Selasa, 16 Jun 2009

HUSAM TARIK BALIK SAMAN

Husam tarik balik saman dua adun

KUALA LUMPUR: Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa akan menarik balik saman fitnah RM6 juta yang dikemukakannya terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Bunga, Mohd Adhan Kecik dan Adun Paloh, Datuk Nozula Mat Diah.

Peguam yang mewakili Husam, Ahmad Shabrimi Mohd Sidek, memberitahu media hari ini bahawa Husam berhasrat menarik balik saman itu selepas kedua-dua Adun Barisan Nasional itu membuat permohonan maaf secara terbuka pada awal bulan ini. "Kami menjangkakan kes ini akan diselesaikan. Penarikan balik saman itu akan dibuat di hadapan hakim pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian. Sementara itu, kami masih berunding dan akan mendapatkan arahan lanjutdaripada plaintif mengenai sama ada untuk menarik balik saman terhadap defendan ketiga, New Straits Times Press (M) Berhad," katanya selepas kes itu dikemukakan bagi pengurusan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Hilmiah Yusof di dalam kamar di sini.

Pada 31 Jan tahun lalu, Husam memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini terhadap Mohd Adhan, Nozula dan NSTP selepas dua wakil rakyat itu mendakwa Husam terbabit dalam penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah jenayah dalam pentadbiran kerajaan negeri dan menggesa Badan Pencegah Rasuah (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk menyiasat.

Kenyataan memfitnah yang didakwa itu diterbitkan dalam New Straits Times dan Berita Harian pada 28 November 2007. Husam, bekas naib presiden PAS, mendakwa Nozula dan Mohd Adhan, pada sidang media, membuat dakwaan bahawa beliau menyalahguna kuasa dan bertanggungjawab bagi salah urus dalam syarikat Air Kelantan Sdn Bhd.

Beliau mendakwa kenyataan dan artikel itu adalah palsu, memfitnah dan tidak berasas dan mencemarkan maruahnya sebagai seorang ahli politik dan pemimpin parti yang memperjuangkan agama Islam. "Mahkamah menetapkan 4 September ini bagi pengurusan kes," kata Ahmad Shabrimi. -Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan