Jumaat, 22 Oktober 2010

RUPANYA BANYAK YANG ZAID TIDAK TAHU PASAL ANWAR DAN PKR

Sivarasa balas kenyataan Zaid berkenaan PKR dan perbicaraan DSAI

| Oct 22, 2010

Saya merasa tidak percaya atas serangan terkini Zaid Ibrahim terhadap Parti Keadilan Rakyat (Keadilan). Kadang-kalanya saya terfikir apakah beliau terlupa yang beliau merupakan anggota Keadilan dan beliau sedang bertanding jawatan Timbalan Presiden. Adalah menjadi sangat tidak bertanggungjawab, malahan berniat jahat untuk beliau menggambarkan Keadilan sebagai parti dengan satu isu - yang hanya berminat untuk menjuarai Anwar Ibrahim (DSAI) dan perbicaraan beliau yang sedang berlangsung sekarang.

Zaid (gambar kiri) sendiri tahu mitos ini tidak benar dan ianya sesuatu yang hanya biasa dapat kita dengar dari ahli politik UMNO-BN. Sejak lebih sedekad yang lalu, Keadilan berkembang pesat dan telah memainkan peranan besar dalam membina perikatan Pakatan Rakyat. Dalam masa yang sama juga Keadilan mengangkat prinsip politik progresif tulen berbilang kaum. Hal ini telah membawa kepada pembentukan Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang kami percaya bakal menimbulkan cabaran kuat terhadap BN pada pilihanraya umum akan datang.

Lagi mengejutkan ialah apabila Zaid menyatakan parti ini tidak mampu membela rakyat hanya kerana Keadilan mempertahankan DSAI. Sekali lagi, kenyataan Zaid ini merupakan teguran ala UMNO-BN. Zaid sendiri sebenarnya sudah tahu bahawa parti ini memiliki rekod baik membela rakyat dalam berbagai isu-isu yang melibatkan hak-hak sivil, politik, ekonomi, sosial dan budaya.

Saya (Sivarasa, gambar kanan) amat yakin Zaid pasti sedar bahawa menjamin keadilan untuk DSAI tidak semestinya hanya bermaksud menyediakan pasukan peguambela terbaik. Tetapi ianya turut melibatkan kempen di luar mahkamah untuk mendedahkan kelicikan Kerajaan yang menggunakan institusi-institusi awam penting untuk menganiaya lawan politik.

Sekali lagi, kenyataan bahawa DSAI telah memiliki barisan peguambela terbaik lantas tidak ada apa lagi yang perlu dibuat - pasti jelas sangat mirip seperti pandangan UMNO-BN, dan sudah tentu teruk apabila ia datang dari mulut seorang pemimpin Keadilan.

Jika beliau tidak tahu, implikasi perbicaraan DSAI sekarang dan dahulu memperlihatkan kepada kita tentang kesemua hal yang salah dengan wajah demokrasi pura-pura UMNO-BN - suatu demokrasi yang membolehkan kerajaan hari ini menggunakan kesemua jentera negara termasuklah kehakiman, polis, pejabat Peguam Negara serta bahkan hospital untuk mereka-reka bukti palsu dan menganiaya lawan-lawan politik UMNO-BN.

Apakah Zaid sudah terlupa, DSAI telah dipenjara selama enam tahun atas tuduhan palsu dan sekarang sekali lagi beliau berdepan dengan nasib yang sama. Pastilah sangat kejam dan amat tidak mengenang budi untuk Keadilan secara tiba-tiba menggugurkan DSAI di saat parti ini menjadi kekuatan politik negara.

Saya cukup bingung hendak memahami strategi kempen Zaid yang cenderung menegur parti dan kepimpinannya kepada umum secara berterusan - memandangkan Zaid adalah sebahagian daripada kepimpinan Keadilan. Adalah lebih memanfaatkan sekiranya Zaid memperkuat dan memperjuangkan dasar, proses dan isu-isu Keadilan termasuklah penganiayaan UMNO-BN terhadap DSAI.

*Kenyataan media Sivarasa Rasiah selaku Naib Presiden Keadilan, juga ahli parlimen Subang./Merdeka Review

1 ulasan: