Selasa, 30 Jun 2009

PENYAKIT `TRAUMA' TAKUT DEBAT UMNO BERJANGKIT PADA MCA?

TPM dan Menteri Pendidikan sila haramkan debat di sekolah-sekolah atau Universiti

Oleh: WFAUZDIN NS

OLEH kerana terlalu ramai tokoh-tokoh Umno dan menteri kabinet yang beranggapan debat bukanlah sesuatu yang baik, sia-sia dan membuang masa, suka saya mengesyorkan dan mencabar Menteri Pendidikan agar mengharamkan sebarang bentuk perdebatan di sekolah-sekolah. Pengharaman itu meliputi sebarang pertandingan debat samada di peringkat sekolah menengah mahupun di peringkat universiti termasuk Pertandingan Debat Piala Perdana Menteri yang setiap tahun diadakan itu.

Mungkin, dengan tiadanya sebarang anjuran perdebatan di sekolah-sekolah mahu pun di universiti tahap pendidikan, ilmiah dan kualiti pemikiran anak-anak muda kita akan menjadi lebih baik dan pintar. Kita boleh bentuk minda pelajar-pelajar dengan lebih berkesan mengikut acuan dan kehendak kita. Betapa majunya nanti pelajar-pelajar Malaysia berbanding dengan kemajuan sekolah-sekolah dan universiti di luar negara kerana di sana pelajar-pelajar mereka masih mengamalkan perdebatan bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dan berani. Tetapi, menteri serta pemimpin Umno menganggap debat adalah sesuatu yang sia-sia dan membuang masa, maka perlulah kita turut pendapat menteri-menteri dan pemimpin Umno yang terlebih pintar itu.

Pelajar-pelajar mestilah diasuh agar mengamalkan budaya `burung kakak tua' atau `burung belatuk' agar seiring dengan sikap yang ada pada pemimpin-pemimpin Umno sekarang. Debat bukanlah satu bentuk syarahan ilmiah atau untuk mencari perbezaan mana yang benar dan salah, tetapi debat bak kata Tun Mahathir adalah program hiburan semata-mata. Itulah pandangan tokoh Melayu yang kita puja dan ianya di`angguk'kan pula oleh pemimpin-pemimpin Umno yang lain. Mereka bukan takut untuk berdebat dengan pembangkang, kerana mereka telah membuktikan keberanian mereka berhadapan dengan DS Anwar dalam perdebatan mengenai minyak. Meskipun di dalam perdebatan itu, tokoh Umno amat berani serta bijak mengeluarkan hujah sehingga bercucuran air liur dari mulutnya namun debat tersebut dianggap hiburan oleh Umno. Mungkinkah ada yang terhibur melihat cucuran air liur tersebut atau terhibur dengan lagak lucu seorang Profesor Kangkung orang kuat Biro Tata Negara yang tidak tahu apa-apa tentang gas dan petrol itu? Bagi saya, memang saya terhibur dengan lagak tokoh Umno dalam siri perdebatan tersebut.

Oleh kerana memikirkan jika diadakan debat antara pemimpin kerajaan atau Umno dengan pembangkang, nescaya akan ada pemimpin kerajaan atau tokoh Umno yang berhujah seperti `makan ubi panas' , maka Tun Mahathir menganggap itu sebagai hiburan? Selepas Umno menolak cabaran Pas untuk berdebat soal agama,baru-baru ini seorang Menteri dari MCA pula tidak sanggup berdebat dengan pemimpin utama DAP. Penyakit atau trauma takut debat Umno ini berjangkit pula kepada MCA. Sebelum ini anak Yatim dari Jelebu seorang yang dilihat di kaca TV bercakap umpama loyar (loyar buruk?) dan kadang-kadang seperti sasterawan negara mencabar Zaid Ibrahim berdebat, tetapi apabila Zaid menyahut cabarannya maka anak Yatim ini menjadi `bisu' sampai sekarang. Rupa-rupanya baru kita tahu hebatnya tokoh yang telah `membakar jambatan' ini hanyalah di depan TV sahaja.

Kita jangan pelik dan hairan jika kita lihat level pendidikan universiti-universiti di negara kita berada di ranking yang memalukan di dunia malahan di rantau ini. Ini adalah kerana mentaliti yang ada pada pemimpin kerajaan dan tokoh-tokoh politik yang dilanda trauma debat ini banyak mempengaruhi mereka. Tidak hairan kita apabila suara mahasiswa sekarang tidak lagi sama seperti suara mahasiswa di era 60 dan 70 an dahulu. Mereka kini telah diperkenalkan dengan budaya `burung kakak tua dan burung belatuk'. Apabila mereka menjadi pemimpin, itulah budaya yang mereka akan amalkan.

Sekali lagi kita mencabar agar Menteri Pendidikan atau kabinet mengeluarkan arahan agar mengharamkan segala bentuk perdebatan kerana ianya tidak dapat membantu pelajar untuk menjadi `burung belatuk'. / wfauzdin.blogspot.com

2 ulasan:

  1. Bhai...

    Gua setuju dengan saranan lu nih..

    BalasPadam
  2. Bukan takut tak berani saja..!! lagi pun stadium dah runtuh!! nanti debat ranap terus..kah-kah-kah.

    BalasPadam