Sabtu, 15 Ogos 2009

BENAR, ANWAR MEMANG PENGKHIANAT KEPADA UMNO

Oleh: WFAUZDIN NS

KEMUNCAK kehebatan DS Anwar mula dapat dirasakan oleh Umno apatah lagi negara ini bakal menghadapi Pilihanraya Umum Ke 13 tidak beberapa lama lagi. Kekuatan PR sebenarnya terletak di atas kebijaksanaan pemimpinnya yang sentiasa bersikap terbuka dan bebas membuat kritikan demi untuk memperkuatkan gabungan PR bagi menghadapi Bn bila-bila masa sahaja. Ketokohan DS Anwar mengemudi PR tiada tolok bandingnya kerana kebijaksanaan beliau yang tidak mudah melatah dengan provokasi pihak musuh untuk memecah belahkan PR.

Begitu bersungguh nampaknya pihak Umno untuk kembali bernafas setelah beberapa kali tumpas dengan memalukan di dalam beberapa pilihanraya kecil baru-baru ini. Najib tidak lagi mampu untuk menyorokkan wajahnya selaku Presiden Umno dan juga sebagai PM. Muhyiddin begitu juga, kehebatan yang kononnya akan mereka pamirkan sebaik memegang teraju negara nampaknya menyerlahkan kelemahan mereka. Rakyat hampa dan kecewa dengan kedua-dua tokoh ini kerana mereka memimpin negara hanya bermodalkan air liur sahaja. Slogan demi slogan diwar-warkan sebagai penyedap telinga, tetapi semuanya kosong belaka.

Akhirnya Umno tiada pilihan lagi. Mereka amat bimbang negeri terkuat Umno iaitu Johor akan jatuh ke tangan pembangkang pada Pilihanraya Umum nanti. Sifat ketaksuban kepada Melayu memang kuat di Johor, dan di sinilah Umno berharap agar `spesis' Umno terus kekal sehingga kiamat. Seandainya nanti PR menerajui negara dan Umno pupus, mudah-mudahan Johor boleh dijadikan muzium atau arkib untuk jenerasi akan datang melihat `spesis Umno'. Muhyiddin kena berbuat sesuatu sebelum terlambat dan beliau tahu selagi DS Anwar masih hidup dan bebas, peluang Umno untuk bernafas lebih panjang akan tersekat.

Maka, Johor dijadikan tapak untuk memulakan kempen atau gerakan memburukkan DS Anwar. Muhyiddin begitu kecut apabila DS Anwar bingkas melawan tuduhan beliau yang menganggap DS Anwar pengkhianat. Muhyiddin silap sasaran kali ini, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata terimalah akibatnya. Seperti biasa, ahli-ahli Umno yang sudah sebati dengan tabiat `burung belatuk' akan mengangguk bersetuju dengan Muhyiddin. Mereka sendiri pun tidak tahu dari mana datangnya punca Muhyiddin menuduh DS Anwar pengkhianat dan apakah hujahnya. Mereka cuma menganggung-angguk kerana Umno tidak pernah mengajar ahli-ahli mereka cara-cara untuk menggeleng kepala.

Berbagai provokasi dan propaganda telah mereka lakukan untuk memecah belahkan PR di beberapa buah negeri di bawah PR, tetapi akhirnya dengan campor tangan DS Anwar serta dengan kebijaksanaan pimpinan PAS dan DAP, usaha Umno akhirnya berkecai. Tiba-tiba sahaja Umno dilihat begitu anti kepada arak. Pengeluar lesen arak di negara ini dikeluarkan oleh siapa? Sekiranya tiada lesen dikeluarkan, adakah arah boleh diminum dan dijual secara bebas? Ini semua menyusahkan semua orang, terpaksalah kerajaan negeri di bawah PR meminda beberapa akta untuk mengawal penjualannya. Itu belum dikira lesen judi yang dikeluarkan oleh kerajaan Pusat. Mereka yang meluluskan lesen semua benda-benda haram ini, tetapi mereka berlagak mereka begitu benci kepada arak dan judi. Inilah Umno dan inilah yang masih disokong oleh orang-orang Melayu Islam di negara kita.

Umno ingin menggunakan PAS untuk menghancurkan perpaduan di dalam PR. Kononnya mereka tahu PAS sememangnya berjuangnya untuk Islam, tetapi yang peliknya Umno tidak mahu sertai PAS. Ini bererti Umno tidak mahu kepada Islam seperti yang PAS mahukan. Kenyataan DS Anwar bahawa arak hanya boleh dijual kepada orang-orang bukan Islam ternyata membuat Umno terkedu. Krisis berkenaan isu arak di Selangor telah selesai membuatkan Umno meleleh air liurnya. Isu kandang babi di Kedah sebelum ini juga dapat diselesaikan hinggakan Umno Kedah semakin hilang punca. Akhirnya, tiada jalan lain maka tiba-tiba keluar modal bahawa DS Anwar adalah pengkhianat. Ya, saya setuju bahawa DS Anwar memang pengkhianat tetapi khianat dengan Umno yang mengkhianati rakyat selama ini.

PRK Dun Permatang Pasir sekali lagi akan menjadi bukti samada DS Anwar atau Umno yang khianat. PR telah mula mencari tapak yang sesuai untuk dipacakkan `batu nisan' Umno di Permatang Pasir. Sekali lagi kita akan melihat wajah merah padam muka Najib dan Muhyiddin serta Zahid Hamidi. Selepas ini apa yang mereka akan kata? Mungkinkah sebelum PRK Dun Permatang Pasir nanti DS Anwar akan ditahan di bawah Akta ISA yang zalim itu sebagaimana kehendak Umno Kulai di dalam perhimpunan `makan kenduri'nya baru-baru ini? Jika DS Anwar ditahan di bawah Akta ISA, adakah Umno yakin boleh selamat dari kebangkitan rakyat? Jika yakin, Umno mungkin perlu mencubanya./Kembali Ke Laman Asal Di Sini.

PRK DUN P.PASIR - SUASANA MENGGERUNKAN UMNO

PERMATANG PASIE_Ribuan menghadiri malam penamaan calon yang dikemukakan semalam.Dalam Blog ini tekaan bahawa Ustaz Salleh Man sebagai calon menepati kerana didapati beliau sesuai untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Dalam pengumuman semalam semua pemimpin Pakatan Rakyat berucap.Turut Hadir Dato Tuan Guru Hj Hadi Awang,Ustaz nasaruddin,Dato Mahfuz Omar,Mat Sabu Km LimGuan Eng,TKM1 Proff Mansor Othman,Dato Zahrain, dan pimpinan lain dari Pakatan Rakyat.

KETUA PEMUDA UMNO PAHANG JADI `BURUNG TEKUKUR' ?

Khianat Melayu, cabar berdebat dan pengecut
Oleh Zukri Aksah

Baru-baru ini, dalam ucapan perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan Umno BahaGo to fullsize imagegian Sri Gading, Batu Pahat, Timbalan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah secara tiba-tiba mengeluarkan satu tuduhan serius terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, katanya Anwar pengkhianat Melayu.


Ucapan Muhyiddin ini segera mendapat respon dari ramai pemimpin Umno di semua peringkat. Sudah tentulah semua respon ini dalam bentuk kenyataan sokongan, sesetengahnya ditambah pula sehingga menjadi berlebihan. Ketua Pemuda Umno Pahang, Abu Jimi Samad semalam mengumumkan yang Pemuda Umno Pahang mula mengadakan kempen mengumpul tandatangan bagi menyokong kenyataan Muhyiddin itu.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang, Ustaz Suhaimi Saad dalam reaksinya menempelak Abu Jimi yang gagal menyediakan fakta dan bukti dalam menyokong tuduhan Muhyiddin terhadap Anwar. Bahkan dalam meneliti kenyataan Abu Jimi, ulas Suhaimi, beliau hanya menemui dua alasan yang kelihatannya langsung tidak relevan dengan tuduhan yang dilemparkan.

Anwar dikatakan pengkhianat Melayu oleh Abu Jimi kerana kononnya beliau bertanggungjawab cuba menghapuskan hak orang Melayu. Ini adalah tuduhan yang bersifat umum dan longgar tanpa ada sertaan bukti yang sahih dan konkrit. Abu Jimi harus bertanya diri sendiri, siapa yang cuba mencabut “tongkat” orang Melayu?

