Rabu, 14 Oktober 2015

KEADILAN PERLU JAUHKAN DIRI DARI PERKASA, ELAKKAN DIRI DARI MENJADI BODOH

PERKASA hakikatnya telah lama ditolak oleh rakyat, bukan sahaja dari kaum Melayu tetapi ditolak secara total oleh bukan Melayu.  Bila sebut Perkasa, terbayang kepada mereka 'rasis' yang terlampau.  Ini yang dirasai oleh kaum bukan Melayu, terutamanya kaum Cina.

Bagi kaum Melayu pula, jika mereka rasa mereka sayang sangat kepada Melayu, Perkasa bukan tempatnya.  Mereka ada Umno. Sejarah Umno dulunya tidak menjadi musuh kepada mana-mana kaum.  Sekarang ini kaum bukan Melayu tidak lagi yakin dengan Umno bukan kerana kaum Melayu tetapi Umno mentadbir negara selaku tunjang Kerajaan Bn sekarang mentadbir dengan secara amat tidak telus.  Sikap Umno yang memelihara kroni itu menjadi puncanya.

KEADILAN sudah lama menjauhkan diri dari Perkasa.  Kita melihat Perkasa hanya sebagai ejen Umno untuk menjatuhkan KEADILAN terutamanya kerana Umno paling takut dengan KEADILAN berbanding parti Pembangkang yang lain.  Sebab itu tidak mustahil apa jua program KEADILAN terutamanya program ceramah yang dihadiri oleh DS Anwar Ibrahim malahan oleh anaknya Nurul Izzah pun sering cuba diganggu oleh Perkasa.  Begitu juga program Pas, contohnya program Mat Sabu di Rembau dulu cuba digempur oleh puak-puak ini.  

Usah bicara tentang perangai Presiden Perkasa, Ibrahim Ali.  Almarhum Tok Guru Nik Aziz pernah bersangka baik kepada raja katak ini dengan meletakkan beliau sebagai calon Parlimen Pasir Mas dengan menggunakan logo Pas.  Apabila beliau menang saja, Ibrahim Ali lupa segala-galanya.  Beliau rasa beliau dipilih oleh pengundi di Pasir Mas atas kehebatan dirinya.  Ibrahim Ali dicop pengkhianat oleh Almarhum Tok Guru.  Bahkan, sehingga Almarhum Tok Guru baru saja disemadikan, Ibrahim Ali terus merendah-rendahkan keperibadian Almarhum.  Statusnya di dalam FB yang menghina Almarhum Tok Guru selepas kematiannya mendapat cemuhan dari orang ramai sehingga memaksa beliau membuang status tersebut.  Sehingga kini Ibrahim tidak pernah memohon maaf kepada waris Almarhum Tok Guru.  Itulah Ibrahim Ali.

Sehubungan itu, KEADILAN seharusnya menjauhkan diri dari Perkasa.  Kata-kata fitnah jijik Ibrahim Ali terhadap DS Anwar Ibrahim masih kita ingat.  Beliau mengeji DS Anwar Ibrahim bahkan beliau orang paling kuat berdoa dan bersyukur apabila DS Anwar dipenjarakan semula.  Seandainya KEADILAN lupa akan semua ini dan cuba untuk berpeluk mesra dengan Perkasa, itulah sejarah KEADILAN yang paling bodoh. 


Isnin, 12 Oktober 2015

PAS DAN PSM DITAWAR UNTUK SERTAI RAKYAT MARHAEN MELAWAN REJIM

MPP KEADILAN telah pun bermesyuarat petang semalam dengan mengekalkan 'Status Quo' yang diputuskan oleh Pakatan Harapan (PH) iaitu gabungan PH terdiri dari KEADILAN, Dap dan Amanah di samping masih terbuka untuk Pas dan PSM menyertai gabungan ini.

Bezanya, di dalam rundingan Meja Bulat baru-baru ini nama PSM seolah-olah tidak disebut secara khusus, tetapi MPP petang semalam menyebutnya secara khusus iaitu mempelawa Pas dan PSM bersama.  Itu keputusan MPP petang semalam.  Sebelum ini, PH pun tidak menyekat Pas dan mana-mana parti politik untuk menyertai PH asalkan sanggup terima terma yang dipersetujui bersama di dalam PH.  

Parti yang dikatakan paling 'bermusuh' dengan Pas iaitu Dap dan kemudiannya Amanah yang dianggap pengkhianat oleh Pas, masing-masing berfikiran terbuka untuk menerima kehadiran Pas di dalam PH.  Malangnya, sehingga kini Pas belum menunjukkan minat untuk bersama PH.  Pas lebih berminat untuk bekerjasama dengan KEADILAN, itu pun di dalam konteks Selangor yang nampaknya lebih jelas.  Kita sedia maklum, Selangor di bawah Azmin Ali, Timbalan Presiden KEADILAN yang mempunyai hak untuk membentuk kabinet Kerajaan Negeri Selangor sudah tentulah banyak memberi keuntungan kepada Pas sekiranya Pas kekal bekerjasama dengan kerajaan negeri yang ada sekarang.

Keputusan MPP petang semalam menunjukkan bahawa usaha-usaha yang dibawa oleh Kak Wan selaku Presiden KEADILAN dan disokong kuat oleh Rafizi selaku SUA KEADILAN dan Saifuddin Nasution untuk mengekalkan PH sebagai pengganti Pakatan Rakyat (PR) telah berjaya.  Khabar-khabar angin yang menyebut PH akan dibantutkan perjalanannya melalui mesyuarat MPP petang semalam ternyata tidak benar.  Jika ada pun sekelumit idea untuk berbuat demikian, pastinya akan ditolak majoriti di dalam MPP kerana masing-masing faham betapa pentingnya PH itu wujud sekarang ini.

Aku telah menulis sebelum ini tentang kekhuatiran terhentinya PH sekiranya ada yang mahu korbankan PH hanya kerana Pas.  Ternyata kekhuatiran aku tersasar.  Apakah kita boleh berpuashati dengan keputusan MPP semalam?  Jika tanya aku, aku merasa lega kerana PH terus dipertahankan, Kak Wan terus dapat sokongan dan tiada yang 'terkorban' hanya kerana pertahankan PH.  Itu yang utama yang pada aku amat berjaya.  Jika puak-puak yang ingin melihat PH gagal, ternyata mereka kecewa semalam.

KEADILAN telah 'upgrade' semula pelawaan kepada Pas dan PSM.  Ertinya, tiada lagi tuduhan yang boleh menyatakan mengapa Pas dan PSM tidak dijemput.  Sekarang, bola di kaki Pas dan PSM.  Aku rasa PH tetap berlapang dada jika akhirnya Pas menyedari bahawa terlalu banyak masa terbuang untuk bersengketa sesama sendiri berbanding dengan melawan rejim.  Pas harus terima hakikat bahawa ada agenda yang lebih aula berbanding agenda lain, iaitu jatuhkan rejim dan bina satu kerajaan yang lebih baik dari yang ada.  



Ahad, 11 Oktober 2015

MESYUARAT MPP MALAM INI - USAH BICARA SOAL PERJUANGAN JIKA TAKUT HADAPI RISIKO!!

BENARKAH Parti KEADILAN kini telah mula dipermainkan oleh Pas?  Apakah mesyuarat khas MPP malam ini adalah salah satu dari tanda bahawa KEADILAN sanggup berbuat apa saja demi mengikut kehendak Pas?  Oleh kerana Pas tiada di dalam gabungan Pakatan Harapan (PH), maka KEADILAN terpaksa membuat petisyen untuk menentukan KEADILAN menanti Pas?

Jika benar, aku tidak faham mengapa petisyen perlu dibuat hanya kerana PH tidak menyenaraikan Pas sedangkan semua tahu KEADILAN, Dap dan Amanah bersedia untuk menerima Pas bersama di dalam satu gabungan, namun Pas memilih untuk mencipta berbagai alasan agar parti itu tidak dikotori dengan 'najis' Dap dan Amanah.  Bagi Pas, hanya KEADILAN sahaja yang 'suci bersih' yang boleh mereka buat kawan walaupun sebelum ini bermacam-macam mereka perkatakan tentang Keadian.  Kita tahu layanan Presiden Pas terhadap Anwar.  Kita juga tahu apa Presiden Pas katakan terhadap Kak Wan selaku Presiden KEADILAN.  Semua tahu kisah fitnah edar pil kuda yang dilakukan oleh Presiden Pas terhadap calon-calon KEADILAN, cuma nama tidak disebut kerana takut disaman dan juga kerana tiada bukti atau saksi.  

Apa pun yang Presiden Pas atau beberapa pimpinan wala perkatakan kepada KEADILAN, Dap dan Amanah, namun demi rakyat dan negara ini kita masih bersedia untuk terima Pas.  Maka, tawaran menyertai PH dibuat juga kepada Pas.  Oleh kerana Pas merasakan partinya kuat bersendirian sepertimana yang sering pimpinan mereka laungkan, maka Pas tidak mahu terlibat di dalam PH.   Tetapi, mengapa Pas di Selangor membisu?  

Adakah Pas di Selangor sudah hilang 'wala'nya terhadap kata-kata Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Dr Mahfodz yang ada menyebut Pas akan tarik diri dari bekerjasama dengan KEADILAN termasuk di Selangor?  Apakah kita lupa amaran dari Pas sebelum ini bahawa jika KEADILAN berkawan dengan Amanah, maka Pas akan putuskan hubungan dengan KEADILAN di Selangor?  Mengapa Pas masih lagi buat selamba di Selangor?  Sewajarnya sebuah parti Islam sikap istiqomah mesti ada dengan sebarang tindakan dan kata-kata.  Apakah kerana KEADILAN menjadi MB Selangor maka menyebabkan beberapa pimpinan Pas di Selangor yang duduk di kerusi empuk Exco dan memegang jawatan di dalam GLC Selangor hilang 'Wala'nya?   Bayangkan jika bukan dari KEADILAN kerusi MB Selangor, adakah anda yakin Pas akan menunggu seperti sekarang?

Kepada KEADILAN, kita telah cari jalan sebaiknya iaitu menjadikan semua sebagai kawan atas asas melawan rejim itu lebih utama.  Tetapi di dalam berkawan, kita tidak boleh memaksa orang lain untuk bersama kita.  Kita patut boleh membaca kawan-kawan yang mana ikhlas berkawan dengan kita kerana hanya "tentera-tentera" yang ikhlas, jujur dan istiqomah melawan rejim sahaja yang boleh menjatuhkan rejim ini.  Kita tidak perlu bergaduh sesama kita hanya kerana ingin membela orang yang tidak pernah suka kepada kita sebenarnya.

Keputusan Mesyuarat MPP malam ini aku yakin, KEADILAN sudah matang membuat keputusan.  KEADILAN mesti berani buat keputusan demi rakyat.  USAH BICARA SOAL PERJUANGAN JIKA TAKUT HADAPI RISIKO.