Rabu, 17 Jun 2009

NAJIB DAH BERI LAMPU HIJAU, TUNGGU APA LAGI?


OLEH: WFAUZDIN NS

SATU pengumuman yang dinanti-nantikan oleh beberapa pihak di dalam PAS telah pun dibuat semalam. PM yang juga Presiden Umno iaitu sebuah parti yang kini cuba di`risik' oleh beberapa pihak di dalam PAS telah pun membuat pengumuman yang `menceriakan' terutamanya kepada Timbalan Presiden Pas. Umno, kata Najib semalam bersedia untuk berpakat, berunding, berbincang atau apa sahaja tentang Kerajaan Perpaduan dengan Pas. Umpama `bulan jatuh ke riba' mungkin bagi mereka yang kemaruk jatuh hati pada Umno. Dan, tidak mustahil sememangnya `Bulan' akan jatuh ke riba Umno kalau pun tidak tertusuk oleh `keris telanjang' Umno itu.

Mursyidul Am sudah tidak bersuara dua tiga hari kebelakangan ini tentang Kerajaan Perpaduan. Mungkin beliau cuba untuk menghormati pesanan `orang kuat' Pas Mustafa Ali untuk `tutup mulut'. Tiba-tiba semalam, sebaik sahaja Najib mengumumkan bahawa Umno bersedia untuk terima `risikan malahan pinangan' dari Pas, Timbalan Presiden Pas naik semangat mengulas isu yang dikatakan tidak boleh disebut itu. Tanpa rasa bimbang jauh sekali dari perasaan malu, beliau seolah-olah tidak sabar menanti kepulangan Presiden Pas dari luar negara untuk menyampaikan `berita baik' ini. Umno boleh tersenyum kembali.

Selepas ini, para `Ulamak' di dalam Pas dan Ulamak Umno akan sama-sama membelek kitab untuk mencari nas atau dalil bagi mengatakan Umno dan Pas WAJIB bersatu demi Melayu dan Islam. Lupakan sahaja isu pokok seperti rasuah, penyelewengan, ketidak adilan, rampasan kuasa, rampasan royalti suatu ketika dahulu, jenayah oleh pemimpin dan sebagainya, asalkan Umno dan Pas BERSATU. Maka, bersama-samalah nanti kita nyanyikan lagu `BERSATU' yang sering berkumandang di Dewan PWTC setiap kali Perhimpunan Agung Umno itu.

Tidak mengapa, biarkan mereka dengan cara mereka. Mana-mana ahli Pas dan PR serta penyokong-penyokong, kita teruskan perjuangan yang telah ditinggalkan separuh oleh mereka yang mabuk kuasa itu. Buktikan kepada mereka, tanpa Umno kita mampu membela nasib agama, bangsa dan negara kita sendiri. Biarkan mereka dengan seribu alasan untuk menghalalkan cara kononnya untuk agama. Tidakkah mereka sedar berpuluh-puluh tahun, boleh atau tidak diharapkan kepada Umno untuk membela agama? Jauh sekali soal bangsa.

Walau apa pun, kita tetap menanti keputusan Presiden Pas kembali dari luar negara samada bersedia untuk meneruskan agenda yang dicadangkan. Selaku Ulamak, saya percaya Tuan Guru Presiden pasti telah diberi taufik dan hidayahnya oleh Allah SWT. Beliau seorang Ulamak yang boleh memberikan ijtihad, begitu juga Tuan Guru Nik Aziz boleh berijtihad. Apabila bertemu kedua-dua ijtihad yang bertentangan ini, pilihan paling bijak adalah memilih ijtihad yang mempunyai kurang risikonya. Maka, adakah memilih Umno tidak mendatangkan risiko besar kepada Pas khususnya dan PR, amnya? Yang pasti, Umno kini semakin lebar senyumnya./ wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan