Ahad, 1 Ogos 2010

UMNO TELAH LAMA LAKUKAN, DAP BARU MAHU CADANG

Oleh: WFAUZDIN NS

SEMENJAK bila Umno bersungguh pertahan hak orang-orang Melayu? Sudah berapa banyak hak orang-orang Melayu terhakis oleh tangan Umno. Jadi, usahlah Ahmad Maslan Ketua Penerangan Umno mahu beri amaran pada seorang pemimpin DAP yang baru buat cadangan tentang diskaun pemilikan tanah orang Melayu di Selangor. Jika DAP baru buat cadangan, Umno lebih awal melaksanakan banyak penghapusan hak orang-orang Melayu.

Cuba sebutkan satu usaha DAP yang telah pun menghakis hak orang-orang Melayu. Penghapusan tulisan Jawi suatu ketika usaha DAP kah? Pengurangan semakin banyak tanah rezab orang-orang Melayu, usaha DAP juga kah? Menarik kembali bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) suatu ketika dahulu sehingga menyebabkan banyak SAR bungkus tikar, usaha DAP kah? Satu kumpulan yang menaikkan sepanduk menghina Raja Melayu seperti di Terengganu dengan kata-kata `Kami Mahu Deris, Natang', dan berhimpun depan Istana, adakah itu anjuran DAP?

Sekarang ini, kenaikan harga petrol, diesel, gula dan gas yang tentunya menaikkan sekaligus barang keperluan amat menyusahkan rakyat yang miskin. Rakyat yang miskin ini majoritinya kaum mana? Tidakkah Melayu ramai yang miskin? Di mana hak Melayu yang dibela itu? DAP kah yang berkuasa berbuat demikian? Sebenarnya tidak terlarat untuk menyenaraikan pengkhianatan Umno kepada bangsa Melayu, apatah lagi kepada agama Islam. Jika DAP hanya bersuara, belum tentu dilaksanakan, Umno lebih dahsyat lagi kerana mereka telah pun melaksanakan pengkhianatan tersebut.

Oleh yang demikian, Ahmad Maslan perlu buka sejarah perjuangan Umno semula. Lihat, banyak mana Umno telah khianat kepada orang Melayu. Lihat banyak mana pemimpin Umno mengaut keuntungan dari dasar Umno untuk diri masing-masing. Lebih 50 tahun Umno menjadi tunjang kerajaan, lihat sejauh mana kedudukan orang-orang Melayu sekarang. Justeru itu, sudah sampai masanya PAS mengambil alih peranan Umno bukan untuk perjuangkan nasib Melayu sahaja, bahkan memperjuangkan Islam yang menjamin hak semua kaum dan agama./wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan