Khamis, 1 April 2010

MUSIM KATAK BUAT KEJUTAN, MARKAH SIAPA PALING TINGGI?

Oleh: WFAUZDIN NS

KEBIASAANNYA katak akan berbunyi di musim hujan. Apabila hujan mulai turun, maka katak-katak ini akan bersahut-sahutan dengan berbagai nada bunyi. Kununnya biar dikatakan orang hujan turun disebabkan panggilan oleh katak-katak ini. Tetapi sekarang ini bukan musim hujan malahan musim panas, tetapi katak-katak ini berebut-rebut juga untuk bersuara walaupun suaranya sumbang. Hujan tidak juga turun biar tekak katak naik kering dibuatnya.

Kali ini katak berlumba-lumba untuk buat kejutan. Bermula dari `katak' Bayan Baru bernama Zahrain dengan kejutan awal. Selama ini katak tersebut berada di bawah tempurung tidak tahu apa-apa, tiba-tiba sudah boleh bersuara garau kununnya mahu buat kejutan. Mungkin perut sudah buncit, maka baru boleh bersuara. Menjadikah kejutannya? Oleh kerana irama dan lagu yang didendangkan oleh katak Bayan Baru itu jelas sumbang, kejutannya tidak menjadi. Malah katak itu sendiri yang terkejut kerana disebabkan oleh sumbangnya lagu yang dibawa, tidak pasal-pasal di`sepak dan diludah' oleh wakil dari Kalabakan dan beberapa orang lagi. Itulah kejutan buat si katak malang tersebut.

Selepas itu, berlumba-lumba katak yang lain untuk menunjukkan kebolehannya mencipta kejutan. Markah sedang dikira oleh bos mereka bagi menentukan siapakah katak yang paling berjasa mencipta kejutan sehingga satu Malaysia akan gempar dengan kejutan mereka. Seekor demi seekor menyanyikan lagu dan irama songsang, diselang seli pula oleh `firaun besar' Kulim Bandar Baru yang ingin menyampuk juga untuk buat kejutan. Siang tadi, katak dari Behrang mencuba nasib pula untuk mencipta kejutan. Kesemua katak-katak ini diperhatikan oleh raja katak dari Pasir Mas yang mungkin merasa lucu melihat gelagat katak-katak junior ini. Raja katak tentu berkata di dalam hatinya, " Ambo yang sudah lamo buat lagu tu, tak jadi gapo pun...alih-alih ambo yang malu, ini kan pulak demo yang kencing pun bercabe lagi...". Raja katak pun sampai tidak mampu bertahan sehingga menghentak-hentak meja dan melempar kertas kerana lagu dan irama yang dia bawa diperlecehkan orang.

Begitulah nasib katak-katak yang kita lihat sekarang. Oleh yang demikian usah haraplah masyarakat di tempat yang diwakili oleh sang katak-katak ini untuk mendapatkan khidmat atau pembelaan dari mereka. Mereka tidak akan memikirkan nasib kalian kerana mereka tahu inilah penggal terakhir untuk mereka menjadi Wakil Rakyat, justeru itu mereka akan buat apa sahaja asalkan perut mereka akan terus buncit./wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan