Sabtu, 9 Oktober 2010

PRK DUN GALAS - JIKA SAYANGKAN KU LI, UNDILAH PAS

Oleh: WFAUZDIN NS

AKHIRNYA Ku Li menerima tawaran pimpinan Umno untuk menjadi Pengarah Pilihanraya Kecil Dun Galas. Meskipun PAS seboleh-bolehnya tidak mahu berhadapan dengan Ku Li bukan kerana takut, tetapi ingin menjaga hati Ku Li yang tidak kurang jasanya kepada Kerajaan Negeri Kelantan khususnya di dalam isu royalti minyak. Tetapi, takdir telah menentukan bahawa PAS tetap akan berdepan dengan Umno yang akan diterajui oleh Ku Li di Dun Galas.

Di dalam situasi begini, PAS mungkin berada di dalam dilema kerana PAS amat menyanjungi Ku Li biarpun berada di dalam parti yang berlainan. PAS juga mungkin faham, Ku Li juga turut berada di dalam keadaan dilema kerana pimpinan parti telah menyerahkan amanah dan tanggungjawab itu kepada beliau. Akhirnya, prinsip serta dasar perjuangan akan menjadi faktor utama mengapa PAS mesti melawan Umno habis-habisan kerana PAS tidak mungkin akan `membantu' Ku Li dan membiarkan keseluruhan rakyat Kelantan teraniaya.

Demi tanggungjawab kepada rakyat, PAS mesti terus mara ke medan perjuangan. Kita sedar bahawa Umno punyai `niat tertentu' mengapa parti tersebut meletakkan Ku Li sebagai Pengarah Pilihanraya Kecil Dun Galas. Bukankah sebelum ini amanah tersebut kebiasaannya dipikul oleh Timbalan Presiden Umno (TPM) malahan juga Presiden Umno (PM) sendiri? Sudah tentu ada yang mahu dilihat oleh Najib dan Muhyiddin apa yang bakal terjadi kepada Ku Li nanti. Hakikatnya, Najib dan Muhyiddin tidak lagi mahu dimalukan seperti sebelum ini. Mungkin kali ini giliran Ku Li pula?

Umno kini sudah bersedia dengan alasannya tidak kira Umno menang atau kalah. Jika Umno menang (Na'uzubillah), maka Umno akan berkata, lihatlah, rakyat kini mula menerima Umno dan menolak PAS/PR. Tetapi sebaliknya, jika Umno tersungkur dan dikapankan lagi maka pemimpin Umno akan menuding jari kepada Ku Li dan menyebut betapa Ku Li tidak layak memimpin Umno sedangkan di Gua Musang sebagai kawasannya pun Ku Li boleh tewas. Maka, seandainya Ku Li mencuba nasib bertanding sekali lagi sebagai Presiden Umno di masa akan datang akan dinilai oleh ahli-ahli Umno sebagai pemimpin yang gagal.

Najib, terutama sekali Muhyiddin sudah tentu tidak mahu melihat Ku Li `come back' ke dalam hiraki kepimpinan Umno. Salah satu kaedah yang `paling lembut' untuk melihat Ku Li di`kubur'kan di arena politik Umno adalah dengan `membunuh' kerjayanya di Dun Galas, kemudiannya diluaskan pula di Parlimen Gua Musang. Mungkin Ku Li sudah tahu mainan politik ini, dan tidak mustahil Ku Li juga ada `strategi' tersendiri untuk bermain dengan mereka ini.

Apa yang dikhuatirkan, sekiranya Umno tewas lagi kali ini, akan timbul pula tuduhan Ku Li menjadi punca dan `mensabotaj' parti sendiri. Sebab itulah PAS seboleh-bolehnya tidak mahu Ku Li menjadi Pengarah Pilihanraya Kecil di Dun Galas, lebih-lebih lagi sebagai calon Umno. PAS tidak sanggup melihat Ku Li terus di `gurkha'kan oleh Umno./wfauzdin.blogspot.com

1 ulasan:

  1. BRADER, TOLONG MASUKKAN BLOG NI KE DALAM LIST BLOG HANG BOLEH TAK?

    http://selamatkanpkr.blogspot.com/

    ADA STORY BERTAJUK KALAU ZAID BERDOSA MAKA MURSYIDUL AM PAS, PRESIDEN PAS DAN NAIB PRESIDEN PAS JUGA TURUT BERDOSA SAMA KAT DALAM DIA.

    TQ.

    BalasPadam