Khamis, 9 Julai 2009

PELIK, MUHYIDDIN CABAR PAS TAPI TAKUT DEBAT

Oleh: WFAUZDIN NS

SAHIHNYA Umno memang takut untuk berdebat dengan Pas terutamanya dalam soal agama. Pemimpin-pemimpin Umno hanya berani berhujah di depan wartawan depan kamera TV atau bercakap dengan pemberita untuk disiarkan di dalam akhbar. Di dalam kempen di Manek Urai sekarang, TPM mencabar Pas untuk membuktikan apa yang Pas buat untuk laksanakan Islam. Di mana beliau mengeluarkan cabaran itu? Di atas pentas ceramah yang di depannya hanyalah puak-puak mereka yang hadir. Apa yang Muhyiddin perkatakan, kita boleh baca di sini.

Beliau menyebut tentang Bank Islam, Universiti Islam dan macam-macam lagi untuk membuktikan betapa Islamnya Umno. Muhyiddin berkata, beliau juga anak guru agama tapi tidaklah menunjuk sangat seperti pemimpin-pemimpin Pas. Baru saya tahu bahawa TPM kita ini rupanya anak seorang Guru Agama. Maknanya TPM kita ini alim jugalah orangnya dan faham sangat pasal hukum hakam agama sebenarnya, cuma mungkin beliau malas hendak menunjukkan keilmuannya itu. Patutlah beliau tahu benar bahawa Umno bukan parti yang sesat atau menentang Islam. Umno sokong Akta ISA agaknya pada beliau menepati suruhan agama.

Apa yang saya pelik, di dalam ketakutan yang amat sangat untuk berdebat dengan Pas, TPM ini berani mencabar Pas tetapi di luar gelanggang. Apabila Pas bersetuju untuk membuka gelanggang, mereka mencari berbagai alasan pula untuk tidak mahu berdepan. Jika benar Umno yakin bahawa parti mereka itu lebih Islamik dari Pas, apa yang perlu ditakutkan untuk berdebat? Kemukakan lah hujah dengan cerita Universiti Islam ke atau Bank Islam ke atau cerita premis-premis judi yang diberi lesen untuk tidak menjadi tempat perjudian yang `haram' bagi membuktikan betapa Islamiknya Umno? Mengapa mencabar bayang-bayang?

Kalau sekadar menjadi anak Guru Agama, di dalam Manek Urai sendiri pun melambak anak-anak Guru Agama bahkan anak-anak Tok Guru lagi. Jika sudah tersesat, tidak kira kita ini anak siapa. Bukankah isteri serta anak Nabi Noh AS juga sesat? Begitu juga kisah isteri Nabi Allah Luth . Apa sangat dengan anak seorang guru agama apatah lagi Guru Agama kuat Umno pulak tu. Jika guru agama itu sendiri pun menyokong parti yang tidak mahu laksanakan Islam, apa nak dihairankan dengan anaknya? Sedarlah bahawa Iman itu tidak boleh diwarisi.

Jika soal Universiti Islam atau Bank Islam hendak dijadikan hujah,banyak negara lain yang mengamalkan sistem sekular pun mempunyai institusi seperti itu. Wujudnya Universiti Islam dan perbankan Islam serta beberapa pendekatan Islam di dalam pentadbiran kerajaan adalah bermula di era DS Anwar di dalam kerajaan. Beliau lah orangnya yang begitu komited ingin `mengislamisasi'kan Umno dan kerajaan. Malangnya, oleh kerana Islam itu tidak `serasi' berada di dalam jasad Umno, maka DS Anwar dipecat dan disingkirkan dari Umno dan kerajaan. Lihatlah, sesiapa sahaja yang ingin menonjolkan Islam di dalam Umno tidak akan ke mana. Selepas sahaja pemecatan DS Anwar dari Umno dan kerajaan, siapakah tokoh Islam di dalam Umno sekarang? Najib? Muhyiddin atau Hishamuddin? Masakan KJ atau Ali Rustam pula?

Oleh itu, penduduk-penduduk Manek Urai harus mengenali perbezaan Umno dan Pas. Kulit mungkin serupa walaupun ada yang kata kulit pun berbeza di antara calon Umno dan Pas di Manek Urai, tetapi bagi saya kulit tidak penting. Apa yang penting adalah dasar parti yang ingin dibawa oleh setiap calon. Umno dasarnya adalah kebangsaan, manakala Pas pula dasarnya Islam. Maka pilih sajalah yang baik. Bukan sukar untuk membezakan di antara `gulai kucing dengan gulai arnab', walaupun seakan-akan sama rupanya. /wfauzdin.blogspot.com

1 ulasan:

  1. Salam.......
    yang akhir tu aku suka...'bukan sukar untuk membezakan di antara `gulai kucing dengan gulai arnab', walaupun seakan-akan sama rupanya.'
    Aku tambah sikit...
    Sukar juga nak bezakan gulai ayam yg disembelih dengan gulai ayam yg tak disembelih??
    Kerana UMNgOk selalu hidangkan gulai ayam yg tak di sembelih kepada rakyat...Mana gaya tu?.....kah kah kah .....

    BalasPadam