Jumaat, 3 Julai 2009

TAHNIAH PR SELANGOR, HARAP KEDAH DAN PP STABIL

Pakatan Rakyat Selangor terus harmoni

Saya setuju dengan kenyataan Dato’MB Selangor bahawa jangan ada mana-mana pihak menangguk di air keruh dengan cuba mengaitkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor yang harmonis hubungannya dengan keadaan di Kedah.

Kita kesal dengan apa yang berlaku di Kedah hasil dari tindakan ADUN tunggal DAP itu yang mengeruhkan hubungan baik dalam PR di sana. Namun kita mahu beritahu semua bahawa hubungan PR di Selangor ini adalah kukuh dan tak perlulah orang seperti Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan bahawa masalah hubungan dalam PR ini wujud dimana-mana termasuklah di Selangor.

Di Selangor kedudukan Pakatan Rakyat begitu unik dimana masing-masing saling perlu-memerlu antara satu sama lain. Kedudukan kerusi yang menyokong kekuatan kerajaan PR Selangor adalah PKR 15 DAP 13 dan PAS 8 manakala BN 20. Ini bermakna jika mana-mana komponan PR memilih untuk keluar Pakatan sebagaimana DAP Kedah itu bermakna kerajaan dokongan rakyat ini akan runtuh!

Kerana itu masing-masing komponan PR di Selangor begitu teliti dan berhemah dalam berpolitikkhasnya dalam memelihara hubungan sesama PR. Majlis Pakatan Rakyat di Selangor begitu aktif dan bermesyuarat hampir dua kali sebulan. Begitu juga peringkat Parlimen juga telah wujud majlis seumpama ini menunjukkan betapa seriusnya masing-masing komponan PR di Selangor.

Bagaimana dengan perbezaan pandangan?

Memang banyak dan kadang-kala memang tegang tetapi ianya ditangani dengan semangat kasih sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain. Setiap rakan komponan perlu sedar bahawa mereka meniti jambatan yang sangat mencabar, kiranya ia boleh dilakukan dengan cermat, dengan mengambil kira kepentingan rakyat dan negeri dan mengenepikan senitmen dan kepentingan parti masing-masing semata-mata, kerja meniti jambatan itu akan menjadi semakin mudah dan lancar.

Kerajaan PR mesti memandu rakyat ke arah kestabilan dan kesejahteraan bersama. Sensitiviti masyarakat, adat resam dan budaya perlu dipelihara. Negeri ini negeri bertuah dengan Raja yang bersemayam di atas takhta penuh dengan adapt –istiadat budaya Melayu yang kaya-raya itu serta Islam sebagai agama rasmi, disamping kehadiran masyarakat yang berbilang kaum dan agama.

Biar kita terus memerintah negeri ini tanpa perlu mencetuskan kebimbangan dan ketidakpuasan masyarakat di dalamnya. Status quo yang ada, dikekal dengan perubahan dan pembaikian ke arah yang lebih cemerlang sehingga rakyat tidak mahu ubah-ubah lagi.

Benar kata Tan Sri Khalid bahawa PR Selangor kini berada dalam situasi harmoni, kerana sehingga kini kita masih kekal menghormati antara satu sama lain dan menghormati semua institusi, budaya, kepercayaan dan fahaman yang ada. Biarlah ia kekal begitu.
0 comments

Tiada ulasan:

Catat Ulasan