Jumaat, 27 Februari 2015

MENGAPA PEMENJARAAN ANWAR PERLU DIRAYU?

MUNGKIN terlalu awal untuk memikirkan siapa calon PR yang akan mengisi kekosongan Kerusi Permatang Pauh.  Keluarga Anwar telah memohon kepada Ke Bawah Duli YMM YDP Agong bagi pembebasan Anwar dari penjara.  Maka ertinya belum muktamad kekosongan Kerusi tersebut sehinggalah Seri Paduka membuat keputusan.

Poll yang saya buat di dalam blog ini masih lagi Saifuddin Nasution mendapat undian tertinggi kemudiannya Chegu Bard.  Kedua-dua mereka tokoh hebat dan pastinya bakal memanaskan Parlimen sekiranya salah seorang yang terpilih.  Namun, kita masih menaruh harapan bahawa Anwar akan dibebaskan kerana tiada sebab untuk Anwar berada dalam kurungan.

Mengapa Anwar tidak mahu membuat permohonan pengampunan?  Mudah jawapan yang diberikan oleh Anwar.  Perlu apa beliau mohon pengampunan kerana beliau memang tidak bersalah.  Majoriti rakyat di negara ini awal-awal lagi menolak fitnah ke atas Anwar.  Buktinya 52% rakyat menyokong PR yang diterajui oleh Anwar di dalam PRU 13 yang lalu.  

Mengapa keluarga Anwar perlu merayu?  Jawapannya juga mudah.  Bukan sahaja keluarga beliau, bahkan sebenarnya kita yang setuju bahawa Anwar telah dizalimi wajib berusaha membebaskan beliau dengan apa cara sekalipun, apatah lagi terdapat ruang dan saluran yang masih ada untuk kita berusaha.  Kita patut merayu kerana kita tidak boleh hanya melihat kezaliman berlaku.  Atas prinsip mahu membebaskan Anwar dari kezaliman itulah, wajar kita sokong keluarga Anwar membuat rayuan ke Istana.  Biarlah mereka yang jahil itu menuduh permohonan itu dibuat sebagai bukti Anwar memang bersalah.  Kita orang yang beriman dengan Allah mestilah sedar bahawa amat zalim kita jika kita biarkan kezaliman berleluasa.

Sehubungan itu, Anwar masih punyai harapan untuk kembali bersama rakyat.  Ini yang menakutkan amno dan sekutunya.  Jika gagal juga, kita mesti bersedia untuk meletakkan calon di Permatang Pauh seorang tokoh yang jika tidak sehebat Anwar pun mestilah seorang yang boleh menggerunkan rejim di Parlimen nanti.  Orang itu samada Saif mahu pun Chegu Bard.


Selasa, 24 Februari 2015

PRK PERMATANG PAUH - NAMA CHEGU BARD TERSENARAI ?

SIAPA calon PRK Parlimen Permatang Pauh?  Sebelum ini aku menulis tentang bagusnya jika Sdr Saifuddin Nasution (Pengarah PRaya PKR) mengisi kekosongan Kerusi tersebut lantaran terpenjaranya DS Anwar Ibrahim.  Namun, perdebatan masih rancak tentang siapa yang layak dan sesuai bertanding di situ.

Umno pastinya akan meletakkan calon, walaupun di Dun Chempaka Umno khabarnya amat prihatin akan risiko perpecahan rakyat seandainya ada pertandingan, maka di Dun tersebut Umno mungkin tidak akan bertanding.  Rakyat tidak bodoh untuk meneka mengapa Umno sebaik itu.  Mengapa di Permatang Pauh tidak penting perpaduan?  

Tidak mengapa, yang penting kita tahu helah Umno.  Di Permatang Pauh, aku telah buat satu Poll (undian) kepada pengunjung blog aku di sini http://wfauzdin.blogspot.com 

Namun, ada beberapa cadangan dari rakan-rakan untuk menambah senarai calon di dalam undian tersebut.  Di dalam Poll awal, jelas Sdr Saifuddin Nasution mendapat undian tertinggi jauh meninggalkan calon-calon lain iaitu DS Wan Azizah,  Nurul Nuha Anwar, Nurul Hana Anwar dan Calon Lain.  Aku telah pun batalkan undian asal tersebut dan membuat undian terbaru dengan penambahan beberapa calon popular yang dicadangkan oleh rakan-rakan.

Calon-calon yang mungkin anda pilih adalah DS Wan Azizah, Nurul Nuha Anwar (March To Freedom), Sdr Saifuddin Nasution, Sdr Yusmadi Yusof dan Sdr Chegu Bard SAMM (Badrul Hisham Shaharin).  Poll ini hanya untuk mengetahui pilihan anda sebagai pengunjung blog ini.  Keputusan muktamad tentunya dari parti dan mesti kita hormati.  

Kepada yang melatah bila melihat Chegu Bard telah mula mengorak langkah di Permatang Pauh, tolong simpan sifat dendam dan hasad anda itu.  Kita harus sokong sesiapa pun yang berani tampil ke hadapan untuk membela nasib DS Anwar Ibrahim dan menentang kezaliman yang berlaku.  Jangan pertikai nawaitu seseorang seolah-olah nawaitu kita saja yang ikhlas dan baik.  Lawan tetap lawan !!