Abu Jimi juga dalam dakwaannya mengatakan Anwar mengkhianati Melayu kerana menganjurkan demonstrasi jalanan. Sejak bila demonstrasi jalanan membawa maksud pengkhianatan kepada Melayu? Sedangkan Onn Jaafar juga menggunakan demonstrasi untuk perjuangan orang Melayu.

Bagi Suhaimi, Umnolah sebenarnya yang selama ini menjadi biang kerok dalam pengkhianatan kepada masyarakat yang diwakilinya sendiri, orang Melayu. Bagi membuktikan ini, Suhaimi dalam kenyataannya mencabar Abu Jimi untuk berdebat secara terbuka tentang siapa sebenarnya pengkhianat Melayu, selepas 52 tahun Malaysia merdeka.

Suhaimi akhirnya berharap yang Abu Jimi tidak hanya berani menjadi pembela di hadapan tuannya. Debat terbuka yang dihadiri dengan niat yang ikhlas akan mampu menghasilkan penyelesaian yang baik.

Harapan Suhaimi juga agar Abu Jimi tidak menjadi pengecut seperti ketuanya, Khairy Jamaluddin yang sentiasa berdolak-dalik bila diajak berdebat dan berwacana. Pemuda PAS Pahang, tambah Suhaimi akan menghantar surat jemputan rasmi kepada Abu Jimi berkaitan dengan debat ini./Detikdaily

FOTO - DEMO ANTI ANWAR, BERPULU RIBU BERHIMPUN

JOHOR BAHRU 12 Ogos - Lebih 10,000 orang dijangka menghadiri perhimpunan raksasa bagi melaungkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pengkhianat bangsa di Padang Merdeka Batu Pahat, dekat sini Jumaat ini.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0813&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_02.htm



Gambar berpuluh ribu berhimpun Anti Anwar.....hehehehe...

KES KEMATIAN BENG HOCK - DOKTOR TERLUPA UJIAN CAP JARI

Peguam bantah teori Teoh bunuh diri
Ogos 14, 09 7:16pm
Teori bahawa setiausaha politik exco Selangor, Teoh Beng Hock, membunuh diri dengan terjun dari tingkat 14 Plaza Masalam adalah tidak berasas, dakwa peguam pemerhati keluarga mendiang dalam prosiding inkues hari ini.

Peguam Gobind Singh Deo berkata teori yang dikemukakan oleh pakar patologi itu tidak boleh diterima sama sekali kerana ia tidak disokong dengan bukti-bukti kukuh yang menunjukkan Teoh telah berdiri dan terjun melalui tingkap di tingkat itu, yang menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Saya katakan kepada doktor bahawa doktor adalah salah, ini bukanlah kes si mati terjun dan membunuh diri kerana tidak ada kesan tapak kasut atau kesan cap jari pada tingkap itu.

"Teori bunuh diri ini hanya dibuat berdasarkan fakta-fakta yang tidak wujud kerana doktor sendiri tidak melakukan pemeriksaan untuk menyokong teori ini," kata Gobind kepada Dr Khairul Azman Ibrahim ketika saksi ke-10 itu menyambung keterangannya hari ini.

Dalam prosiding itu, Gobind mempersoalkan mengapa tiada kesan tapak kaki pada bingkai tingkap jika benar Teoh dikatakan telah berdiri di situ sebelum terjun ke bawah.

"Mungkin ada, tapi tak nampak. Saya ada periksa tapi tak nampak. Kesan tapak kasut sukar ditemui di sekitar kawasan tingkap itu kerana tempat itu berkarpet," jelas Dr Khairul Azman, yang merupakan pakar perunding kanan perubatan forensik di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Beliau kemudian bangun dari kandang saksi dan menunjukkan gambaran bagaimana Teoh dikatakan telah terjun melalui tingkap itu.

Caranya ialah dengan mengeluarkan kaki kanan dahulu daripada pintu kandang saksi (diibaratkan sebagai tingkap), sambil kedua-dua belah tangan memegang kayu pintu kandang (sebagai bingkai tingkap), kemudian mengeluarkan kaki kiri dan berdiri di luar pintu kandang sebelum terjun ke bawah.

"Jika benar si mati terjun begitu, bukankah mesti ada kesan cap jari pada bingkai tingkap? Tapi kesan cap jari pun tiada. Ada doktor nampak kesan cap jari?" soal Gobind.

"Tiada, cap jari perlu dikesan dengan peralatan sesuai, di makmal saya tiada kemudahan itu," jelas Dr Khairul Azman.

"Tapi bukankah doktor boleh arahkan pihak polis untuk jalankan ujian pengesanan cap jari di situ?" soal Gobind lagi dan saksi itu mengakui tidak mengarahkan ujian cap jari dilakukan.

Gobind seterusnya mempersoalkan mengapa kesan tapak kasut juga tidak ditemui di tebing dinding luar tingkap tempat Teoh dikatakan berdiri sebelum terjun ke bawah, seperti yang digambarkan oleh Dr Khairul Azman.

"Saya ada jenguk ke luar tingkap dan ke bawah tapi tak nampak kesan tapak kasut di situ. Kalau tapak kasut itu berdebu mungkin senang untuk dilihat," kata Dr Khairul Azman.

Gobind turut mencadangkan kepada pakar patologi itu bahawa kasut sebelah kanan mangsa telah sengaja dicampak keluar melalui tingkap itu setelah mayat Teoh dicampak dahulu, yang menunjukkan adanya unsur-unsur homisid (pembunuhan) dalam kematiannya.

Peguam itu mempersoalkan mengapa kasut yang tercampak tidak beberapa jauh dari mayat Teoh ditemui itu tidak mempunyai apa-apa kesan yang sepadan dengan kesan impak setelah jatuh dari tempat tinggi.

"Pada pendapat saya, kasut itu tertanggal sebab ada impak yang kuat. Tapi saya tak nampak apa-apa kesan, saya hanya jalankan 'visual observation' (pemerhatian secara visual)," kata Dr Khairul Azman.

"Tapi adakah doktor bersetuju ada kemungkinan mayat si mati dicampak dahulu, kemudian kasutnya pula dicampak?" tanya Gobind dan Dr Khairul Azman menjawab: "Ya, ada kemungkinan."

Saksi pakar itu juga mengakui tidak menjalankan sebarang ujian mengesan cap jari pada kasut tersebut atas alasan tidak mempunyai kemudahan sedemikian di makmalnya di hospital terbabit.

"Kenapa tidak arahkan polis untuk buat ujian? Adakah sebab hendak menutup cerita?" dakwa Gobind dan Dr Khairul Azman membalas: "Tidak. Saya terlupa nak buat ujian cap jari."

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di situ.

Dr Khairul Azman akan menyambung keterangannya Isnin depan. BERNAMA/Malaysiakini

DEMO BANTAH MAHYUDDIN

Penyokong Anwar pula demo bantah Muhyidin
Ali Hashim
Fri | Aug 14, 09 | 6:40:08 pm MYT

PERMATANG PAUH, 14 Ogos: Selepas para pengikut Umno berdemonstrasi menyokong kenyataan timbalan presiden mereka, Tan Sri Muhyidin Yasin, para penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berdemostrasi hari ini bagi membantah Muhyidin.

Mereka mengadakan demonstrasi secara aman itu di hadapan Masjid Kubang Semang, Permatang Pauh selepas solat Jumaat tadi.

Demonstrasi yang disertai para penyokong Pakatan Rakyat (PR) itu diadakan bagi membantah tindakan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kepimpinan Umno yang menggelarkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat.

Sepanduk dengan pelbagai luahan rasa oleh penyokong-penyokong PR seperti 'Siapa Pengkhianat', 'Siapa Yang Sebenarnya Mengkhianati Bangsa' dan juga laungan takbir turut memenuhi ruang.

Demonstrasi tersebut turut disertai oleh penyokong-penyokong bukan Melayu yang turut bersimpati dengan kenyataan yang tidak sepatutnya dihemburkan oleh seorang pemimpin negara.

ImageWalau bagaimana pun demonstrasi aman ini tidak tercalar dan tiada berlakunya kekecohan kerana tiada anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) yang datang mengganggu dan menyebabkan kekecohan.

Terdapat juga suara-suara yang berkata sekiranya ada pasukan polis atau FRU yang hadir sudah pasti keadaan aman akan menjadi kelam-kabut dan dipenuhi dengan kacau bilau sepertimana yang berlaku dalam program ceramah Mansuhkan ISA di Taman Guar Perahu, Bukit Mertajam baru-baru ini. _/Sumber: Harakahdaily

Jumaat, 14 Ogos 2009

PRK DUN P.PASIR - ROHAIZAT CALON UMNO, CALON PAS UMUM MALAM INI

Rohaizat Othman calon BN di Permatang Pasir
Abdul Rahim Sabri
Ogos 14, 09
11:23am

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pemilihan setiausaha Umno bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman sebagai calon BN untuk pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir 25 Ogos ini.

Beliau membuat pengumuman tersebut di Bukit Merah, Permatang Pasir pada jam 4 petang ini.

Manakala Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula akan mengumumkan calonnya pada jam 9 malam ini.

Kerusi DUN Permatang Pasir kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman kerana serangan jantung pada 31 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 17 Ogos ini.

Sebelum ini, Umno bahagian Permatang Pauh menyenaraikan empat calon termasuk Mohd Zaidi kepada pucuk pimpinan untuk memilih calon yang terbaik untuk mewakili parti itu.

Manakala jawatankusa PAS pula bermesyuarat hujung minggu lalu membicangkan lima orang calon termasuk Salleh./MalaysiakiniJustify Full

APA PENDAPAT PENGUNJUNG BLOG INI TERHADAP KEMATIAN BENG HOCK ?

Friday, August 14, 2009

Selama lebih kurang 2 minggu, blog ini telah mengadakan pungutan (poll) suara dari pengunjung-pengunjung blog tentang pendapat mereka terhadap isu kontroversi kematian Mendiang Beng Hock. Pungutan tersebut telah ditamatkan sebaik sahaja kerajaan menubuhkan Suruhanjaya dan inkuries kes tersebut. Berikut dipaparkan keputusan yang diperolehi daripada seramai 347 pengunjung yang menyertainya.

"APAKAH PENDAPAT ANDA TENTANG MISTERI KEMATIAN MENDIANG BENG HOCK?"

1. Dipercayai Membunuh Diri - 3 %
2. Dipercayai Terjatuh - 0 %
3. Dipercayai Dikhianati - 93 %
4. Tidak Tahu - 4 %

Kembali Ke Laman Asal Di Sini.

ISU ARAK - KOMITMEN PR MATIKAN LANGKAH UMNO

Isu arak: PR sokong langkah Selangor

PETALING JAYA - Pakatan Rakyat (PR) sebulat suara bersetuju dengan langkah kerajaan Negeri Selangor supaya pengedar dan penjual minuman keras di Selangor perlu menggunakan mekanisme sistem kawalan kendiri.

Ketua Umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu perselisihan antara dua Exco Selangor iaitu Datuk Dr Hasan Mohamed Ali dan Ronnie Liu telah selesai dan hanyalah masalah kecil tetapi telah diperbesar-besrakan oleh media.

Menurutnya, PR bersetuju agar arak tidak dijual kepada orang Islam dan penjualan kepada orang bukan Islam kekal seperti sedia kala.

”Kita sepakat setelah bermesyuarat bahawa isu arak di Selangor yang digembar-gemburkan media sebelum ini telah selesai.

”Kita juga bersetuju supaya arak tidak dijual kepada orang Islam dan penjualan kepada orang bukan Islam kekal seperti sedia kala,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PR di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), R Sivarasa.

Menurutnya, tidak timbul isu pemimpin yang terlibat diarah untuk tidak bersuara kerana isu ini diselesaikan melalui forum yang dipersetujui semua pimpinan PR.

”Tiada persoalan mengenai arahan tutup mulut kerana mereka semua setuju menggunakan forum dan kami berasa gembira dengan komitmen yang diberikan,” katanya.

Anwar berkata, mesyuarat dan forum yang membincangkan masalah dalaman parti seperti ini mampu memperkuatkan PR.

”Memang ada arahan jelas oleh pimpinan parti supaya kita gunakan forum peringkat negeri dan pimpinan untuk berbincang masalah berbangkit.

”Kalau kita tidak dapat selesaikan kita akan rujuk kepada panel tatatertib supaya ia (masalah) dapat di bincang untuk mencari jalan penyelesaian yang sewajarnya,” katanya.

Sebelum ini, Hasan mendesak perlucutan jawatan Exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu selepas campur tangan ahli-ahli politik dalam isu jual arak di Selangor.

Hasan juga mahu penjualan arak di kawasan yang mempunyai majoriti orang Islam diharamkan. Tindakan itu menyebabkan DAP Selangor mendesak satu jawatankuasa tindakan disiplin diwujudkan bagi membincangkan tindakan yang akan dikenakan terhadap Hasan.

Terdahulu, Ronnie Liu mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) supaya memulangkan bir yang dirampas di sebuah kedai serbaneka dekat sini.

Beliau berkata, ia perlu dipulangkan semula kerana salah faham dan perkara itu juga dikecam UMNO Selangor./SH

PEMIMPIN UMNO PENGKHIANAT SEBENAR - ANWAR

Anwar cabar, siapa sebenarnya pengkhianat
Mohd Khalil Abdullah
Thu | Aug 13, 09 | 1:01:15 pm MYT

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Hrkh) - Setiap wajah jelas menampakkan reaksi ingin tahu. Bukan satu, bukan juga puluhan, malah bukan jua ratusan tetapi ribuan membanjiri lokasi ceramah untuk mendengar sendiri daripada Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Isu khianat menjadi tumpuan. Semua yang hadir menanti apakah jawapan Anwar terhadap tuduhan yang dilemparkan oleh Umno sejak kebelakangan ini.

Beralaskan akhbar lama, ada yang baru, masing-masing mencari tempat strategik untuk mendengar sendiri jawapan daripada mantan Timbalan Perdana Menteri itu.

"Kalau saya ambil saham Bumiputera, 1 inci tanah kerajaan, 1 kontrak untuk diri saya, Azizah dan anak- anak, kalau boleh cabar saya. Pejuang- pejuang Umno Barisan Nasional, handal- handal belaka. Menteri mereka menghunus keris. Tanya dia kalau kamu pembela Melayu, ada atau tidak kamu ambil saham bumiputera ? Wang berpuluh juta yang diambil untuk keluarga mereka dan kroni mereka?," soal Anwar semasa berceramah di Rembau, Negeri Sembilan baru-baru ini.

"Bukit Tinggi ? Gunung Genting? Diserah pada tauke judi. Umno serah Pulau Pangkor pada tauke Cina. Serah tanah Menara KL kepada Ananda Krishnan. Diberikan syarikat dan dia jadi jutawan dalam masa yang singkat. Tauke- tauke Melayu diberi rumah, di Kuala Lumpur, London, Florida dan lain- lain. Jangan cabar saya. Kalau orang Umno kata ini adalah fitnah, ayuh cabar saya. Saya akan jumpa dan jelaskan satu persatu," tambah Anwar lagi.

Beliau menyatakan kehairanannya mengapa pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) terlalu mengamalkan perjuangan yang sarat dengan hasad dengki dan permusuhan peribadi yang melampau-lampau.

Bagi Anwar, adalah dosa yang besar untuk seseorang pemimpin itu merampas hak rakyat dan harta negara yang sepatutnya diagihkan kepada secara adil dan saksama.

"Kita hendak tanya pada mereka. Mengapa pemimpin Umno ambil sikap bermusuh begitu sekali ? Ingat senang untuk panggil orang pengkhianat bangsa? Khianat bangsa maknanya jual tanah, jual negeri. Biarkan rakyat dan kaum Melayu menderita. Dan dia kata untuk dirinya. Tapi apa yang berlaku dalam negara kita? Kenapa pemimpin Umno mengambil sikap yang rakus, zalim, sombong dan angkuh?" soal Anwar.

Sebaliknya Anwar menegaskan Umno dan BNlah yang bertanggungjawab menjadikan orang melayu sehingga kini masih terkurung dalam mentaliti lama.

"Orang Melayu diperbodohkan kerana Umno hanya akan berkuasa dan kekal berkuasa bila sekiranya orang Melayu tidak tahu maklumatnya," ujar Anwar.

Beliau juga mempertikaikan rasionalnya slogan 1Malaysia yang canang hebat oleh Perdana Menteri. Umno-BN mencanangkan 1Malaysia namun dalam masa yang sama meniupkan api perkauman supaya Melayu dan bukan Melayu saling benci- membenci.

"1Malaysia BN ialah 1Malaysia untuk orang kaya, ambil komisyen RM400 juta, tidak perlu siasat. Rumah RM26 juta, tutup kes. Stadium roboh, tidak perlu siasat. Tapi orang miskin belanja RM2,382...siasat, dera, siasat, sampai mati. Itu maknyanya 1Malaysia untuk orang besar. 1Malaysia orang kaya dan 1Malaysia untuk orang- orang kecil,"jelasnya.

"Negara kita antara negara yang terkaya jika banding dengan negara- negara jiran. Mana ada negara jiran yang masyhur minyak begitu besar ? Tidak usah buat apa, hanya ambil komisyen minyak, RM60 bilion, RM70 bilion. Saya tahu sebab saya Menteri kewangan selama 8 tahun. Hasil kelapa sawit, hasil balak di Sabah dan Sarawak tinggi. Tapi apakah diagih pada rakyat?,"soal Anwar lagi. - mks._

TAKUT PADA ANWAR, TUDUH PENGKHIANAT - NIK AZIZ

Kesal Anwar dituduh pengkhianat

KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat kesal bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dituduh pengkhianat bangsa semata-mata pihak tertentu bimbang pengaruh terhadap pemimpin itu yang semakin meningkat.

Beliau berkata, tuduhan itu dibuat mereka yang takut terhadap peningkatan pengaruh Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) itu yang akan membolehkan beliau berkuasa suatu masa kelak.

“Tuduhan itu dibuat oleh mereka yang dengki dengan Anwar sebab mereka takut Anwar semakin diterima sekarang. Mereka takut bila Anwar berjaya menjadi pemimpin di negara ini beliau akan kenakan balik pemimpin tersebut.

“Saya sebenarnya tidak faham dengan cerita ini. Anwar Ibrahim itu individu. Jadi kenapa kita memperbesarkan masalah peribadi. Kita sepatutnya serang dasar tetapi di mana salahnya dasar Parti Keadilan Rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Kota Darul Naim dekat sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyifatkan Anwar sebagai pengkhianat besar terhadap perjuangan orang Melayu dan pemimpin lidah bercabang kerana sanggup memutarbelitkan fakta mengenai usaha UMNO untuk memartabatkan orang Melayu.

Nik Aziz berkata, perkara yang patut dipertikaikan ialah sebarang kepincangan dalam pelaksanaan dasar PKR dan bukannya membuat serangan peribadi.

“Kenapa nak serang batang tubuh orang. Sepatutnya seranglah dasar PKR. Saya berasa malu dengan orang Melayu sekarang yang menyerang batang tubuh orang.

“Dia mengkhianati bapa saudaranya tetapi sejahil-jahil orang Arab Jahiliah pun dia tidak menuduh Nabi Muhammad SAW sebagai pengkhianat bangsa, sebaliknya hanya dituduh mengkhianati pemimpin,” katanya./SH

BETAPA PENGECUTNYA KJ !!

Khairy enggan berdebat dengan Nasaruddin Thantawi

13 Aug 2009 5:54PM
Debat Integriti anjuran GERAK Malaysia bertajuk Rasuah dan Masa Depan Negara; Di mana Peranan Pemimpin Muda Politik terpaksa dibatalkan, kata Pengerusinya Mohd Nazree Mohd.

Menurut beliau, debat tersebut yang sepatutnya berlangsung esok, 13 Ogos 2009 bertempa di Chinese Assembly Hall (CAH) antara YB Khairy Jamaluddin dan Yg Bhg Ust Nasaruddin Thantawi dibatalkan kerana tidak mendapat persetujuan daripada Ketua Pemuda UMNO, YB Khairy Jamaluddin selaku salah seorang pendebat pada malam tersebut atas sebab-sebab tertentu.

Katanya lagi, GERAK telah mendapat persetujuan daripada Yg Bhg Ust Nasaruddin Thantawi untuk Siri Debat Integriti anjuran GERAK Malaysia tersebut.

"GERAK membuka ruang seluas-luasnya kepada mana-mana pemimpin muda politik untuk tampil bersama dalam menjayakan Siri Debat Integriti dan kita bersedia memberi ruang kepada mereka untuk memberikan pandangan dan berkongsi pendirian berhubung isu integriti dan anti korupsi," katanya.

Dalam perkembangan lain, GERAK Malaysia juga masih menunggu jawapan daripada Menteri Besar Selangor, YB Tan Sri Khalid Ibrahim berhubung Debat Integriti Terbuka antara beliau dan Pengerusi GERAK Malaysia./KLpost

Ahad, 9 Ogos 2009

PERHIMPUNAN - ZAMBRY PENGECUT BERDEPAN RAKYAT?

Zambry ‘pengecut’: PKR

SHAH ALAM – Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai pemimpin ‘pengecut’ dan tidak menghormati hak rakyat kerana mempunyai pendirian berbeza dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan membenarkan sesuatu perhimpunan aman dilakukan di stadium.

Zambry dipetik sebagai berpendapat, perhimpunan menuntut pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal diadakan di Stadium Perak anjuran Dewan Pemuda Perak akan membuatkan rakyat hidup tidak tenteram dan untuk memenuhi keseronokan semata-mata, lapor sebuah portal berita online tempatan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin berkata, Zambry mengeluarkan ke�nyataan demikian kerana khuatir kedudukannya sebagai Menteri Besar Perak akan terjejas.

“Beliau tidak dapat menerima kenyataan akan menghadapi lebih ramai penyokong yang membantah pelantikannya sebagai Menteri Besar dan menyeru agar DUN Perak dibubarkan segera.

“Beliau juga menafikan hak demokrasi rakyat untuk berhimpun menyuarakan ketidakpuas�hatian terhadap sesuatu perkara sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Katanya, Zambry mesti menghormati hak dan perasaan rakyat kerana apa jua tuntutan menggambarkan aspirasi yang mereka diingini.

Dalam pada itu, Pengarah Strategik PKR, Tian Chua berkata, cadangan Najib untuk membenarkan sesuatu perhimpunan aman dilakukan di stadium adalah sesuatu yang tidak ikhlas.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebenarnya takut berhadapan dengan rakyat yang lantang menyuarakan hak mereka. Pada hakikatnya mereka sebenarnya tidak mahu apa jua perhimpunan rakyat menentang sesuatu dilakukan.

“Mereka bimbang lebih banyak lagi penyokong yang turun dan kedudukan kerajaan akan terancam,” katanya.

Tian Chua berkata, tidak semua perhimpunan aman sesuai dilakukan di stadium sebagaimana yang dicadangkan oleh Perdana Menteri.

“Contohnya, jika rakyat hendak menghantar memorandum menolak keganasan Israel terhadap Palestin, demonstrasi lebih sesuai diadakan di hadapan bangunan kedutaan berkenaan,” katanya./SH





DEBAT PEMUDA UMNO - PAS, KJ MESTI HADIR

Sunday, August 9, 2009

Debat antara Ketua Pemuda UMNO dan rakan sejawatannya dari PAS mengenai isu rasuah di Malaysia ditetapkan pada 13 Ogos ini. Debat di Dewan Perhimpunan Cina Selangor itu hanya akan berlangsung jika Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin sendiri turun membahasakan topik dan tidak mewakilkan tugasnya pada pihak ketiga “Pemuda Pusat mengambil keputusan bersetuju supaya Ketua Pemuda hadir pada 13 Ogos di Dewan Perhimpunan Cina dengan syarat Ketua Pemuda UMNO turut hadir. Kita akan tarik diri sekiranya selain daripada Ketua Pemuda Umno hadir,” kata Timbalan Ketua Pemuda PAS Azman Shapawi. Perbahasan itu bertajuk: Rasuah dan Masa Depan Malaysia, Dimana Peranan Pemimpin Muda Politik.

[Perdebatan amat baik dilakukan untuk menunjukkan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi tulen. Namun, beranikan menantu Pak Lah Khairy Jamaluddin untuk menghunus keris bagi menyahut seruan ini?. Kami yakin 100% yang Khairy tidak akan berani berdepan secara "anak jantan" dengan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasharuddin Hassan Tantawi yang cukup dikenali dengan kelantangan dan suara serta fakta yang tegas serta jelas itu. Jika Khairy berani tampil, maka memang beliau sengaja menempah "maut" berhadapan dengan Ustaz Nasharuddin itu nanti]./Pahangdaily