ANWAR adalah pilihan PH untuk menjadi PM sekiranya PH berjaya ke Putrajaya. Pengiktirafan ini berulangkali disebut oleh pimpinan dari Dap dan Amanah, apatah lagi oleh Keadilan yang mana Anwar adalah Ketua Umumnya.
Tentang pendirian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau sinonim disebut "Bersatu'. mereka ada hak untuk menamakan siapa sahaja untuk menjadi PM kerana kita yakin proses demokrasi akan menentukan siapa PM berpandukan siapa pilihan majoriti di dalam Parlimen nanti. Sehubungan itu, langkah awal yang wajib kita lakukan adalah bebaskan Anwar terlebih dahulu.
Pada 12 Oktober 2016 ini, Anwar akan mengemukakan permohonan semakan semula sabitan kes liwat ke atasnya bertempat di Istana Kehakiman, Putrajaya. Anwar kini merengkok di dalam penjara Sungai Buloh setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan kes liwat terhadapnya. Satu dunia percaya bahawa Anwar telah difitnah mengikut hukum akal mereka, apatah lagi jika mengikut hukum Islam. Mereka yakin Anwar adalah mangsa konspirasi dan banyak negara menuntut agar Anwar dibebaskan.
Sekiranya kita yakin bahawa Anwar tidak bersalah, adalah menjadi kewajipan kita bersama untuk bersolidariti menandakan sokongan terhadap bakal PM tersebut. Rakyat terutamanya di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, khususnya yang masih simpati dengan Anwar dan keluarganya serta mahu Anwar kembali kepada rakyat wajiblah turun beramai-ramai. Tunjukkan kepada rejim bahawa insan bernama Anwar ini tetap di hati rakyat. Ini bukan isu peribadi. Ini isu kezaliman dan keadilan.
Pada 12 Okt ini nanti, sewajibnya seluruh Wakil Rakyat dari PH, terutamanya dari Keadilan mesti turun dan bawa seramai mungkin rakyat di kawasannya. Jangan lupakan jasa Anwar sehingga kamu berada di tahap ini. Rakyat akan melihat dan menilai samada kamu seorang Wakil Rakyat yang mengenang budi atau tidak.