Sabtu, 18 September 2010

MENYANGGAH TULISAN MSO YANG NASIHAT DATO ZAID KELUAR PARTI

Oleh: WFAUZDIN NS

Seorang Penulis ternama, MSO atau Mohd Sayuti Omar di dalam tulisannya mula terpengaruh dengan cerita yang dibawa oleh Dato Zaid yang bakal bertanding kerusi Timbalan Presiden PKR. Saya tidak kisah jika Penulis berkenaan menyokong Dato Zaid, tetapi percaya kepada semua dakwaan Dato Zaid yang sedang berkempen itu tentulah tidak bijak buat seorang Penulis Politik terkenal.

Tambahan pula, MSO dikatakan seorang Penulis Politik yang pro PR tetapi di dalam tulisannya beliau seperti menghasut agar Dato Zaid tinggalkan PKR jika tidak yakin dengan PKR lagi. Beliau juga turut menggambarkan betapa PKR kini sama seperti Umno. Di mana yang samanya PKR dengan Umno? Adakah kerana percaya bulat-bulat dakwaan Dato Zaid Ibrahim yang mendakwa kununnya beliau terpinggir, dakwaan ada kumpulan yang membuat fitnah ke atasnya walaupun sehingga kini Dato Zaid tidak melaporkan hal tersebut kepada badan disiplin yang bertanggungjawab di dalam PKR maka MSO percaya dengan Dato Zaid?

Saya masih ingat, sewaktu pemilihan pucuk pimpinan di dalam Muktamar PAS dahulu pun MSO dilihat bermain penulisan secara begini juga apabila beliau condong kepada beberapa pemimpin di dalam PAS. Kini, MSO jelas memihak kepada Dato Zaid seolah-olah Dato Zaid benar-benar teraniaya. Adakah MSO ini sebenarnya penyokong PR atau sekadar Penulis yang mempunyai matlamat atau tujuan tertentu?

Seorang lagi calon yang bakal bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden PKR iaitu YB Azmin juga teruk dibelasah oleh Dato Zaid. Malahan Presiden PKR juga dicop oleh Dato Zaid sebagai `boneka' sahaja di dalam PKR. DS Anwar juga disindir oleh Dato Zaid apabila Dato Zaid menyebut jawatan Ketua Umum PKR itu tiada dalam Perlembagaan dan tidak boleh ditandingi. Apa erti ini semua? Dato Zaid baru sedarkah organisasi yang ada di dalam PKR ini? Semua orang maklum jawatan Ketua Umum PKR bukan jawatan kekal, sebaliknya hanya satu jawatan sementara untuk DS Anwar yang sekarang ini bergelut dengan fitnah liwat II ke atas beliau. Satu kaedah atau strategi parti untuk sementara waktu demi kebaikan PKR juga. Masakan Dato Zaid tidak tahu ini semua sebelum menyertai PKR? Mengapa ini semua timbul disaat beliau ingin bertanding merebut jawatan?

Seandainya benar DS Wan Azizah dianggap `boneka' sahaja di dalam PKR, mengapa Dato Zaid tidak berani bertanding menentang DS Wan Azizah untuk tidak menjadi `boneka'?. Jika Presiden pun sudah jadi `boneka' , apatah lagi Timbalan Presiden. Tetapi Dato Zaid berminat bertanding untuk merebut jawatan itu.

Saya `salute' YB Azmin yang tidak mencari helah atau modal yang diada-adakan untuk memburukkan calon lain. Memang kita akui, sebagai sebuah parti yang ahli-ahlinya bukan `Malaikat', tentulah ada beberapa pihak yang berkempen agak keterlaluan. Soalnya, adakah ini yang diatur oleh calon itu sendiri atau tidak? Dato Zaid, walaupun dikatakan tiada kumpulan yang bergerak untuk berkempen, tetapi suara beliau lebih lantang dari YB Azmin di dalam kempennya. Salahkah wujudnya kumpulan yang menyokong seseorang calon asalkan tidak melanggar etika kempen? Ini juga wujud di dalam PAS parti yang sentiasa berdisiplin di dalam pemilihan pucuk pimpinannya. Lihat, PAS tiada masalah kerana akhirnya yang menang diterima. /wfauzdin.blogspot.com

2 ulasan:

  1. Apabila Zaid Ibrahim 'keluar' dari UMNO, tindakan itu digembar-gemburkan sebagai ketidakpuasan hatinya berhubung isu ISA. PR/PKR pula memainkan isu tersebut bagi mendapatkan keuntungan politik. Kebetulan pula Zaid setuju menyertai PKR. Bagaimanapun, mengenali Zaid melalui kenyataan-kenyataan beliau memperkecilkan kepimpinan PKR (terutama kumpulan Reformasi 1998) akhir-akhir ini, semakin jelas bahawa isu ISA bukanlah satu-satunya alasan Zaid 'terkeluar' dari UMNO. Beliau terlalu 'self-centred' dan berkecenderungan merendahkan/meremehkan sumbangan orang lain.

    BalasPadam
  2. betullah apa yang Zaid katakan tu.Wan Azizah hanya Presiden boneka.
    Yang tak betul pula,kan baru hari ini Zaid tau PKR macam tu.

    BalasPadam