Sabtu, 9 Mei 2009

PEMBEBASAN TAHANAN ISA - PERLUKAH BERTERIMA KASIH?


Benarkah janji kerajaan untuk membebaskan 13 orang lagi tahanan Akta ISA membuktikan kerajaan kini telah berlaku adil? Sebagai manusia yang mementingkan budi bahasa,seharusnya kita mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang telah membuat janji tersebut. Lebih-lebih lagi berbanyak terima kasih kepada Adun Kota Alam Shah YB Manoharan yang telah `batuk' sedikit sahaja, maka besar kesannya dan teman-teman beliau seramai 12 orang pun bakal bebas tidak lama lagi.

PM berkata tiada kena mengena pembebasan tahanan Akta ISA itu dengan `gertakan' YB Manoharan untuk meletakkan jawatan sebagai Adun Kota Alam Shah. Kita hormatilah pandangan PM baru kita itu dan kita juga mungkin mempunyai pandangan yang lain bahawa YB Manoharan telah pun melakukan sesuatu yang bijak. Sebelum ini Menteri Dalam Negeri Dato' Hishamudin dengan egonya berkata beliau bukan orangnya yang akan menurut atau takut kepada ugutan YB Manoharan untuk meletakkan jawatan selaku Adun bagi membolehkan Pilihanraya Kecil di Dun Kota Alam Shah. Kita juga kena hormati kata-kata beliau, tetapi bukan semua rakyat dungu belaka. Jika kita berada di tempat PM atau Menteri Dalam Negeri, mungkin kita akan buat begitu juga kerana tiada pilihan lain. Atas apa jua alasan pembebasan terhadap 13 orang tahanan Akta ISA ini, hakikatnya adalah ini adalah kesan daripada tekanan yang diberikan oleh PR terhadap kerajaan Bn sekarang. Termasuk juga kempen yang berterusan oleh GMI dan beberapa NGO's yang lain. Ini merupakan satu hadiah istimewa PR buat rakyat keseluruhannya. Usaha ini tidak terhenti setakat ini, PR harus lebih berusaha agar tiada lagi makhluk yang bernama manusia di`pelihara' dalam penjara tanpa dapat membela diri.

Perlukah berterima kasih kepada kerajaan? Jawapannya perlu kerana kita ada budi bahasa. Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu telah mencuri motosikal kita kemudiannya dia memulangkan kembali tetapi hanya tayar sahaja, kita wajar berterima kasih kerana berbudi bahasa tetapi kita tuntut agar motosikal kita dikembalikan bukan tayar semata-mata. Meskipun motosikal kita masih di dalam miliknya, kita berterima kasih kerana memulangkan sebahagian daripada milik kita. Namun, Jika kita tidak berterima kasih pun tidak menjadi salah kerana sememangnya itu motosikal kita yang dicurinya. Dia hanya memulangkan barang yang dicuri bukannya meminjam. Dia yang sepatutnya berterima kasih kepada kita kerana kita tidak membuat laporan atau mendakwanya atas kesalahan yang dia lakukan.

Akta ISA sememangnya satu akta yang kita anggap salah dalam aspek hak asasi manusia, lebih-lebih lagi dalam perundangan Islam. Sehubungan itu, kerja yang dilakukan terhadap benda yang salah selagi tidak dihapuskan kesemuanya, perlukah kita berterima kasih lebih-lebih lagi menyanjung tinggi melangit? Usaha GMI untuk berdebat dengan PEWARIS memang wajar kerana GMI merasakan perjuangannya selama ini betul. PEWARIS pula seperti `malu-malu kucing' untuk menyahut cabaran GMI. Mengapa perlu demikian jika PEWARIS merasakan Akta ISA itu bertepatan dengan Islam atau pun berjuang mempertahankannya adalah `Jihad' dalam Islam ?

Sekali lagi terima kasih buat PM yang `memulangkan' sedikit tahanan yang `diambil'nya dan kita menyeru agar pulangkan semuanya ke pangkuan rakyat dan keluarga mereka. Terima kasih juga buat menteri-menteri yang kuat `anggukan' kepalanya bila PM buat keputusan bebaskan tahanan tersebut meskipun sebelum ini bertegang urat mempertahankannya. Alasannya, sudah sampai masanya mereka dibebaskan dan menteri-menteri ini pun angguk ligat tanpa sepatah bantahan seperti sebelum ini. Kita tidak tahu bila pula sampai masa tahanan-tahanan yang lain untuk dibebaskan. Saya percaya suatu hari nanti, bila kerajaan buat keputusan untuk menghapuskan mata pelajaran sains dan metamatik dalam bahasa Inggeris, maka menteri-menteri ini akan angguk lagi dan akan berkata memang sudah sampai masanya.

WFAUZDIN NS
wfauzdin.blogspot.com

Jumaat, 8 Mei 2009

Istana Mahu Bekerjasama Dengan Pakatan Rakyat : Ilham Lim


Thursday, 7 May 2009 •

Anna yusof

IPOH, 7 Mei (SK) : Ahli Dewan Undangan Negeri, Idham Lim berkata pihak istana bersetuju untuk bekerjasama dengan Pakatan Rakyat demi kestabilan politik dan masa depan negeri Perak.

Dalam blog beliau melaporkan berkata semasa mengiringi Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah telah meluahkan hasrat baginda untuk bekerjasama dengan Pakatan Rakyat.

“Saya iringi Tuanku keluar dan Tuanku mengatakan Baginda mahu bekerja dengan Pakatan Rakyat. BN meletakkan orang yang haram jadi Speaker.Sidang hari ini tidak sah.

“Pada hakikat ada persidangan, kerana perintah awal tidak diikuti maka kami menghormati perintah Speaker.
Bagaimana hak Speaker tidak dipatuhi dan dirampas. Dun Perak telah dilacur dengan begitu dasyat dengan kerja yang keji dengan menggunakan orang luar.

“Kami menghormati Raja Muda dan saya dititah oleh Tuanku mahu bekerja dengan Pakatan Rakyat, apa yang BN buat usul dalam dewan semua itu tidak laku dan sah kerana telah ditolak sejak semalam lagi.

“Apa yang dibuat oleh BN iaitu menidakkan Speaker telah menghina dewan cukup mengaibkan. Kemasukan orang luar satu tindakan yang tidak bertamadun. Kita mahu Dun Perak dibubarkan, kerana kerajaan sekarang tidak sah,” kata Idham dalam blognya. ~~ Sumber Suara Keadilan.

`PERAK' BAKAL BERTUKAR MENJADI BESI BURUK?


Sedih, memalukan dan bercampor geram apabila menyaksikan tagedi yang menimpa di Dun Perak hari ini (07 Mei 2009). Semua peraturan dan undang di`lanyak' serta dihina sehina-hinanya oleh mereka yang memegang jawatan penggubal undang-undang Negeri Perak. Rakyat diminta mematuhi undang-undang tetapi contoh yang diberikan oleh sebilangan besar Adun-Adun di Perak menunjukkan sebaliknya. Apalah malangnya Negeri Perak `petaka' yang menimpa tidak putus-putus selepas Pilihanraya Umum Ke 12 yang lalu.

Meskipun pada mulanya kita rasakan ada yang mengerti dan memahami isi hati rakyat Perak apabila keputusan Pilihanraya Kecil Parlimen Bukit Gantang diumumkan. `Mohon Restu' yang popular sewaktu kempen di Bukit Gantang sepantas kilat ditolak oleh rakyat Bukit Gantang sewajarnya sudah cukup memberi isyarat bahawa `Restu Baru dan Mandat Baru' perlu diberikan kepada rakyat. Malang sekali, jika pemimpin tidak lagi `bertelinga dua' bahkan `lidah bercabang dua'. Sifat malu seharusnya ada pada makhluk yang bernama manusia walaupun secebis. Sampai bila kita boleh tersenyum dan tersengeh di khalayak ramai sambil `memakai topeng' mendakwa kita mendapat kepercayaan rakyat? `Topeng' yang dipakai tidak mampu menghilangkan jijik mata memandang dan tidak boleh membersihkan maruah diri yang tercemar.

Peristiwa sedih yang berlaku di Dun Perak hari ini tidak menguntungkan sesiapa dan tidak juga merugikan sesiapa di kalangan Adun-Adun yang menghadirinya. Mungkin, kerugian masa buat DYMM Raja Muda Perak yang terpaksa menunggu `budak-budak dewan' bergaduh terlebih dahulu sebelum Raja Muda Perak masuk merasmikan sidang. Yang paling rugi dan menjadi mangsa adalah rakyat Perak yang terus menerus berada dalam negeri yang terumbang ambing. Mereka yang menjadi punca kepada semua ini terus hidup dengan imbuhan gaji dan elaun masing-masing. Apakah yang berlaku selepas ini ? Yang mungkin pasti, negeri yang bernama `Perak' ini sukar lagi untuk bercahaya seperti `emas mutiara'. Mungkinkah `Perak' akan terus pudar dan bertukar menjadi `besi' yang buruk?


WFAUZDIN NS
Wfauzdin.blogspot.com

Khamis, 7 Mei 2009

TERKINI DI PERAK JAM 4.05 PM

4.05pm Naib Presiden PAS Mohamad Sabu - yang ditahan semalam di Kuala Lumpur - dibebaskan jam 3.30 petang di Tanjung Malim, Perak.

4pm Pemimpin PKR Tian Chua ditahan polis di belakang bangunan sekretariat kerajaan Perak sewaktu cuba menyambut kehadiran wakil-wakil rakyat Pakatan yang akan keluar dewan selepas perasmian sebentar tadi.

3.47pm Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah menamatkan titah ucapan baginda dalam perasmian pembukaan sidang dewan setelah menyampaikan ucapan kira-kira setengah jam.

Baginda menyentuh pakej rangsangan ekonomi tetapi tidak mengulas isu-isu politik.

~~Sumber Malaysiakini

TERKINI- RAJA MUDA PERAK BERSALAM DENGAN SEMUA ADUN PR


Setelah menghabiskan titah ucapan perasmian diraja, Raja Muda Nazrin bercakap dengan menggunakan pembesar suara dan katanya "beta hendak bersalam dengan semua ADUN".

Tuanku Raja Muda mendahului bersalam dengan ADUN PR didahului oleh DS. Nizar. sesudah itu bersalam dengan ADUN PR yang lain dan diikuti oleh ADUN BN.

Raja Muda perak sesudah itu meninggalkan Maajlis, dengan diiringi oleh DS. Nizar yang difahamkan Dato Ngeh dipanggil mengadap di Kamar Raja.

SIVA HERO - NASIB SEORANG SPEAKER DI PERAK


Beginilah keadaan Speaker Sivakumar di Dun Perak sebentar tadi. Mampukah kita hanya melihat ini semua? Hanya Raja Muda Perak kita merayu....

TERKINI - IR NIZAR MENGADU KEPADA RAJA MUDA DI DALAM DEWAN


Semasa Raja Muda Perak, Raja Nazrin masuk ke dewan ahli-ahli yang Berhormat Pakatan berdiri dan Datuk Seri Nizar melaporkan kepada Raja Nazrin bahawa Speaker Sivakumar telah dibawa keluar dengan paksa.

Lalu Raja Nazrin memanggil Dato' Ngeh dan DS. Nizar untuk naik mengadap dan menyatakan sesuatu kepada Kedua mereka.

Apabila turun DS. Nizar memohon kami untuk duduk di kerusi masing-masing untuk menghormati kehadiran Tuanku Raja Muda.

Sebelum Sidang bermula sekali DS. Nizar merafak sembah meminta semua pasukan pengawal yang beruniform dan tidak untuk keluar dari dewan. Lalu diisyaratkan oleh Raja Nazrin untuk keluar.

Sekarang ini Raja Nazrin sedang memberikaan ucapan perasmian.

TERKINI DUN PERAK - RAJA NAZRIN MASUK DEWAN

3.15pm Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah masuk ke dewan untuk majlis pembukaan persidangan DUN.

3.12pm V Sivakumar dibawa oleh kumpulan polis dari dalam dewan ke satu tempat yang tidak didedahkan. Hanya isteri beliau dibenarkan berjumpa ADUN DAP itu.

3.10pm R Ganesan, speaker baru lantikan BN, memulakan persidangan dewan dengan meminta seorang pegawai DUN membacakan doa.

Beliau juga mengarah keluar dua ADUN Pakatan - Chan Ming Kai (PKR-Simpang Pulai) dan Chang Lih Kang (PKR-Teja) - tetapi mereka enggan.

Speaker itu kemudian menangguhkan dewan bagi menunggu keberangkatan tiba Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah.

2.55pm Kumpulan "pegawai" mengelilingi tempat duduk Speaker - kini diambil alih oleh R Ganesan - untuk mengawal keadaan.

2.41pm Sekumpulan lelaki berjaket, dengan tag nama "pegawai", yang dilaporkan anggota polis mengheret V Sivakumar dan memaksanya keluar dewan.

~~ Sumber Malaysiakini

DUN PERAK - APA NAK JADI LEPAS INI ?

TERKINI DARI PERAK - Sejarah baru dilakar lagi dengan tindakan pihak keselamatan menceroboh masuk dan membantu BN untuk merampas kerusi speaker.

Speaker Haran, Ganesan mengendalikan sidang dengan meja speaker di kawal ketat oleh pasukan yang berpakaian kemas yang tidak dikenali siapa mereka.

~~Sumber

BERTAMBAH HANGAT, MOHON RAJA MUDA GUNA BUDI BICARA

TERKINI - SPEAKER Sivakumar ditarik secara paksa oleh Polis keluar dewan. Beberapa Adun PR dibelasah oleh petugas dalam dewan. Dun jadi porak poranda.
~~Sumber NEWS ADIL 32300

Anggota DUN BN-Pakatan bergelut, polis masuk Dewan

TERKINI - IPOH: Kekecohan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berterusan selepas sidang bersambung semula sebentar tadi apabila anggota DUN Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) bergelut sesama mereka.

Kekecohan yang timbul itu memaksa pihak polis masuk ke dalam Dewan untuk mententeramkan keadaan.

Sementara itu, Raja Muda Perak Raja Nazrin masih berada di bangunan SUK untuk merasmikan sidang. ~~ Sumber http://mstar.com.my

POLIS MULA MASUK DEWAN DI PERAK ?

TERKINI - Polis dilaporkan telah mula memasuki Dewan , mengundang spekulasi apakah akan ada tangkapan . Sidang belum lagi disambung. ~~ Sumber News ADIL 32300.

TERKINI - RAJA MUDA MASIH MENUNGGU DI DUN PERAK

Terkini|Berikut adalah laporan secara langsung yang dibawa oleh Adun Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim di dalam sidang Dewan Undangan Negeri Perak. Sila 'refresh' untuk laporan terkini.

2.05 petang: Sidang yang ditangguhkan sejak sejam yang lepas akan dimulakan bila-bila masa. Jangkaan seterusnya amat sukar untuk dipastikan setakat ini.

Menurut maklumat yang saya terima Raja Muda Perak masih berada di kamar Diraja untuk menerima isyarat bagi merasmikan sidang pada hari ini.

Kekecohan mengenai status 3 katak dan 7 ADUN yang digantung mewarnai perjalanan DUN Perak pada hari ini. ~~Sumber Harakahdaily

WANG DICARIK DALAM DUN PERAK?

12.45pm Thomas Su, ADUN Pasir Pinji, mengunjukkan sekeping wang RM50 ke arah timbalan Speaker, Hee Yit Foong, sambil menjerit "pergi mampus" dalam dialek Kantonis.

ADUN Aulong, Yew Tian Hoe pula kemudian membaling dua keping wang kertas RM1 ke arah Hee, yang juga ADUN Jelapang.

Bekas ADUN DAP itu, kini wakil rakyat bebas, mengambil wang itu dan mencarik-carikkannya.

Wakil-wakil rakyat BN merakamkan gelagat dua ADUN DAP itu dengan video telefon mereka, sementara tindakan serupa dibuat oleh ADUN Pakatan.~~ Sumber Malaysiakini

DOA MB PERAK


YA ALLAH, BERILAH KEPADA KAMI KEKUATAN UNTUK MENEGAKKAN KEADILAN DAN HAK DI BUMI PERAK INI, DAN TUNJUKKAN KEPADA KAMI JALAN KEBENARAN.... - YAB IR NIZAR (MB PERAK)

BUKAN BOLA JE, SPEAKER PUN IMPORT BEB !!


Speaker haram sekali lagi gagal untuk mengendalikan sidang dengan jawatannya yang disandangnya secara tidak sah apabila diganggu oleh semua ADUN PR dengan laungan "Ular" sehingga menenggelamkan suara Ganesan walaupun menggunakan pembesar suara yang cuma dibuka untuk kerusi ADUN yang dipinjamnya.

Inilah tindakan sabotaj yang tidak bertanggungjawab sedangkan Speaker yang sah sejak tadi pembesar suaranya tidak berfungsi.

Kerana gangguan itu menyebabkan beliau menangguhkan lagi sidang selama satu jam.


SPEAKER HALAU `SPEAKER' - REKOD LAGI DI PERAK


Speaker sivakumar disabotaj kerana sejak tadi pembesar suaranya ditutup oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Selain itu dia berulang kali menghalau keluar tanpa pembesar suara, supaya Ganesan keluar dari dewan.

TEMPAT DUDUK DUN PERAK BERUBAH?


Kami masuk ke Dewan dan mendapati tempat duduk telah berubah, kami mencabut semua tanda nama dan juga diikuti dengan ADUN BN yang tidak membantah.

Kedudukan kami sekarang sama seperti kedudukan semasa PR memerintah Perak.

PERBICARAAN KES MB PERAK TANGGUH


Kemelut yang berlaku di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak berakhir juga pada hari ini seperti yang diharapkan oleh BN bila ditangguhkan lagi perbicaraannya esok. Demikian maklumat yang saya terima dari Dato' Ngeh Khoo Ham sebentar tadi.

DOA DAN MUNAJAT PAGI 07 MEI 2009


YA ALLAH, KEPADAMU KU BERMOHON. SELAMATKAN LAH BUMI PERAK INI DARI TANGAN-TANGAN MEREKA YANG MUNAFIK. KEMBALIKAN LAH BUMI PERAK INI KEPADA YANG HAK DAN PEMERINTAH YANG ADIL.

Rabu, 6 Mei 2009

MENGAPA KAWAN DAN LAWAN MULA MENYERANG DS ANWAR?


Bukan niat dan tujuan saya untuk menulis di dalam blog ini semata-mata untuk mengangkat imej DS Anwar seolah-olah beliau terlalu maksum dan bersih umpama `Nabi'. Saya tiada kepentingan apa-apa, malahan DS Anwar tidak pernah mengenali saya hatta bersentuh tangan sekalipun. Tetapi, saya merasa amat janggal jika tidak menulis atau mengulas tentang tokoh reformasi tersebut kerana sejak kebelakangan ini nama beliau sering diburukkan serta dikaitkan dengan isu yang sama sekali di luar peranan beliau selaku Ketua Pembangkang atau Ketua PR. Amat malang sekali, sejak akhir-akhir ini yang kerap memburukkan imej DS Anwar adalah rakan-rakan di dalam PR sendiri yang mereka itu hanya sekadar pimpinan kawasan atau bahagian yang kononnya bersuara untuk akar umbi.

Kesangsian mula timbul, mengapa ketika disaat PR sedang mempersiapkan peralatan `perang' untuk bertempur dengan musuh di Dun Penanti dan ketika PAS kini sedang rancak di dalam kempen pemilihan pucuk pimpinan di semua peringkat, isu berkaitan DS Anwar rancak dipermainkan? Namun begitu, saya bersyukur kerana agenda memburukkan nama DS Anwar di dalam PR tidak dipedulikan oleh kepimpinan utama PR yang lain terutamanya PAS. Betapa pemimpin-pemimpin utama PR ini begitu bijak memikirkan rentak politik jangka panjang yang bakal mereka lalui bersama. Apakah agenda memburukkan DS Anwar sejak kebelakangan ini ada kemungkinannya dengan agenda pihak luar yang ingin memecah belahkan PR atau sengaja diada-adakan untuk mendapatkan nama pada segelintir yang bercakap tentang isu ini?

Saya terkilan dengan satu suara yang dikatakan dari pemimpin yang mengaku mewakili ahli PAS sepertimana yang dipetik oleh Malaysiakini. Jika benar seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini (06 Mei 2009) itu, suara tersebut benar-benar sumbang dan membawa kepada keyakinan saya bahawa mereka telah diresapi oleh `badi' Umno atau mungkin masih terdapat pada diri mereka `saka' Umno. Di dalam kenyataannya, DS Anwar dianggap berlagak seperti berkuasa penuh ke atas PR sehinggakan DS Anwar akan berbuat sesuka hatinya tanpa berunding dengan pimpinan PR yang lain. Contoh yang diberikan oleh mereka adalah berkenaan perletakan jawatan Adun Penanti baru-baru ini. DS Anwar dikatakan tidak berunding tentang perkara tersebut bersama pimpinan PR yang lain. Maka, hujahnya DS Anwar berlagak seperti berkuasa penuh ke atas PR.

Isu Adun Penanti, Fairus sebenarnya telah lama diketahui masyarakat di Dun Penanti. Malahan YAB KM Menteri P.Pinang pun turut mengetahui masalah yang dihadapi oleh bekas TKM 1 P.Pinang ketika itu. Memandangkan Fairus adalah ahli PKR, maka wajar bagi pimpinan PKR menangani masalah tersebut secara dalaman. Pimpinan PKR sudah tentu tidak terlalu gopoh untuk mengistiharkan perletakan jawatan Fairus selagi permasalahan dan kata sepakat dapat dicapai di dalam pimpinan PKR. Akhirnya, keputusan yang diambil oleh pimpinan PR adalah wajar kerusi Dun Penanti dikosongkan agar tiada lagi isu atau permasalahan yang berbangkit selepas ini. Sebenarnya, Fairus sejak awal lagi telah menyuarakan untuk meletakkan jawatan tetapi pimpinan PKR memberi ruang kepada beliau berbincang terlebih dahulu sebelum keputusan muktamad diambil.

Saya tidak faham mengapa dikatakan DS Anwar bersikap sendirian di dalam menangani masalah Fairus ini. Apakah langkah DS Anwar ini bakal menggugat PR di P.Pinang khususnya atau bakal menguatkan lagi PR di P.Pinang? Lupakah kita suatu kisah di Selangor selepas beberapa hari PR menguasai Dun Selangor di dalam Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu? Apakah kejadian `perjumpaan sulit' beberapa pimpinan PAS dengan PM dan bekas MB ketika itu dimaklumkan terlebih dahulu dengan pimpinan PR yang lain? Seingat saya, DS Anwar tidak mengulas sedikit pun tentang isu perjumpaan sulit tersebut. Apakah kejadian ini boleh dipandang ringan daripada isu perletakan Fairus selaku Adun di P.Pinang? Bukan tujuan saya untuk membuat perbandingan sebegini, tetapi sekurang-kurangnya kita boleh berfikir yang mana satukah yang boleh menghancurkan kerjasama sesama PR. Sikap mencari kesalahan pihak lain demi untuk menunjukkan kita semua betul patut dihapuskan sama sekali. Apa yang penting segala tindakan yang dibuat, akhirnya mendapat manafaat bersama.

Sekali lagi saya menyeru agar jangan kita mencari sesuatu isu yang boleh dijadikan peluru oleh musuh kita untuk menembak kita. Saya percaya dan berharap agar ianya benar, bahawa segala tuduhan yang menyatakan DS Anwar berlagak seperti berkuasa penuh seperti yang dilaporkan itu bukan datang dari pimpinan PAS atau DAP tetapi ianya datang dari `hantu-hantu' yang kini mula berkeliaran di Dun Penanti. Apakah itu sebagai pertanda awal bahawa Umno bakal menghulurkan `keris'nya di Dun Penanti?


WFAUZDIN NS
wfauzdin.blogspot.com

Selasa, 5 Mei 2009

TPM YANG BERHUJAH SEPERTI KETUA PEMUDA UMNO CAWANGAN


Justify FullAmat malang sekali Negara kita mempunyai seorang TPM yang tidak mampu berhujah dengan baik dan meyakinkan apabila memberi ulasan terhadap sesuatu isu. TPM yang baru Tan Sri Muhyiddin Yassin sememangnya sejak dari dahulu sering dipertikaikan hujahnya yang longgar dan kadangkala begitu rendah kualitinya apabila mengulas sesuatu isu khususnya berkaitan politik. Tetapi memandangkan tiada lagi yang mungkin lebih berkualiti dari beliau, maka Umno telah memilih beliau untuk berada di kerusi no 2 dalam parti dan kerajaan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin di dalam akhbar Sinar Harian bertarikh 05 Mei 2009, mengulas tentang hasrat Adun Kota Alam Shah, M. Manoharan yang dikatakan mahu meletakkan jawatan selaku Adun kerana kecewa gagal untuk memberikan khidmatnya selaku Adun Kota Alam Shah akibat beliau masih ditahan di bawah Akta zalim ISA. Saya terasa ingin mengulas hujah-hujah dangkal TPM yang bagi saya kualitinya seperti hujah Ketua Pemuda Umno Cawangan yang tidak mengerti apa-apa tentang politik.

Ulasan beliau seperti yang dilaporkan dalam akhbar tersebut, “Wakil Rakyat masih hidup, tidak bankrap dan tidak menyalahi undang-undang untuk memegang jawatannya, (tetapi) hendak berhenti begitu sahaja”.- (Sinar Harian). Ulasan saya, Memang benar Adun tersebut masih hidup tetapi hidupnya beliau tidak ubah seperti orang mati yang tidak dapat membuat apa-apa. Usahkan untuk membela rakyat, untuk membantu dan bersama keluarganya sendiri pun beliau tidak mampu. Bahkan, isterinya pula yang bersusah payah melaksanakan dua tugas untuk membela keluarga dan berkhidmat kepada rakyat di kawasan Dun Kota Alam Shah. Memang benar, Adun tersebut tidak bankrap dan beliau bersih dari hutang. Bagaimana pula kisah seorang Adun dari Umno di Kedah yang disahkan bankrap itu? Mahukah Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan beliau mengosongkan kerusinya jika itu difikirkan wajar untuk seseorang Adun melepaskan jawatannya? Muhyuddin juga mengakui bahawa M.Manoharan tidak menyalahi undang-undang untuk memegang jawatannya. Ini bermakna M.Manoharan bukan penjenayah atau pengganas atau pesalah, ini adalah kerana mana mungkin penjenayah, pengganas atau pesalah boleh dilantik sebagai Wakil Rakyat? Oleh yang demikian, mengapa beliau ditahan di bawah Akta ISA?

“Saya tak tahu kenapa Parti KeAdilan Rakyat (PKR) yang kata bersikap adil kepada rakyat tapi ini (PR) tidak berlaku adil kepada rakyat, mana (wakil rakyat) yang sudah terpilih patut menjalankan tugas dengan baik”. – (Sinar Harian). Mungkin Muhyiddin Yassin terlupa bahawa M.Manoharan masih merengkok dalam tahanan ISA. Lojikkah seseorang yang sedang ditahan dan merengkok dalam `kandang besi’ mampu memberikan khidmat dengan baik? Bukankah kenyataan Muhyiddin Yassin ini merupakan satu sindiran atau untuk mempersendakan Adun berkenaan? Sebenarnya pihak kerajaanlah seharusnya bertanggungjawab sekiranya Adun berkenaan gagal untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasannya.

Kenyataan Muhyiddin Yassin selanjutnya menampakkan kedangkalan beliau. Apabila ditanya hasrat M.Manoharan itu timbul selepas kecewa tidak mampu berkhidmat kepada pengundinya, Muhyiddin berkata “Adun Kota Alam Shah itu tidak wajar menjadi ia sebagai alasan untuk meletakkan jawatan kerana Manoharan masih ada masa sehingga pilihan raya akan datang untuk berkhidmat kepada rakyat”. – (Sinar Harian). Saya ingin bertanya kepada Muhyiddin Yassin, bila pilihan raya itu hendak diadakan? Esok, lusa atau minggu depan? Sekiranya beliau menganggap Manoharan perlu menunggu sehingga Pilihan Raya Umum ke 13 nanti, maka berapa lama lagikah rakyat di kawasannya terbiar dengan Wakil Rakyatnya masih terkurung? Mana slogan `Rakyat Diutamakan?’ yang sering dijerit-jeritkan oleh PM sekarang termasuk beliau sendiri? Memang benar, selama ini segala tugas yang seharusnya dipikul oleh Adun tersebut telah dilaksanakan oleh isteri beliau serta pembantu-pembantunya. Tidakkah ini suatu tindakan yang zalim dan satu penganiayaan kepada isteri beliau? Mengapa orang yang tidak dipilih oleh rakyat menjalankan tugas orang yang sepatutnya menjalankan amanah rakyat tersebut?

Apa pun alasan dan hujah yang diberikan, rakyat tetap menilai bahawa satu kezaliman dan penganiayaan telah dilakukan kepada Adun terbabit dan juga keluarga beliau. Oleh yang demikian, PR tiada pilihan lain melainkan berbincang dengan DAP dan Adun berkenaan agar Manoharan mengosongkan kerusi yang disandangnya agar rakyat di Dun Kota Alam Shah tidak terpinggir akibat mainan politik mereka yang tidak berhati perut ini. Masalahnya, beranikah Umno/Bn menghadapi satu lagi pilihanraya, apatah lagi di Selangor sebuah negeri yang maju dan pengundi-pengundinya yang rata-rata cerdik pandai ini? Jawapannya, sudah pasti tidak.

WFAUZDIN NS
WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM

Ahli PAS jangan buat kacau - Tok guru

04 May 2009 11:07PM KB: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau tidak mahu anggota parti itu membuat kacau dan membelakangi perjanjian dengan sekutunya dalam akatan PAS-DAP-PKR dengan menuntut PAS meletakkan calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata PAS perlu berpegang pada janji yang dibuat dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung pengagihan kerusi pilihan raya yang dibuat sebelum ini.

"Kalau itu kawasan PKR, hak dialah. Kita kena balik kepada perjanjian. Kita orang Islam pentingkan janji, jangan buat kacau, janji mesti sempurna.

"Macam di Kelantan, kita ikut perjanjian. Kita beri (kerusi) kepada PKR, dia nak menang ke, kalah ke, itu dia punya pasallah," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman beliau di Pulau Melaka, dekat sini, hari ini.

Beliau mengulas desakan bekas Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohd Hafiz Mohd Nordin supaya pimpinan parti itu menimbangkan untuk meletak calon PAS bertanding di DUN Penanti, setelah kerusi itu kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin, 32, berkuat kuasa 16 April lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Isnin lepas menetapkan tarikh penamaan calon pada 23 Mei dan sekiranya ada pertandingan, hari pengundian pada 31 Mei.

Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut mengulangi pendirian parti itu untuk menyokong calon PKR, Mansor Othman dan keputusan itu adalah muktamad.

Beliau berkata keputusan itu dibuat berdasarkan beberapa faktor antaranya PKR telah bertanding di kawasan berkenaan pada pilihan raya umum (PRU) tahun lepas dan memenanginya.

Setakat ini, Barisan Nasional (BN) masih belum memutuskan sama ada akan bertanding atau tidak pada pilihan raya kecil DUN Penanti ini. / Bernama

Macam di Kelantan, kita ikut perjanjian. Kita beri (kerusi) kepada PKR, dia nak menang ke, kalah ke, itu dia punya pasallah

TERIMA KASIH PAS, DAP


Pucuk pimpinan PAS hari ini memberikan komitmen untuk menggerakkan jentera parti bagi memastikan kemenangan calon PKR pada Pilihan Raya Kecil N12 Penanti.

Komitmen itu diberikan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada mesyuarat kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat di Kuala Lumpur petang tadi.

“Mutamar telah memutuskan tempat itu adalah tempat mereka (PKR) dan demikian itu tidak perlu dipertikaikan. Kita telah mengarahkan parti di peringkat perhubungan negeri dan kawasan supaya memberi sokongan sepenuhnya kepada calon Pakatan Rakyat,” Abdul Hadi memberitahu sidang akhbar selepas mesyuarat itu.

Turut hadir Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP Lim Kit Siang yang turut memberikan komitmen sama.

Anwar merakamkan penghargaan kepada kedua parti itu.

“Bagi pihak PKR, saya mengucapkan terima kasih kepada Tuan Guru Haji Hadi Awang dan Lim Kit Siang atas kerjasama PAS dan DAP untuk memberi sokongan padu bagi memenangkan calon Pakatan di Penanti,” kata Anwar.

“Saya menghargai arahan mereka kepada jentera parti di Pulau Pinang dan Penanti khususnya untuk membantu PKR,” tambah beliau.

Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang Dr Mansor Othman dinamakan calon Pakatan dalam PRK N12 Penanti pada 31 Mei nanti.

Dr Mansor, 54, memegang tiga ijazah sarjana, termasuk dua dari universiti Yale. Beliau pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Anwar sekitar 1990an, dan menyertai Parti Keadilan Nasional selepas Anwar disingkir dari kerajaan pada 1998.

DUN PENANTI - MURSYIDUL AM SUDAH BERSUARA


Akhirnya Tuan Guru Nik Aziz memberikan buah fikirannya selaku Mursyidul Am PAS agar PAS tidak mengganggu pencalonan calon dari PKR di Dun Penanti. Hasrat untuk meletakkan calon PAS di Dun Penanti disuarakan oleh PAS Permatang Pauh serta diulangi lagi oleh pemimpin muda PAS P.Pinang Ustaz Mujahid. Sebelum ini PAS Pusat telah pun bersetuju dengan persefahaman bersama di dalam PR untuk mengekalkan kerusi Dun tersebut kepada calon dari PKR.

Presiden PAS termasuk juga Pengarah Pilihanraya PAS Mustafa Ali, berulangkali menegaskan bahawa PAS bersetuju dengan calon dari PKR bertanding di kerusi Dun Penanti. Jika sudah Presiden dan Mursyidul Am PAS juga berkata begitu, apakah pemimpin muda PAS Permatang Pauh akan taat? Kalau nasihat atau arahan Presiden dan Mursyidul Am PAS gagal untuk dipatuhi, arahan siapakah lagi yang boleh dipatuhi? Jangan tersalah langkah kerana dikhuatiri `yang dikejar tak dapat, yang dikendung keciciran'.

Isnin, 4 Mei 2009

APA KAITAN DS ANWAR DENGAN HALA TUJU PAS ?

Perdebatan berkenaan kewajaran pucuk pimpinan PAS Pusat dipertandingkan kelihatan semakin hangat diperbahaskan. Kesemua ini adalah kerana timbulnya isu `Kumpulan Erdogan' serta `Kerajaan Perpaduan' yang telah mula dimainkan oleh beberapa pihak di dalam PAS dan diperhangatkan lagi oleh `media-media haprak' yang seringkali bersikap seperti anjing kelaparan. Namun demikian, amat malang sekali beberapa pemimpin di dalam PAS kelihatannya seperti tidak menyedari betapa musuh-musuh mereka sentiasa mencari ruang untuk memusnahkan perpaduan yang ada di dalam PAS sejak sekian lama. Saya sejak awal lagi memberi pendapat bahawa jawatan Presiden PAS tidak wajar dipertandingkan kerana tiadanya keperluan untuk berbuat demikian.

Sekiranya PAS memerlukan beberapa pengisian untuk memantapkan arah tuju perjuangan mereka, adalah lebih wajar beberapa jawatan lain selaku pembantu kepada Presiden seperti Timbalan Presiden dan Naib Presiden dipertandingkan. Sekiranya ahli-ahli PAS berpendapat bahawa kepimpinan yang ada cukup untuk menjadikan PAS lebih kuat dan gagah untuk berhadapan dengan musuh-musuh mereka, maka tiada salahnya mereka mengekalkan kepimpinan yang ada. Proses menentukan kepimpinan di dalam PAS selalunya berakhir dengan baik, muhibbah dan penuh ukhwah. Inilah kelebihan sekiranya kaedah Islam diguna pakai bagi menentukan kepimpinan sesebuah jemaah.

Apa yang mendukacitakan saya ialah apabila AJK PAS Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan cuba pula untuk mengaitkan DS Anwar di dalam kemelut PAS sekarang (Rujuk Akhbar Sinar Harian 04 Mei 2009). Beliau seolah-olah cuba untuk memberitahu beberapa pemimpin di dalam PAS bahawa tidak wajar semata-mata untuk menyalahkan Timbalan Presiden PAS sekarang, Ustaz Nasa berkenaan isu Kerajaan Perpaduan, sebaliknya DS Anwar juga patut turut dipersalahkan. Saya tidak faham mengapa begitu dangkal pemikiran AJK PAS Pusat tersebut. Beliau seharusnya faham bahawa perdebatan yang berlaku di antara Datuk Husam dan Hj Nik Amar adalah dari segi pandangan semata-mata berkaitan dengan hala tuju PAS akan datang. Mengapa pula tiba-tiba nama DS Anwar timbul di dalam polemik ini? Apakah DS Anwar selama ini memainkan peranan untuk mengubah dasar atau hala tuju PAS? Mustahil perkara ini berlaku di dalam PAS kerana pemimpin di dalam PAS bukan seperti `kerbau yang dicucuk hidung'.

Kita akui DS Anwar banyak memainkan peranan bagi menentukan hala tuju Pakatan Rakyat, itu pun secara muafakat dan persafahaman bersama pimpinan PR. Mana mungkin DS Anwar berupaya untuk menentukan hala tuju atau dasar parti-parti sekutu seperti PAS dan DAP. Oleh yang demikian, kurang bijak malah bersikap `nakal' jika Datuk Takiyuddin Hassan cuba untuk mengaitkan nama DS Anwar di dalam rumahtangga PAS. Apakah beliau beranggapan bahawa DS Anwar adalah orang Tn Guru Nik Aziz atau pun orang Tn Guru Hj Hadi? Saya beranggapan DS Anwar adalah penyokong kepada kepimpinan PAS bukan kepada individu tertentu di dalam PAS. Amat mendukacitakan apabila label `Kumpulan Erdogan' mulai laku di dalam pasaran menjelang pemilihan kepimpinan di dalam PAS. Sayang sekali, timbul kembali isu `Kerajaan Perpaduan' di dalam PAS meskipun Tn Guru Presiden sendiri telah memaklumkan bahawa tiada lagi Kerajaan Perpaduan apabila Najib dilantik sebagai PM.

Adalah menjadi harapan agar pemilihan di dalam PAS akan datang penuh dengan semangat demokrasi bertunjangkan Islam. Hapuskan segera sifat syak wasangka sesama pimpinan dan juga rakan seperjuangan. Hati rakan seperjuangan perlu dijaga apatah lagi mereka banyak membantu perjuangan kita bersama. Jangan kerana ingin menonjol dan bersuara untuk menampakkan kita adalah seorang pejuang yang tegas dan berani, maka kita pun bersuara tanpa memikirkan apakah kita bertindak dengan betul dan bijak.

WFAUZDIN NS