Jumaat, 13 Ogos 2010

Perang info: BN 'ludah' sesama sendiri, kata MB


Jimadie Shah Othman & Aidila Razak
Ogos 12, 10

Apalah sangat RM15 juta untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat Selangor jika dibandingkan dengan "nasihat RM70 juta Apco" hanya untuk "memberitahu bagaimana menyampaikan mesej".

Demikian Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mempertahankan tindakan kerajaan negeri memperuntukkan wang bagi tujuan mempertingkat keberkesanan penyampaian maklumatnya.

Justeru, Khalid (kanan) berkata, dakwaan MCA bahawa kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menyalahgunakan wang pembayar cukai bagi kekal dalam kuasa, boleh disifatkan sebagai 'meludah ke muka sendiri'.

"Apabila Umno, MCA atau MIC berkata begini (membazir), mereka ibarat meludah ke udara, akhirnya jatuh ke muka sendiri," katanya.

Pada 26 Julai lalu, Khalid mengumumkan peruntukan itu bagi memberikan lebih maklumat supaya rakyat dapat membuat keputusan lebih bijaksana.

Menurutnya, dana itu akan digunakan untuk menyebarkan maklumat melalui portal TVSelangor, Selangor Kini (termasuk versi cetak) dan mewujudkan radio negeri sendiri.

Siapa mula dulu?

Ketika diwawancara Malaysiakini di pejabatnya di Shah Alam kelmarin, Khalid berkata peruntukan untuk 'perang maklumat' itu hanya mewakili satu peratus perbelanjaan negeri, bersamaan satu sen untuk setiap rakyat Selangor.

Katanya, langkah itu terpaksa diambil kerana kerajaan persekutuan telah "mengkhianati" mereka dalam menyediakan sokongan komunikasi.

"Kamu hendak kata ini (untuk tujuan) politik? Ya (benar), tetapi siapa yang mulakan dulu?" Soalnya kembali.

Sementara itu, bercakap tentang ura-ura kerajaan Selangor akan menjalankan pilihan raya negeri berasingan dengan di peringkat parlimen, Khalid masih memilih berteka-teki tentang perkara itu.

"Politik juga satu strategi. Jika kerajaan persekutuan jatuh dan kami rasa boleh memang, kami akan sertai permainan," katanya yang juga ADUN Ijok dan ahli parlimen Bandar Tun Razak.

Ditanya tentang dakwaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa pilihan raya berasingan sukar dan menambahkan perbelanjaan dan masa, Khalid sebaliknya menghentam kembali badan itu.

'Jangan sebodoh kerajaan'

"Ini yang saya bimbang tentang SPR. Rakyat pilih kita untuk lima tahun bukan atas dasar ADUN dan ahli parlimen patut datang dan keluar bersama-sama.

Pada 28 Julai, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata terdapat kesukaran dalam melaksanakan idea itu, termasuk akan berlaku penambahan masa dan kos perbelanjaan mengurus pilihan raya serta menyebabkan pengundi tidak selesa.

Katanya, lagnkah itu jika diambil boleh menyebabkan berlaku pergeseran antara kerajaan negeri dengan sultan atau gabernor kerana kuasa membubarkan DUN terletak di tangan ketua negeri.

Menurutnya, pengalaman di negara-negara maju, kerajaan bukan sahaja membelanjakan wang untuk mengadakan pilihan raya tetapi tutut memperuntukan wang untuk parti politik, termasuk daripada pembangkang./Malaysiakini

1 ulasan:

  1. Sejak bila SPR perlu menjadi ahli ekonomi untuk menentukan pembubaran akan menambahkan kos atau masa? Jika nak jadi ahli ekonomi jangan menjawat jawatan yang dipertanggungjawabkan untuk menyuburkan kuasa rakyat (demokrasi).

    Dan sejak bila pula SPR menjadi pramugara dan pramugari untuk menentukan keselesaan pengundi?

    SPR wajar berhutang biar berjuta atau berbillion dalam menjadi perantara antara suara rakyat dengan kerajaan yang telus dan adil.

    Sudah-sudahlah menurut telunjuk UMNO/BN. Pemerintah sebenar di dalam demokrasi adalah rakyat, jadi berkhidmatlah dan bersikap adillah untuk rakyat.

    Jika kamu mengatakan Allah adalah Tuhanmu, berlaku adil dan ikhlaslah di dunia, agar mudah hitungan anda di akhirat.

    BalasPadam