Jumaat, 5 Jun 2009

UMNO JANGAN TERLALU MENGHARAP DI DALAM MUKTAMAR PAS INI

Oleh: wfauzdin.blogspot.com

PERTARUNGAN di antara sesama saudara sedang berjalan di Dewan Muktamar Pas sekarang, manakala perdebatan dan perbahasan di dalam dunia cyber dan IT juga sama hebat. Semuanya menjadikan topik samada Timbalan Presiden Pas yang akan dipilih adalah Us Nasa atau Husam mahupun Mat Sabu. Semuanya ada penyokong masing-masing di pelbagai peringkat samada ahli-ahli Pas dan tidak kurang juga yang tiada kena mengena dengan Pas. Begitulah hebatnya Pas ketika ini sentiasa menjadi perhatian masyarakat.

Mungkin ada yang bertanya, bagaimana jika ditakdirkan Us Nasa kalah, Mat Sabu kalah dan Husam menang? Atau, Husam kalah, Mat Sabu pun kalah dan Us Nasa menang? Bagaimana pula jika Mat Sabu menang dan Husam serta Us Nasa kalah? Apakah dengan keputusan itu nanti akan menyebabkan Pas punah ranah dan Umno kembali bernafas? Jika itu anggapan kita, kita tersilap dalam membuat perkiraan tersebut. Meskipun dunia cyber dua tiga minggu ini termasuk media perdana begitu aktif bercakap tentang calon itu dan calon ini di samping terdapatnya seorang penulis yang dijemput khas oleh TV bagi membicarakan tentang pemilihan kali ini, usah diharap Pas akan berpecah bahkan berkocak sedikit pun tidak.

Jika perwakilan sudah tekad buat keputusan, kita semua kena terima dan akur. Mungkin segala pandangan dan kritikan oleh semua pihak wajar dijadikan panduan atau peringatan demi kebaikan bersama. Tidak akan berlaku mana-mana pemimpin Pas yang tewas akan menyebabkan penyokong-penyokong mereka keluar parti kerana Pas bukan seperti parti sebelah sana itu. Yang menang tentunya akan memikul amanah yang berat dan yang tewas pula mereka tetap menang selaku yang berani berpencak di pentas demokrasi, tidak juga seperti parti yang di seberang sana itu. Selamat Bermuktamar.

WFAUZDIN NS


Tiada ulasan:

Catat Ulasan