Selasa, 26 Oktober 2010

PENAMAAN CALON DUN GALAS - LALUAN CALON PAS TERGANGGU, UCAPAN PEMIMPIN PAS DIHENTIKAN, GENDANG UMNO TERUS BERKUMANDANG

Di Galas, lalulintas lancar. Cuaca juga baik. Ratusan penyokong Pakatan Rakyat berhimpun di depan Masjid Tengku Faiz Petra, yang terletak tidak jauh dari pusat penamaan calon.

Perarakan ke pusat penamaan calon akan bermula selepas solat hajat.

9.05am: Calon BN Abdul Aziz Yusof tiba di pusat penamaan calon dengan diiringi Setiausaha Agung BN Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor, Naib Presiden MCA Datuk Dr Ng Yen Yen dan Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.


Turut mengiringi Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

9.11am: Penyokong Pakatan yang dianggarkan kira-kira 1,000 orang mula berarak dari masjid dengan diketuai oleh naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang diiringi pemimpin Pakatan yang lain.

Sebelum itu, dengan diimamkan Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat, mereka menunaikan solat hajat di masjid berkenaan.

Kehadiran mereka disahut dengan takbir oleh penyokong di sepanjang jalan berkenaan menuju ke pusat penamaan calon.

9.19am: Penyokong Pakatan dihalang oleh sekatan, namun mereka terus berselawat dan melaungkan takbir.

Berlaku ketegangan seketika apabila sekatan berkenaan menyukarkan calon PAS, Dr Zulkefli Mohamad yang cuba ke pusat penamaan calon di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Daerah Gua
Musang. Ia diburukkan lagi dengan ribuan penyokong yang membanjiri kawasan sekitar. Polis kemudiannya menggunakan pembesar suara meminta orang ramai supaya memberi laluan kepada Dr Zulkefli.





9.23am: Dr Zulkefli Mohamad akhirnya berjaya melepasi sekatan polis. Beliau diiringi oleh presiden PAS - Datuk Seri Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS - Nasharudin Mat Isa, naib presiden PKR - Azmin Ali, Menteri Besar Selangor - Tan Sri Khalid Ibrahim dan supremo DAP supremo Lim Kit Siang.

9.30am: Calon PAS, Dr Zulkefli Mohamad memasuki dewan.

9.39am: Penyokong PAS dan beberapa pemimpin Pakatan cuba memasuki dewan penamaan calon, tetapi polis hanya membenarkan mereka yang mempunyai pas sahaja masuk. Antara mereka yang tidak dibenarkan masuk ialah ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

9.44am: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim keluar dari kawasan VIP dan membuat ucapan ringkas kepada penyokong Pakatan. Beliau menggesa mereka bekerja keras bagi memastikan kemenangan calon Pakatan pada 4 November ini.

Pegawai pilihan raya juga membuat pengumuman yang sama. Katanya, hanya dua calon yang telah mengemukakan borang mereka.

Mereka adalah - Dr Zulkefli Mohamad (PAS) dan Abdul Aziz Yusof (BN-Umno).


10.14am: Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad membuat ucapan ringkas dengan laungan takbir oleh penyokong Pakatan. BN pula membalas dengan paluan gendang mereka.

Membuat ucapan politik serta membawa peralatan muzik adalah antara perkara yang dilarang semasa penamaan calon oleh SPR.

Polis kemudiannya mengarahkan Khalid berhenti membuat ucapan kerana tempoh berkempen belum bermula. Beliau mematuhi arahan berkenaan, namun paluan gendang daripada BN dibiarkan terus bergema.

10.31am: Seorang komander Pasukan Gerak Am yang berpakaian tentera memeriksa kedua-dua sekatan yang didirikan oleh PAS dan juga Umno.

Beliau disindir oleh penyokong PAS yang memberikan tepukan dan berkata "Datuk jadi calon!" dan " Baju dah hijau tu" sambil disambut dengan gelak ketawa oleh mereka yang hadir.

Bagaimanapun bahang matahari yang berterusan akhirnya menyaksikan penyokong PAS mula keletihan dan berehat seketika. Paluan gendang BN juga mula lesu sebelum berhenti seketika juga.

Zon penampan 180m yang didirikan bagi mengelakkan kedua-dua parti itu daripada bercampur berjaya mengurangkan ketegangan. Ia berjaya penyokong kedua-dua pihak mengejek satu sama lain yang mungkin boleh mencetuskan perkara yang tidak diingini./Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan