Jumaat, 16 Julai 2010

DI TENGAH MALAM NAJIB BUAT KERJA INI

Oleh: WFAUZDIN NS

DI TENGAH malam dalam diam Najib buat kerja. Seluruh Malaysia dikejutkan dengan pengumuman PM yang selama ini orang-orang Umno percaya beliau mendahulukan rakyat. Tetapi disaat kita sedang memasang mimpi indah, Najib mengumumkan satu berita yang mungkin menjadi penyebab kejatuhan beliau. Malaysiakini melaporkan berita dengan tajuk `5 Dalam 1, Harga Petrol, Diesel, Gula dan Gas Naik'

Kenaikan barang-barang utama tersebut berkuatkuasa tengah malam tadi. Selalunya yang buat kerja di tengah-tengah malam ini adalah perompak dan penyamun termasuk perompak wang dan titik peluh rakyat. Rakyat di dahulukan. Petrol RON 95 dan Diesel naik 5 sen. Tiada lagi subsidi bagi RON 97. Difahamkan juga RON 97 turut naik 5 sen dan mungkin ada pelarasan kemudian nanti. Gula yang semenjak kebelakangan ini menjadi masalah buat rakyat untuk mendapatkannya, kini bertimpa masalah lagi dengan kenaikan sehingga hampir mencapai RM 2 sekilo. Kenaikan 25 sen ini menjadikan harga gula sekarang adalah RM 1.90 sekilo. Gas LPG pula naik sebanyak 10 sen sekilogram.

Harga baru yang diumumkan oleh PM kesayangan Umno ini adalah seperti berikut:

Petrol RON 95 - RM1.85 seliter.
Diesel - RM1.75 seliter.
Gula - RM1.70 sekilogram
Gas LPG - RM1.85 sekilogram

Berikut adalah harga baru gas:

Tong 14KG - dari RM24.50 kepada RM25.90 (naik RM1.40)
Tong 12KG - dari RM21.00 kepada RM22.20 (naik RM1.20)
Tong 10KG - dari RM17.50 kepada RM18.50 (naik RM1.00)

Rakyat didahulukan. Jadi, tidak sukar untuk kita memahami mengapa semenjak seminggu dua ini pemimpin-pemimpin Umno dan media-media pencacai mereka begitu menghentam pemimpin Pembangkang terutamanya DS Anwar. Kununnya minta maaf dengan Zionis Israel, alat kepada CIA Amerika dan berbagai lagi. PAS juga turut dilabelkan sebagai parti ajaran sesat. Isu kecurian pasir di Selangor dijadikan satu isu seolah-olah boleh membuatkan seluruh rakyat Malaysia kebuluran dengan hanya memakan pasir. Umno Selangor jadi bebal sehingga lupa kecurian pasir di Selangor telah berakar umbi semenjak 30 tahun lalu dan ketika itu Umno mentadbir negeri tersebut. MB Selangor Tan Sri Khalid kini melakukan berbagai usaha untuk mencuci `najis-najis' yang Umno tinggalkan itu. Rakyat didahulukan.

Patut pun dari semalam saya yang tinggal di Kuantan tercari-cari gula di merata kedai dan market namun hampa. Rupa-rupanya mereka telah `terbau' akan pengumuman menarik dari Najib. Di sebalik kita diperlihatkan salah seorang manusia terkaya di Asia adalah Raja Gula, Najib mengumumkan kenaikan harga gula. Tepat dengan waktunya, tidak lama lagi kita akan menyambut puasa dan hari raya. Kenaikan harga gula, petrol, diesel dan gas yang diumumkan malam tadi amat baik untuk rakyat bagi menyambut Ramadhan dan Syawal. Rakyat didahulukan.

Pengangkutan untuk menghantar gula dan gas pasti menggunakan petrol atau diesel. Petrol dan diesel naik, gula dan gas naik, maka kita boleh jangkakan harga barang-barang keperluan selepas ini. Inilah kebijaksanaan PM kita yang amat disayangi oleh orang-orang Melayu Umno sekarang. Saya tidak percaya jika Apco yang mengatur semua ini, dan jika ada yang percaya saya tidak pula membantah.

Tahniah buat Najib dan kabinet `Rakyat Didahulukan'. Syabas kepada kerajaan `1 Malaysia'. Inilah berita atau bonus terbaik menyambut Ramadhan dan Syawal buat seluruh rakyat Malaysia. Mungkin orang-orang Felda yang baru-baru ini tersengeh lebar setelah mendapat bonus, akan bertambah lebar ke telinga sengihnya dengan pengumuman Najib. Rakyat didahulukan./wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan