Selasa, 28 Julai 2009

TRAK FRU HADIR CERAMAH DI GUA PERAHU

Tiga trak FRU halang ceramah ISA di Gua Perahu
Ceramah Mansuhkan ISA yang dijadualkan diadakan di Padang Awam, Taman Guar Perahu, Penanti, baru-baru ini telah dicemari dengan kehadiran tiga trak berwarna merah siap dengan anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) bagi menghalang ceramah yang telah diatur.

Segala persiapan yang telah diatur oleh Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang berjalan seperti yang direncanakan.

Namun begitu setelah sampai waktu untuk memulakan ceramah yang akan disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu serta Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng maka pihak polis telah memulakan operasi mereka dengan membariskan anggota FRU siap dengan belantan bagi menghalang ceramah diteruskan.

Suasana hiruk-pikuk apabila tindakan pihak FRU itu menimbulkan perasaan tidak puas hati dikalangan penduduk tempatan dan orang ramai yang telah membanjiri padang tersebut untuk mendengar ceramah sepertimana yang dijadualkan.

Walaupun cuba dibincangkan oleh Ketua Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang, Yusni Mat Piah bersama dengan barisan kepimpinan PAS dengan pihak polis, polis tetap tidak membenarkan ceramah diadakan di situ.

Namun begitu ceramah dipindahkan ke kediaman salah seorang penyokong Pakatan Rakyat di kawasan perumahan yang sama tanpa kehadiran FRU.

Dalam ceramah beliau, Mohamad Sabu menegaskan bahawa tindakan pihak polis itu tidak mencerminkan sikap One Malaysia yang dilaung-laungkan oleh kepimpinan negara.

"Bentuk demokrasi bagaimana yang mereka amalkan sehingga menjadikan ceramah oleh Pakatan Rakyat dengan mudah dihalang dan disekat walaupun rakyat begitu ramai mahukan demokrasi diamalkan dengan cara telus.

"Ini melambangkan bahawa kepimpinan Barisan Nasional dalam negara ini tidak harus dibiarkan terus menguasai negara.

"Selagi mereka berkuasa maka akta zalim seperti ISA yang mereka amalkan selama ini akan disalahgunakan untuk memenuhi aspirasi politik parti mereka.

"Takut dengan kebangkitan rakyat maka Barisan Nasional akan terus menjadikan ISA sebagai senjata mereka untuk menyekat kemaraan Pakatan Rakyat dipersada politik negara," katanya./Utara Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan