Isnin, 21 Jun 2010

WANITA SOLAT JUMAAT - MUFTI PERAK, JOHOR KATA SUNAT, MUFTI SELANGOR KATA HARUS

Wanita tidak dikira syarat sah solat Jumaat

SHAH ALAM- Wanita tidak boleh mencukupkan bilangan jemaah solat Jumaat sekiranya jemaah lelaki tidak cukup 40 orang bagi melakukannya, kata Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria.

Menurutnya, biarpun solat Jumaat adalah amalan sunat bagi wanita dan tidak diwajibkan ia harus mengikut syarat sah solat iaitu mestilah berjemaah dengan sekurang-kurangnya 40 orang lelaki yang tinggal tetap di kawasan itu.

“Ia bukanlah baru, namun tidak semua wanita menunaikannya bergantung pada ruang yang disediakan di sesebuah masjid dan kelapangan waktu.

“Kadang kala wanita mempunyai komitmen dan pekerjaan yang lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, wanita yang menunaikan solat jumaat tidak perlu lagi menunaikan solat zohor, memadai dengan solat Jumaat yang ditunaikan.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan :Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyarankan wanita turut mengerjakan solat Jumaat sebagaimana lelaki menunaikannya di masjid dengan mempunyai ruang khas.

Sementara itu, Penasihat Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut berkata, biarpun ia amalan sunat, wanita yang berkahwin perlu mendapat keizinan suami sebelum menunaikan solat dan mengelakkan memakai wangian yang boleh mendatangkan fitnah yang jelas haram hukumnya.

Namun, katanya banyak kelebihan yang boleh diperoleh apabila wanita menunaikan solat Jumaat antaranya dapat berkongsi ilmu sewaktu mendengar khutbah.

Bagaimanapun Noh mencadangkan agar prasarana bagi memudahkan wanita menunaikan solat dipertingkatkan terlebih dahulu.

Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid, solat Jumaat adalah fardu ain kepada lelaki, iaitu wajib kepada setiap individu lelaki yang beragama Islam dan akil baligh.

“Tetapi bagi wanita, mereka adalah tidak wajib, cuma harus sahaja namun andai kata kalau dia buat (sembahyang Jumaat) maknanya akan gugurlah tuntutan solat Zuhur,” katanya ketika dihubungi, semalam. /Sinar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan