Jumaat, 11 Mac 2016

BANGKITLAH WARGA KUANTAN, LAWAN BAUKSIT HABIS-HABISAN



TERASA sedikit kecewa dan sedih apabila melihat beberapa individu dan kumpulan yang bersusah payah mengadakan kempen menentang aktiviti perlombongan Bauksit di Kuantan, sedangkan tidak ramai rakyat Kuantan terutamanya yang telah pun menjadi mangsa bahana pencemaran itu masih berdiam diri.

Melihat kepada reaksi mereka di alam maya, di media siber, begitu marah sekali mereka dengan apa yang berlaku di kawasan mereka.  Malangnya, kemarahan dan kegelisahan serta kebimbangan mereka itu tidak dizahirkan dengan sesungguhnya.  Mengapa perlu orang luar yang menzahirkan apa yang kamu semua pendam?  


Esok, Sabtu (12/3/16) akan bermulalah Kempen #RED2GREEN- WALK TO PARLIAMENT" di mana para sukarelawan akan berjalan kaki dari tapak perlombonngan Bauksit sehingga ke Parlimen untuk menyampaikan memorandum bantahan.  Alangkah baiknya jika memorandum itu turut dihadiri seramai mungkin warga Kuantan yang terlibat dengan kesan pencemaran Bauksit ini.  Ya, bukan mudah untuk mencari orang yang sanggup bersusah walaupun untuk masa depan mereka sendiri.  Lebih ramai yang suka menanti hasil usaha orang lain.  Menyedihkan.

Tahukah kita, majoriti yang datang untuk menjayakan kempen ini datangnya dari beberapa individu dan NGOs dari luar dan mereka bukan mangsa pun.  Tetapi mereka mahu bantu anda semua.  Apakah anda rasa mereka ada kepentingan politik?  Mereka adalah individu dan NGOs yang bukannya datang dari mana-mana parti politik Pembangkang.  Memang benar, KEADILAN mengambil bahagian membantu kempen ini kerana KEADILAN sentiasa konsisten dalam perjuangan membela nasib rakyat.  Apakah wajar KEADILAN berpeluk tubuh dan hanya melihat rakyat di Kuantan terus menderita?  Kami bersama anda sewaktu musibah banjir, kami turut ke hadapan sewaktu menentang Lynas dan kali ini kami bersama anda merasai akan bahayanya kesan dari aktiviti perlombongan Bauksit ini.


Bukan prinsip kami di dalam KEADILAN apabila menang di dalam Pilihanraya di Kuantan, maka kami akan berehat dan berpeluk tubuh.  Denyut nadi rakyat Kuantan ada pada Wakil Rakyat kami.  Apa lagi yang boleh kami lakukan untuk anda?  


Khamis, 10 Mac 2016

DEKLARASI YANG BUKAN KERANA MAHATHIR TAPI ITU TUNTUTAN ANWAR

DEKLARASI Rakyat termeterai sudah.  Najib mesti berundur atau diundurkan.  Ini bukan masalah Mahathir yang suruh atau Anwar yang suruh.  Jika ditanya pada rata-rata rakyat termasuk ahli-ahli Umno sendiri sependapat bahawa sudah sampai masanya Najib bersara atau dibicarakan.

Pakatan Harapan sudah berusaha untuk melakukan ini sebelum Mahathir bersuara lagi.  Bukan kerana Mahathir jauh sekali kita mahu bergantung kepada Mahathir.  Mahathir ayam pencen.  Bukan selayaknya kita bertarung dengan PM pencen yang tiada lagi kuku.  Mahathir sendiri gagal selamatkan anaknya dari dipecat sebagai MB Kedah, mana mungkin kita berselera dengan Mahathir?

Tapi kalau Mahathir mahu memberikan senjata kepada kita yang beliau sendiri tak terdaya mahu gunakan senjata itu untuk jatuhkan Najib, apakah kita menolaknya?  Terima senjata Mahathir bukan bermakna kita maafkan segala salah laku beliau sewaktu beliau berkuasa.  Sesiapa pun tidak akan terlepas dari menanggung akibat sekiranya melakukan kesalahan sewaktu berkuasa, tidak terkecuali Mahathir.  

Anwar menyokong Deklarasi Rakyat bukan kerana adanya Mahathir.  Bukankah Anwar telah berpesan kepada kita sebelum beliau masuk penjara bahawa teruskan perjuangan dan lakukan reform.  Anwar tidak suruh kita hanya berjuang untuk bebaskan beliau dari penjara.  Anwar mahu kita selamatkan Malaysia.  Apabila Malaysia selamat, tiada lagi orang yang teraniaya berada di dalam penjara seperti Anwar.  Salahkah Deklarasi itu?

Atau, pendekatan kita itu salah kerana Mahathir menyokong kita turunkan Najib?  Takkan kerana Mahathir sokong perjuangan kita maka kita kena hentikannya?  Jika itu berlaku, memang benarlah kita berjuang ini kerana berpaksikan kepada Mahathir.  

Aku tidak setuju kita kena hentikan cita-cita kita hanya kerana Mahathir setuju atau tidak.  Tiada dalam kepala otak aku Mahathir walaupun sedikit.  Apa yang ada hanyalah pesanan Anwar bahawa lakukan segera reform.  Do It Now!!