Isnin, 21 Jun 2010

KEHEBATAN ANWAR DIAKUI


Antara Anwar dan Tunku
- ABDUL AZIZ BARI

Isnin lalu muka depan akhbar ini melaungkan kenyataan “Anwar tetap No 1”!. Cerita itu berkisar dari cadangan seorang perwakilan dalam Muktamar Pas ke 56 di Kota Bharu yang mahu Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijadikan ikon Pakatan Rakyat; sesuatu yang lebih kurang sama dengan kedudukan Menteri Besar Kelantan itu dalam struktur organisasi Pas sekarang. Cadangan tersebut tidak diterima atau disokong kedua-dua DAP atau PKR meskipun Datuk Zaid Ibrahim pernah mencadangkan hal sama tahun lalu.

Apa pun kali ini Nik Abdul Aziz dengan tegas menolak cadangan itu dan menyatakan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah orang sesuai mengetuai Pakatan. Tahun lalu Nik Abdul Aziz, selepas Zaid membuat cadangan sama, menyatakan ia memerlukan masa. Apa pun reaksi Nik Abdul Aziz itu sekali lagi, jika dilihat daripada respons pembaca sebuah portal berita, menekankan kecekapan dan kelicikan menteri besar yang sudah 20 tahun mengetuai pentadbiran Kelantan.

Respons Nik Abdul Aziz itu mengesahkan kepentingan peranan Anwar dalam proses perubahan politik sekarang. Ini bukan kerana beliau memimpin PKR, sebaliknya kerana Anwar mempunyai personaliti yang istimewa dan watak seperti ini amat penting dalam memacu perubahan. Kepentingan kedudukan dan peranan Anwar amat jelas jika kita lihat masalah dihadapi DAP dan Pas serta kelembapan PKR semasa Anwar berada di dalam penjara sewaktu Pilihan Raya Umum 1999 dan 2004.

Itu semua berubah apabila bekas Timbalan Perdana Menteri 1993-1998 bebas dari penjara pada 2004 dan berkempen dalam Pilihan Raya 2008. Meskipun Pakatan masih belum wujud dalam bentuknya yang ada sekarang gabungan longgar ketiga-tiga parti itu berjaya. Sejak itu orang mula melihat betapa gagasan sistem dua parti sesuatu yang realistik di Malaysia.

Saya telah menyebut banyak kali dalam ruangan ini betapa sistem dua parti ini penting dalam mengembalikan sistem pemerintahan negara ke tempatnya yang asal. Ini pilihan terakhir setelah istana dan mahkamah – sebagaimana kelihatan dalam krisis politik di Perak tahun lalu – gagal menjadi pemangkin kepada sistem yang ditunjangi perlembagaan.

Terbaru mahkamah dilaporkan cuba mengelakkan pilihan raya kecil dan menyelamatkan Tian Chua dari dihukum sehingga membatalkan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen. Ini mengejutkan kerana mahkamah tidak harus mengambil kira soal mengelakkan pilihan raya kecil. Pada saya hakim berkenaan tidak wajar kerana rakyat akan melihat mahkamah menjadi alat kerajaan dan tidak bebas. Tanggapan sedemikian mesti dielakkan.

Faktor Anwar menekankan betapa pentingnya faktor kepemimpinan dan ikon dalam proses perubahan. Meskipun faktor-faktor lain seperti kerangka perlembagaan, perkhidmatan awam juga penting faktor tokoh dan kepemimpinan amat penting untuk menjadi mancis yang akan memulakan api perubahan. Dalam pada itu sudah pastilah bahawa kesempatan dan ketika di mana perubahan itu berlaku juga penting.

Kedudukan dan peranan yang ada pada Anwar sekarang boleh dibandingkan dengan apa yang dilakukan Tunku Abdul Rahman dalam perjuangan kemerdekaan pada 1957. Meskipun Tunku bukan orang yang memulakan proses itu beliau memainkan peranan kritikal dalam memulakan enjin yang kemudian membawa kepada kemerdekaan.

Meskipun ada pihak – termasuk Raja-Raja Melayu – yang skeptikal dengan perjuangan itu Tunku tetap tegas. Ini kerana beliau tahu peluang seperti itu tidak mungkin datang lagi. Seperti yang kita tahu tahun-tahun selepas Perang Dunia Kedua menyediakan senario cukup subur untuk kemerdekaan; bukan sahaja di Malaya tetapi juga di seluruh dunia.

Mengatakan Anwar sama dengan Tunku akan menyebabkan penyokong tegar Barisan Nasional naik angin. Tetapi saya fikir kemampuan Anwar adalah kenyataan dan mengakuinya samalah seperti meramalkan bahawa pasukan-pasukan pilihan tertentu akan jadi juara Piala Dunia kali ini. Mengatakan bahawa Afrika Selatan akan jadi juara Piala Dunia 2010 akan menyebabkan orang ketawa. Kita perlu objektif.

Apa yang Malaysia perlukan sekarang bukan perlembagaan atau sistem baru kerana semuanya sudah baik. Apa yang jadi masalah ialah pemandu tidak cekap. Ini hanya boleh dibetulkan rakyat melalui pilihan raya. Di sinilah pentingnya peranan Anwar untuk membawa kemerdekaan kedua.

Minggu lalu Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua mendakwa, SPR cuba melambatkan pendaftaran pengundi baru. Sama ada dakwaan itu betul atau tidak kita kena halusi bukti-bukti yang Ahli Parlimen PJ Utara itu kumpulkan. Tetapi itu bukan perkara baru kerana sewaktu mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir begitu gabrah menghadapi Pilihan Raya 1999 selepas Anwar dipecat hampir 700,000 pengundi baru tidak dapat mengundi dan ia membantu pentadbiran Mahathir kekal berkuasa.

Ketika ini kita menyaksikan apa yang dipanggil sebagai politik baru dan Anwar nampak begitu selesa memainkannya. Sebab itu Nik Abdul Aziz mengambil langkah untuk menyokong Anwar walaupun tokoh-tokoh kanan dalam Pas yang lain belum tentu senang hati dengannya. /Sinar

* Profesor Dr Abdul Aziz Bari telah mengajar undang-undang selama lebih 20 tahun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan