYA?

INSYAALLAH, Tawakkal Alallah.  Nasib Anwar Ibrahim akan ditentukan pada 10 Feb ini di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya.  Bukan kes rasuah, bukan kes bunuh Altantuya, bukan kes curi injin pesawat, bukan kes jual Pulau Batu Putih, bukan kes 1 MDB jauh sekali dari kes curi lembu kondo.  Anwar, seperti biasa hanya akan berdepan dengan kes fitnah.

Anwar menjadi TPM dan Menteri Kewangan dulu sewaktu di era Mahathir, satu kes salahguna harta kerajaan mahu pun rasuah berjaya dibuktikan.  Beliau pegang kunci harta negara lebih kurang 8 tahun, adakah beliau kini kaya raya atau keluarganya kini miliki harta yang bertimbun?  Jika ada, aku rasa tidak perlu Sepol masukkan plastik ke dalam duburnya atau menyusahkan dia tidak cuci dubur beberapa hari.

Apa pun kita ada Allah.  Susah dan senang, Allah tempat kita mengadu dan bersyukur.  Aku tahu, ada yang mendoakan bahkan ada yang solat hajat minta Anwar masuk dalam.  Mereka itu tidak semuanya dari puak Keris Telanjang tidak bersarung.  Betullah kata orang, teman ketawa untuk dapatkan sokongan dan kuasa memang ramai, tetapi kawan menangis sukar dicari.   Jika tidak percaya, lihat saja pada 10 Feb ini nanti.  Siapa yang dulunya naik hasil dari pengaruh Anwar dan kempen giatnya di merata negeri, tetapi sibuk tidak dapat hadir ke mahkamah untuk memberikan sokongan moral kepada Anwar.

Bahkan yang pasti akan ada yang berkata tidak "syarie' hadir ke mahkamah kerana Anwar bukan Ulamak dan itu masalah peribadi.  Bagi mereka lebih baik Anwar duduk di dalam kerana menyusahkan mereka untuk merealisasikan strategi "sulit' mereka.  Pedulikan itu semua.  Kita, mereka merancang, Allah jua merancang dan perancangan Allah tentu lebih baik.  

Aku yakin Anwar masih punyai kekuatan dalaman yang tiada pada orang lain setakat ini.  Beliau bukan maksum, tetapi beliau mampu hadapi satu demi satu fitnah ke atasnya dan keluarga dengan tabah tanpa ada rasa rendah diri berdepan dengan musuh.  Berani kerana benar.  Beliau difitnah, isterinya juga diperlekehkan, namun Anwar tidak pernah melatah jauh sekali membalasnya.  

Hanya doa yang mampu kita panjatkan buat tokoh reformasi ini.  Apa yang pasti, Anwar akan bebas, InsyaAllah.  Beliau bebas bukan kerana menyerang Daim atau membantu Najib, tetapi beliau memang tidak bersalah dan wajib dibebaskan.  Itulah keyakinannya dan keyakinan kita yang ada keimanan walaupun senipis kulit bawang.