Rabu, 7 April 2010

ANAK FELDA TIDAK LAGI PERCAYA PADA JANJI NAJIB?

Anak Felda Hulu Selongor bangkit tuntut perubahan

Selepas 30 tahun dibelit kemiskinan dan prasarana serba kekurangan, anak-anak Felda di Hulu Selangor kini bangkit menuntut perubahan.

Mereka berhimpun, berbincang dan akhirnya bersepakat bahawa satu-satunya cara mengangkat taraf kehidupan warga Felda adalah dengan campurtangan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Anak-anak Felda dinafikan tanah untuk membina teduhan idaman untuk keluarga masing-masing. Mereka tidak dibenarkan mewarisi tanah ibu-bapa mereka walaupun keturunan mereka telah meneroka dan membesar bersama-sama pokok-pokok sawit yang diusahakan turun-temurun.

Persatuan Anak Peneroka dan Generasi ke-2 Felda atau ANAK, bersama-sama penduduk Felda Gadangsa, Felda Soeharto dan Felda Sungai Tengi kini menggembleng usaha memastikan mangsa pelan pertanian mega kerajaan pusat ini mendapat pembelaan sewajarnya.


Penyelaras Program perhimpunan ANAK, Mohammed Salleh Ri berkata, masalah penempatan ini berlaku kerana Felda tiada mekanisma khas untuk masa depan anak peneroka. Menginsafi nasib mereka kini terletak sepenuhnya pada ehsan atau ketidakpedulian kerajaan Pusat, penduduk dan ANAK bersama-sama menyerahkan memorandum kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika tokoh itu berkunjung ke Sungai Tengi Ahad lalu.

Menurut Salleh Ri, sehingga ke hari ini penduduk masih mengharapkan janji-janji dari pilihanraya-pilihanraya lalu ditunaikan Perdana Menteri Najib Abdul Razak. Namun sekali lagi mereka dikecewakan.

Apa yang mereka tuntut adalah tanah untuk jaminan masa depan generasi Felda akan datang, bukan gula-gula pilihanraya dan elaun 1500 ringgit sebulan. Persoalan yang bermain di hati warga Felda adalah, mengapa BN membelakangi matlamat Felda yang digariskan Perdana Menteri ke-2, Tun Abdul Razak.

Selepas 30 tahun, rumah Felda Gadangsa, Felda Soeharto dan Felda Sungai Tengi masih sekecil 30 tahun lalu. Bila mereka berpeluang ke pekan atau ke kota berhampiran, mereka terpana melihat banglo-banglo besar yang tidak mungkin dapat mereka kecapi dibawah sistem Felda hari ini. ANAK akan mengadakan program perhimpunan anak-anak peneroka yang dijadualkan pada 23 dan 24 April ini bagi membuat penerangan kepada peneroka serta sesi dialog dengan menteri besar./TVSelangor

1 ulasan:

  1. Cukup menghairankan..aku orang Melayu...tetapi kenapa masih ada orang Melayu yang masih percaya dengan pemimpin Melayu dalam UMNO atau PERKOSA.Adakah masih tidak sedar kagi bahawa orang Melayu telah dikhianati oelh pemimpin Melayu ini.

    Setelah lebih 50 tahun mereka memerintah...nasib orang Melayu makin kabur hala tujunya..yang pasti bila ada pilihanraya pemimpin Melayu UMNO akan turunlah untuk menacari Melayu di kampung dengan membawa janji serta menabur wang untuk membeli hati orang Melayu.

    Aku sebagai anak Melayu berasa "sungguh terhina" bila pemimpin Melayu ini sanggup merendahkan nilai martabat Melayu.

    Marilah kita sama-sama menggembeling tenaga dan fikiran untuk menaikkan martabat Melayu tanpa bertongkatkan pemimpin Melayu sebegini..kita ubah kepada PR sekarang.

    BalasPadam